Skip to main content

Jika ingin bercakap mengenai permainan seperti yang diiklankan, Dead Island 2 adalah permainan yang tepat untuk menggambarkan perkara tersebut. Dead Island 2 diumumkan sebagai permainan susulan untuk Dead Island yang dikeluarkan hampir 12 tahun yang lepas, yang menjanjikan pelbagai cara berbeza dan menarik untuk membunuh zombi dan Dead Island 2 melakukan seperti yang dijanjikan.

Di dalam permainan ini, pemain akan mempunyai pelbagai cara, pelbagai senjata untuk melawan dengan zombi, setiap cara ini akan memberikan aksi yang menarik serta grafik yang sangat gore dengan pemain boleh memecahkan kepala, memotong tangan ataupun kaki, membakar, mengenakan kejutan elektrik dan pelbagai cara kreatif lain yang boleh dilakukan.

Jika perkara berikut adalah sesuatu yang anda inginkan di dalam permainan, Dead Island 2 adalah permainan yang anda carikan, namun bagi saya permainan ini tidak berkembang dengan mencukupi dan saya boleh katakan selepas beberapa jam yang pertama, sehinggalah pengakhiran, permainan ini terasa sama, berulang yang telah menjejaskan pengalaman bermain dan tidak memberi keseronokan yang sama seperti pada permulaan.

Pada awal permainan, pemain boleh memilih daripada 6 watak ataupun digelar sebagai slayer untuk menjadi permainan yang dikawal. Mereka adalah Jacob, Bruno, Carla, Dani, Ryan, dan Amy. Pemilihan mana-mana watak ini tidak membawa penceritaan yang berbeza tetapi setiap watak akan memberikan perspektif yang berbeza dengan dialog yang berlainan.

Selain daripada itu, setiap watak juga mempunyai kemahiran permulaan yang berbeza dan juga Attributes yang berlainan, contohnya saya menggunakan Ryan untuk sesi permainan yang pertama dan dia mempunyai Toughness yang tinggi, dengan kata lain dapat menahan serangan dengan lebih kuat tetapi Agility yang rendah, dengan kata lain Ryan akan bergerak lebih perlahan berbanding watak lain.

Saya merasakan yang semasa bermain, penggunaan senjata dan barangan adalah lebih penting berbanding Attributes awal untuk setiap watak, oleh itu, pemilihan watak bukanlah sesuatu yang sangat penting bagi sesi pertempuran, sebaliknya saya mencadangkan untuk memilih watak yang anda lebih berminat kerana ini akan menentukan perspektif penceritaan, tambahan anda juga akan mendengar monolog daripada mereka.

Anda juga boleh memulakan sesi permainan baharu pada bila-bila masa, melalui beberapa slot Slayer yang boleh digunakan jika ingin mencuba watak lain tanpa perlu menghabiskan terlebih dahulu sesi permainan untuk pilihan sebelum ini.

Kepelbagaian senjata yang boleh digunakan di dalam permainan ini, sudah semestinya adalah tarikan utama untuk bermain Dead Island 2, dan seperti saya nyatakan di atas, pilihan senjata yang disertakan adalah tidak mengecewakan. Terdapat kapak, kayu besbol, penembak paku, ataupun senjata api seperti machine gun dan rifle.

Setiap senjata ini akan mempunyai stat yang berbeza dan boleh ditingkatkan tahap serta diubah suai untuk mempunyai kebolehan tambahan. Contohnya satu kapak boleh diubah untuk mempunyai kejutan elektrik ataupun berapi. Pemain boleh membawa 16 senjata pada satu masa dengan 8 boleh digunakan dengan 8 lagi di dalam simpanan. Selain senjata pemain juga mempunyai curveballs yang boleh dikatakan sebagai item yang boleh dibaling, terdapat pelbagai pilihan berbeza yang boleh digunakan.

Menjadikan penggunaan senjata ini lebih menarik adalah bagaimana pertempuran dilakukan. Mengikut cara serangan dan juga senjata yang digunakan akan memberikan kesan yang berbeza kepada zombi. Saya boleh memfokuskan untuk menyerang bahagian kepala, sehingga menghancurkan kepada zombi, saya juga boleh memfokuskan serangan kepada kaki untuk membuat mereka jatuh dan juga sukar berjalan agar tidak menjadi bahaya. Dapat melakukan serangan berbeza ini adalah antara perkara paling baik di dalam permainan ini.

Tambahan pada itu, pemain juga boleh menggunakan pelbagai Skills di dalam bentuk kad yang dibahagikan kepada empat kategori iaitu Abilities, Survivor, Slayer dan Numen. Kad-kad ini diperoleh dengan meningkatkan tahap dan juga dengan membunuh zombi tertentu. Dengan pelbagai pilihan kad, pemain boleh menghasilkan sesi permainan yang bersesuaian dengan gaya permainan pemain sendiri. Sesetengah kad juga adalah khusus untuk watak-watak tertentu.

