Persatuan Penulis Amerika mengumumkan mogok di kalangan lebih 12 ribu ahlinya di Amerika Syarikat semalam. Keputusan mogok diambil selepas perbincangan selama enam minggu dengan Netflix, Amazon, Apple, Disney, Discovery-Warner, NBC Universal, Paramount and Sony di bawah panji the Alliance of Motion Picture and Television Producers (AMPTP) untuk menaikkan gaji penulis gagal mendapat kata sepakat.
Mogok kali ini ialah kali pertama dilakukan sejak 2008 kerana penulis merungut tangga gaji yang dilihat tidak berpatutan dengan kadar semasa sedangkan studio penerbitan mencatatkan keuntungan yang tinggi. Sejurus selepas mogok diumumkan, kesemua rancangan lewat malam seperti Jimmy Fallon dan Steven Colbert menghentikan produksi degan hos memberikan sokongan kepada barisan penulis.
Pada mogok tahun 2008 yang berlarutan selama 100 hari mengakibatkan ekonomi di California terjejas sekitar $2.1 bilion. Mogok pada tahun 1988 pula adalah yang paling lama kerana bertahan sehingga 153 hari. Mogok tahun 2008 menyebabkan produksi siri Ugly Betty, Desperate Housewives, Breaking Bad dan Heroes terjejas teruk.
Filem James Bond Quantum of Solace juga tertangguh kerana penulis yang menyertai mogok.Impaknya ke atas dunia hiburan di Amerika Syarikat kali ini juga dijangka besar. Jadi janganlah terkejut jika siri kegemaran anda mengalami kelewatan atau terhenti seketika dalam minggu-minggu mendatang.