Redfall sepatutnya menjadi permainan seterusnya yang dinanti-nantikan, bukan sahaja sebagai permainan eksklusif untuk Xbox Series dan PC, tetapi juga permainan utama seterusnya oleh Xbox Game Studios.
Namun, penantian tersebut bertukar kekecewaan apabila Redfall dilancarkan dengan pelbagai masalah bukan sahaja untuk PC tetapi juga untuk Xbox Series. Ini ditambah lagi dengan ramai pengulas mengatakan tatamain dan penceritaan permainan ini membosankan.
Ketika temubual bersama dengan Kinda Funny Games melalui segmen Xcast, Ketua Xbox Phil Spencer mengatakan yang beliau kecewa dengan diri sendiri mengenai pelancaran Redfall dan meminta maaf kepada semua pemain.
Beliau mengatakan yang penerimaan permainan tersebut adalah lebih rendah berbanding jangkaan mereka dan perlu melakukan sesuatu secara dalaman untuk mengelak daripada kejadian ini berulang.
Phil Spencer juga mengatakan yang mereka kebiasaannya hanya akan mengeluarkan permainan-permainan yang mereka yakin diterima baik sahaja. Untuk dua tahun lepas, Xbox Game Studios tiada mengeluarkan permainan utama, namun pada tahun 2021 – Xbox Game Studios menjadi studio pertama yang mencatat skor melebihi 85 secara purata di Metacritic.
Beliau juga menegaskan ada peminat yang mengatakan studio permainan seperti Arkane iaitu pembangun untuk Redfall sepatutnya terus menghasilkan permainan kebiasaan bagi mereka, dan beliau sangat tidak bersetuju mengatakan yang studio permainan seharusnya diberi ruang kreatif untuk menghasilkan permainan-permainan yang berbeza.
Phil Spencer juga mengatakan yang mereka akan terus mempertingkatkan kualiti Redfall sepertimana mereka lakukan untuk Sea of Thieves.
Redfall sudah dikeluarkan untuk Xbox Series dan PC. Juga ditawarkan bersama dengan Xbox Game Pass.
Anda boleh tonton temubual penuh di bawah.
Pada bulan lepas, Bethesda telah memberi peluang kepada kami untuk mencuba lebih kurang 50 minit sesi permainan Redfall. Semasa percubaan tersebut, kami boleh katakan yang Redfall adalah satu permainan yang menarik, dengan rekaan dunia yang pelbagai tetapi mempunyai beberapa masalah.
Anda boleh baca pandang pertama secara penuh di pautan berikut; Pandang Pertama Redfall.