Kepelbagaian senjata serta Skills ini membantu untuk menjadikan sesi permainan yang menarik dan saya sentiasa mencuba cara baharu untuk membunuh zombi, dan perkara ini adalah menyeronokkan buat 5 jam pertama, akan tetapi walaupun selepas mendapat lebih banyak senjata, ataupun Skills, saya masih merasakan permainan ini tidak berkembang dengan baik dan membuatkan sesi permainan selepas itu sedikit membosankan.

Bagi saya masalah utama permainan ini adalah bagaimana struktur permainan ini dilakukan. Selain misi utama, terdapat juga misi sampingan yang kebanyakan adalah lebih kepada Fetch Quest sahaja dan tidak menarik selain menjadi sebab untuk pemain menuju ke sesuatu tempat ataupun bertempur dengan zombi tertentu. Terdapat juga misi Lost & Found, yang kebiasaan memerlukan saya menjejak kunci untuk membuka sesuatu simpanan yang akan memberikan senjata baharu. Saya boleh katakan untuk misi sampingan dan Lost & Found, apa yang perlu dilakukan tidak sentiasa berbaloi dengan ganjaran yang diterima.

Bercakap mengenai mencari kunci, sepanjang sesi permainan saya akan menjumpai banyak pintu serta peti besi yang memerlukan kunci tertentu, namun oleh kerana kedudukan kunci tidak diketahui dengan jelas, dan ada masa kunci tersebut memerlukan saya melakukan misi sampingan, menjadikan perkara ini sedikit mengelirukan dan membuatkan saya ingin sekadar melupakannya sahaja. Tambahan pada itu, seperti misi sampingan, walaupun saya meluangkan masa untuk mencari cara membukanya, ganjaran yang diberikan juga tidak terasa sangat berbaloi.

Seperkara yang memberi motivasi kepada saya untuk terus bermain, adalah penceritaan yang disertakan di dalam permainan ini bagi saya dilakukan dengan baik. Penceritaan menyertakan misteri tersendiri, ini ditambah lagi dengan saya akan menjumpai dengan ramai watak-watak yang menarik dengan setiap-nya mempunyai personaliti tersendiri. Dialog serta lakonan suara ada yang baik, ada yang tidak akan tetapi secara keseluruhannya menjadikan kempen utama untuk permainan ini menarik walaupun hanya mengambil lebih kurang 15 jam sahaja.

Sesi permainan juga akan menjadi lebih menarik jika bermain secara koperasi yang menyokong sehingga 4 pemain. Anda juga boleh membuka sesi permainan secara dalam talian untuk bermain dengan pemain-pemain lain secara rawak. Jika anda terasa bosan selepas beberapa jam bermain, anda mungkin boleh mencuba sesi dalam talian ini untuk menjadikan sesi permainan yang lebih menarik.

Rekaan kawasan, zombi dan grafik secara amnya adalah baik dan saya tidak mempunyai sebarang rungutan mengenainya. Saya akan diberikan beberapa kawasan yang berbeza dengan setiapnya direka dengan keunikan tersendiri, seperti kawasan perumahan selebriti pada awal permainan ataupun kawasan pantai, setiap kawasan ini sangat baik untuk diteroka. Saya bermain di PlayStation 5 dan grafik adalah cantik serta kelancaran permainan yang baik.

Akhir kata, Dead Island 2 memberikan pengalaman bermain seperti yang dijanjikan, membunuh zombi dengan pelbagai cara yang berbeza dan tidak lebih daripada itu. Perkara ini mungkin sudah mencukupi untuk sesetengah pemain, akan tetapi bagi saya secara keseluruhannya, kandungan yang disertakan terasa terhad dan tidak berkembang selepas 5 jam pertama. Perkara yang positif adalah penceritaan utama serta pelbagai watak yang disertakan di dalam permainan ini melakukan kerja yang baik untuk memberikan motivasi untuk saya terus bermain.

Penafian: Kod permainan Dead Island 2 disediakan oleh Plaion untuk tujuan ulasan ini. Dead Island 2 sudah dikeluarkan untuk PlayStation, Xbox dan PC.

Dead Island 2
Dead Island 2 memberikan apa yang dijanjikan iaitu permainan zombi dengan pilihan senjata yang pelbagai. Namun, permainan ini tidak berkembang selain daripada itu yang sedikit mengecewakan.
Positif
Kepelbagai Senjata Yang Boleh Digunakan
Sistem Pertempuran Yang Baik
Penceritaan Dan Perwatakan Yang Menarik
Negatif
Sesi Permainan Terasa Berulang
Permainan Tidak Berkembang Selepas 5 Jam Pertama
Pengisian Yang Tidak Menarik
7

Leave a Reply