Kisah Peter Pan sudah diadaptasi menjadi pelbagai penceritaan, termasuk juga filem Hook di mana Peter Pan dilakonkan oleh Robin Williams, namun saya boleh katakan yang filem baharu Peter Pan & Wendy oleh Disney+ Hotstar ini masih mengikuti filem Peter Pan yang dikeluarkan pada tahun 2003, penceritaan filem animasi Peter Pan yang dikeluarkan pada tahun 1953 yang juga merupakan adaptasi kepada novel Peter and Wendy yang dikeluarkan pada tahun 1911 dan sendirinya adalah berdasarkan lakonan teater Peter Pan, or the Boy Who Wouldn’t Grow Up yang dikeluarkan pada tahun 1904.
Oleh itu, filem Peter Pan & Wendy ini tidaklah membawa satu pembawaan baharu bagi kisah kanak-kanak yang tidak membesar ini, sebaliknya penceritaan yang sama tetapi dengan senarai pelakon yang berlainan dan juga boleh dikatakan medium yang berbeza berbanding animasi, novel dan juga pementasan teater sebelum ini. Dengan tidak banyak perubahan pada penceritaan, jika anda pernah mengetahui mengenai kisah Peter Pan, filem ini tidak membawa kejutan kepada anda.
Di dalam filem ini, Peter Pan di dalam usahanya untuk menangkap bayang-bayangnya sendiri telah memasuki rumah George dan Mary Darling dan menjumpai anak mereka iaitu Wendy, John dan Michael. Wendy pada waktu itu gusar untuk ke sekolah berasrama dan ingin kekal sebagai kanak-kanak, oleh itu Peter Pan telah mengajak Wendy dan dua orang adiknya untuk ke Neverland. Sampai sahaja mereka di sana, Captain Hook yang membenci Peter Pan terus menyerang mereka.
Bagi yang pertama kali mengikut kisah Peter Pan ini, filem ini adalah satu permulaan yang baik akan tetapi saya tidak boleh katakan, filem yang terbaik untuk menceritakan mengenai kisah ini, saya masih merasakan jika filem aksi nyata, filem Peter Pan yang dikeluarkan pada tahun 2003 adalah lebih menarik. Masalah utama bagi saya mengenai filem ini adalah untuk satu filem fantasi, Peter Pan & Wendy kurang kreatif dan kurang mengambil kesempatan daripada genre fantasi.
Kebanyakan adegan di dalam filem ini kurang menarik, dunia Neverland juga tidak kelihatan mengagumkan. Contohnya, ada bahagian permulaan penceritaan di mana, Peter Pan bersama dengan Wendy berterbangan untuk melihat Neverland, akan tetapi adegan tersebut tidak memperlihatkan banyak perkara menarik, terdapat ikan duyung tetapi untuk beberapa saat sahaja. Mereka berlakon untuk melihat gembira dan teruja dengan dunia ini, tetapi saya sebagai penonton tidak dapat melihat apa-apa yang menarik mengenainya dan dunia Neverland tidak ubah seperti satu dunia biasa.
Lakonan juga saya boleh katakan agak kurang menjadi kerana kebanyakan watak kekurangan gaya untuk membuatkan saya percaya yang mereka adalah watak yang di bawa oleh mereka. Peter Pan yang di bawa oleh Alexander Molony terasa sangat kurang menarik dengan Molony gagal untuk menjiwai watak Peter Pan dengan sebaiknya.
Ever Anderson sebagai Wendy Darling melakukan satu lakonan yang baik tetapi tidaklah luar biasa terutama dia membawa watak manusia sahaja, namun peranan Wendy di dalam filem ini sedikit berlainan seperti biasa dan saya menyukainya. Selain daripada itu, Yara Shahidi sebagai Tinker Bell, Alyssa Wapanatahk sebagai Tiger Lily dan juga Jude Law sebagai Captain Hook juga adalah baik sahaja tetapi tiada yang ‘istimewa’.
Selain daripada lakonan yang tidak menjadi dan biasa-biasa sahaja, filem ini juga mempunyai masalah suntingan yang janggal. Ada masa adegan terpotong secara mengejut dan membuatkan adegan tersebut terasa aneh. Filem ini juga banyak ingin menggambarkan sesuatu menarik sedang berlaku, tetapi bagi saya yang menontonnya tidak dapat melihat apa sebenarnya yang menarik. Mungkin anda mengatakan yang filem ini adalah untuk kanak-kanak, manakala saya adalah orang dewasa, namun saya juga merasakan yang kanak-kanak juga tidak dapat melihat dunia yang fantasi yang kreatif di dalam filem ini.
Walaupun penyampaian yang kurang baik, namun saya menyukai arahan penceritaan untuk Peter Pan & Wendy ini. Benar saya mengatakan sebelum ini yang filem dikeluarkan pada tahun 2003 adalah lebih menarik, tetapi saya menyukai pembawaan cerita di dalam filem ini. Terutama bagaimana perhubungan Peter Pan dengan Captain Hook, Peter Pan dengan The Lost Boy dan juga Peter Pan dengan Wendy sendiri telah dilakukan dengan berlainan dan membawa mesej yang sedikit berbeza dengan filem-filem sebelum ini.
Saya cuma berharap yang setiap perhubungan ini diberikan lebih masa untuk dikembangkan dengan lebih teratur, manakala di dalam filem ini setiap perhubungan tersebut dilakukan secara melulu yang membuatkan kesan emosi yang di bawa untuk mana-mana bahagian tidak menjadi dan terasa macam terlalu memaksa untuk saya sebagai penonton merasa apa yang dirasakan oleh watak-watak di dalam filem ini.
Saya boleh katakan dari awal lagi terasa sangat gopoh, bagaimana Peter Pan menjumpai Wendy, dan bagaimana Wendy mengikut Peter Pan dilakukan dengan sangat cepat, membuatkan filem ini gagal untuk memberi permasalahan yang jelas mengenai Wendy itu sendiri, tetapi sepanjang filem ini Wendy cuba menyelesaikan masalah tersebut namun keputusannya penyampaian yang kurang berkesan dan saya juga tidak dapat empati dengan watak Wendy.
Akhir kata, Peter Pan & Wendy adalah satu filem yang mengadaptasi penceritaan Peter Pan dengan baik, ditambah lagi dengan beberapa perubahan yang saya suka akan tetapi secara keseluruhannya, filem ini terasa kurang imaginasi dan juga kreatif. Bagi satu filem fantasi, tambahan lagi untuk watak terkenal seperti Peter Pan, perkara ini boleh dikatakan sebagai satu dosa yang besar.
Namun, dengan filem ini dikeluarkan melalui penstriman, saya boleh katakan yang 100 minit lebih untuk menonton filem ini bukanlah satu pembaziran, anda mungkin menyukai beberapa bahagian daripadanya, cuma jangan mengharap satu pembawaan yang lebih epik untuk kisah Peter Pan ini.
Penafian: Siaran Peter Pan & Wendy disediakan oleh Disney+ Hotstar bagi tujuan ulasan ini. Filem ini disiarkan di Disney+ Hotstar bermula pada 28 April 2023.