Ulasan Sisu

Ada seorang lelaki yang pada awalnya melakukan perihal dia sendiri tetapi telah diganggu yang membuatkan dia terpaksa menjadi seorang yang ganas, kemudian diketahui yang dia bukanlah seorang yang biasa tetapi seorang yang mempunyai sejarah hitam. Ini adalah premis yang biasa di dalam filem aksi, dan Sisu juga menggunakan premis ini menjadikan filem yang mudah untuk dijangka dan tidak membawa sebarang pembaharuan ataupun perkara yang unik.

Adakah ini menjadikan filem ini kurang menarik? Tidak juga, Sisu walaupun mudah dijangka dengan premis penceritaan yang sudah diulang beberapa filem lain sebelum ini, masih lagi satu filem yang seronok untuk ditonton dan ditambah lagi dengan sinematografi yang sangat cantik memberikan pengalaman tontonan yang berkualiti. Jika anda meminati aksi ganas, filem ini juga berjaya melakukannya dengan sangat baik.

Sisu adalah filem yang berlaku semasa Perang Dunia Ke-2 dan berlaku di Finland, dengan tentera Nazi mula melarikan diri daripada Finland, mereka telah membakar kemudahan di negara tersebut yang mengakibatkan orang di negara tersebut hidup di dalam kesusahan. Aatami Korpi lakonan Jorma Tommila adalah seorang pelombong emas yang ingin mencari emas dengan harapan untuk mendapat kehidupan yang lebih baik.

Dia bernasib baik apabila menjumpai tempat yang mempunyai bongkah emas yang besar, namun di dalam perjalanan untuk menjual emas tersebut, dia berjumpa dengan satu skuad Nazi yang bukan sahaja mengejek tetapi juga cuba untuk mendapatkan emas tersebut. Aatami tidak mempunyai masalah untuk membunuh kesemua skuad Nazi tersebut, tetapi perkara tersebut juga menjadikan dia sasaran satu skuad Nazi yang lebih besar kerana mereka inginkan emas tersebut.

Bermulalah “cat & mouse” di antara Aatami dan juga skuad Nazi tersebut yang kebiasaannya akan berakhir dengan aksi-aksi yang ganas, yang saya boleh katakan filem ini berjaya menghasilkannya dengan sangat kreatif, tambahan lagi arahan filem ini juga tidak cuba untuk menjadikan filem ini “serious” tetapi lebih kasual yang memberi ruang kepada aksi-aksi ganas ini untuk menjadi lebih tidak masuk akal sehingga boleh dikatakan seakan-akan adegan daripada komik.

Tarikan utama mengenai perwatakan Aatami ini adalah seperti yang dikatakan sendiri di dalam filem ini, dia bukanlah seorang yang paling kuat akan tetapi dia tidak akan berputus asa yang secara sendirinya membawa maksud kepada perkataan Sisu.

Tambahan kepada aksi yang ganas ini, satu lagi perkara positif yang saya boleh katakan adalah sinematografi filem ini memberikan banyak adegan yang kelihatan sangat cantik. Salah satu contoh adalah semasa Aatami sedang mengutip bongkah emas yang terjatuh, tentera Nazi bersama dengan kereta kebal berada di belakang benar-benar menggambarkan keadaan pada waktu itu.

Filem ini juga banyak memperlihatkan gaya “face off” yang membuatkan adegan tersebut menjadi tegang, akan tetapi perkara ini dilakukan terlalu kerap menyebabkan kesannya berkurangan selepas beberapa adegan yang lebih kurang sama.

Malangnya, selain daripada dua perkara ini, tidak banyak perkara lain ditawarkan oleh filem ini untuk mengembangkan lagi penawaran. Penceritaan adalah ringkas, mudah untuk dijangka terutama dengan penggunaan yang premis yang sama. Susunan penceritaan juga biasa-biasa sahaja tetapi mereka membahagikan penceritaan kepada beberapa bahagian ataupun bab yang menjadikannya sedikit lebih menarik.

Akhir kata, Sisu adalah satu filem yang seperti dijanjikan melalui treler akan memberikan pelbagai aksi ganas. Selain sekadar ganas, filem ini juga melakukannya dengan kreatif menggunakan pelbagai jenis cara, senjata dan juga persekitaran. Tambahan pada itu, filem ini juga dirakamkan dengan cantik sekali, sinematografi yang diperlihatkan sangat berkualiti banyak adegan yang kelihatan sangat menarik.

Saya juga boleh katakan yang dua perkara tersebut sahaja yang saya boleh katakan perkara positif untuk filem ini dengan selain daripada itu disampaikan dengan sederhana sahaja dan tidak menjadikan filem ini lebih menarik, namun jika dua perkara sebelum ini sudah mencukupi untuk anda, saya yakin anda mempunyai masa yang baik menontonnya.

Penafian: Tayangan untuk Sisu disediakan oleh Sony Pictures Malaysia bagi tujuan ulasan ini. Filem ini mula ditayangkan pada 27 April 2023.

Sisu
Sisu adalah satu filem yang ganas dengan pelbagai aksi ngeri yang kreatif, filem ini juga dihasilkan dengan cantik. Namun, selain daripada itu tidak banyak penawaran tambahan tetapi mungkin sudah mencukupi.
Positif
Aksi Ganas Yang Kreatif
Sinematografi Yang Cantik
Negatif
Penceritaan Mudah Dijangka
Tiada Penawaran Lain Selain Aksi Ganas
7

Sohor Kini