Riot Games telah mengumumkan yang pemain di Amerika Latin iaitu Mexico, Chile, Colombia dan Argentina sekarang boleh melakukan pembelian Riot Points (RP) secara bayaran bulanan selama 3, 6, 9 atau 12 bulanan dengan faedah.
RP merupakan mata wang di dalam permainan untuk League of Legends dan juga Teamfight Tactics yang kebiasaan digunakan untuk membeli barangan kosmetik ataupun watak di dalam permainan tersebut.
Penawaran ini dikatakan khusus untuk pemain dari negara-negara tersebut sahaja dan mengatakan yang cara pembayaran ini sering digunakan oleh mereka.
Pembelian secara bayaran bulanan adalah sesuatu yang menjadi kebiasaan untuk membeli barangan yang mahal seperti telefon pintar, komputer, kereta dan juga rumah tetapi sangat sukar untuk menggambarkan keperluan melakukan bayaran bulan bagi membeli barangan di dalam permainan – sesuatu yang boleh dikatakan ‘tidak wujud’.
Namun, berdasarkan beberapa komen di Reddit mengenai penawaran ini, pemain dari negara yang menerima tawaran ini mengatakan yang pembayaran secara bulanan ini adalah perkara yang baik untuk mereka.
Mereka mengatakan yang negara seperti Argentina mempunyai kadar inflasi mencecah 100% setahun, oleh itu dengan membeli RP secara bayaran bulan mereka dapat membayar dengan lebih murah walaupun pada harganya adalah lebih tinggi.
Mungkin keadaan berbeza mengikut negara tetapi kami tetap merasakan yang sebarang pembelian barangan di dalam permainan yang memaksa untuk berhutang, adalah bukan satu perkara yang baik.