Skip to main content

PlayStation hari ini telah menganjurkan State of Play yang memfokuskan kepada Final Fantasy XVI dengan Naoki Yoshida iaitu penerbit untuk permainan ini berkongsi lanjut mengenai apa yang akan disertakan di dalam Final Fantasy XVI.

Final Fantasy XVI memfokuskan kepada watak utama Clive Rosfield yang merupakan tentera di dalam Grand Duchy of Rosari sebahagian daripada Valisthea. Sepanjang permainan ini, pemain akan melalui beberapa fasa kehidupan Clive iaitu remaja, 20-an dan 30-an.

Permainan akan bermula semasa Clive berumur 20-an, akan tetapi turut disertakan adegan imbas kembali semasa dia remaja dan sepenuhnya boleh dimainkan. Imbas kembali ini mempunyai adegan yang penting untuk membentuk Clive.

Pemain boleh mengembara di Valisthea menggunakan ‘Peta Dunia’ yang akan memperlihatkan kesemua kawasan yang sudah dilawati sebelum ini, dan pada masa memperlihatkan misi atau aktiviti yang boleh dilakukan di kawasan tersebut, jika pemain ingin kembali ke tempat tersebut.

Pertempuran di dalam Final Fantasy XVI sepenuhnya secara masa nyata dan tidak mempunyai pertempuran mengikut turutan. Clive akan mendapat pelbagai kebolehan daripada Eikons yang dijumpai di dalam pengembaraan.

Meningkatkan tahap di dalam permainan ini menggunakan Ability Points yang diperoleh dengan bertempur. Pemain boleh membuka kebolehan baharu ataupun meningkatkan tahap untuk kebolehan sedia ada. Pemain juga boleh melakukan secara automatik ataupun set semula.

Pemain juga boleh menggunakan aksesori untuk mempertingkatkan lagi kebolehan semasa bertempur dengan terdapat tiga slot aksesori berbeza untuk Clive yang boleh digunakan.

Contoh yang digunakan di dalam video ini adalah Ring of Timely Focus dan Ring of Timely Strikes, yang membolehkan pemain untuk memperlahankan pertempuran buat sementara waktu dan juga melakukan serangan yang berterusan dengan menekan satu butang sahaja.

Terdapat dua tahap kesukaran di dalam permainan ini iaitu Story Focused dan Action Focused, Story Focused akan memberikan aksesori seperti di atas pada awal permainan lagi untuk lebih memudahkan pertempuran, manakala Action Focused akan memberikan aksesori lalai.

Beberapa rakan Clive juga diperkenalkan seperti Cidolfus yang boleh dikatakan mentor kepada Clive, Jill rakan Clive semasa dia masih kecil dan Torgal iaitu serigala peliharaan Clive. Rakan-rakan ini ada masa akan mengikut Clive di dalam pertempuran, kesemua mereka akan dikawal oleh AI dan akan menyokong Clive dalam mengalahkan lawan.

Menjadi hab utama bagi pemain adalah Hideway yang akan menyertakan kedai untuk pemain membeli potion, senjata baharu ataupun mempertingkatkan keupayaan senjata sedia ada. Pemain juga boleh mendapatkan pelbagai misi sampingan serta melihat misi yang terdapat di kawasan-kawasan lain. Ini termasuklah memburu bintang-binatang yang ada di dunia ini.

Hideaway juga menyertakan Arete Stone yang akan membolehkan pemain mencuba pertempuran dengan pelbagai tetapan, pemain juga boleh mencuba mod Arked untuk membandingkan serangan dengan pemain-pemain lain.

Pemain akan bertempur dengan Eikon ataupun Summon dan seperti dinyatakan di atas adalah antara cara untuk mendapat kebolehan baharu.

Menariknya, di dalam Final Fantasy XVI, Clive bukan sahaja dapat memanggil Eikon sendiri, tetapi boleh mengawal sepenuhnya untuk memberikan sesi pertempuran Eikon melawan Eikon dalam masa nyata.

Sebagai penutup, Naoki Yoshida juga telah mengumumkan yang muzik tema untuk Final Fantasy XVI ditulis dan dipersembahkan oleh artis terkenal di Jepun iaitu Kenshi Yonezu.

Beliau juga mengatakan yang lebih banyak maklumat akan dikongsikan pada masa hadapan seperti kandungan pertempuran, kandungan sampingan dan juga kandungan endgame.

Final Fantasy XVI akan dilancarkan untuk PlayStation 5 pada 22 Jun 2023.

Anda boleh tonton video penuh untuk State of Play ini di bawah.

Leave a Reply