Sony hari ini telah mengumumkan prestasi kewangan mereka bagi suku keempat untuk tahun fiskal 2022/2023. Bersama dengan pengumuman ini, mereka juga telah berkongsi jumlah edaran untuk konsol PlayStation 5, jumlah permainan yang terjual, dan juga pelanggan untuk PlayStation Plus.
Bagi PlayStation 5, mereka telah mengumumkan yang sepanjang tiga bulan lepas iaitu Januari sehingga Mac, PS5 telah terjual sebanyak 6.5 juta unit, meneruskan jumlah yang tinggi daripada suku lepas iaitu 7.1 juta unit.
Dengan jumlah terbaru ini, PS5 kini telah diedarkan sebanyak 38.4 juta unit. PlayStation sebelum ini menyasarkan untuk edar 18 juta unit sepanjang tahun fiskal 2022/2023 dengan 19.1 juta unit yang diedarkan, mereka berjaya untuk melebihi jangkaan tersebut.
Bagi jumlah permainan pula, mereka telah mengumumkan 68 juta unit terjual untuk suku lepas dengan 9.5 juta unit adalah permainan pihak pertama dan 70% adalah permainan yang dibeli secara digital.
Bagi jumlah pelanggan untuk PlayStation Plus pula, bagi suku lepas memperlihatkan peningkatan iaitu 47.4 juta pelanggan berbanding 46.4 juta pelanggan untuk suku sebelum ini.