Khazanah Nasional melalui syarikat Granatum Ventures Sdn Bhd bakal menjual keseluruhan pegangan mereka untuk Iskandar Malaysia Studios, iaitu kemudahan penggambaran filem yang siap dibina pada tahun 2014 di Iskandar puteri, Johor Bharu.

Jualan ini dikatakan bernilai RM35 juta untuk pegangan sebanyak 80% dengan 20% lagi pegangan boleh dibeli dalam masa 5 tahun lagi. Berdasarkan pemfailan jual beli ini, Iskandar Malaysia Studios mempunyai nilai aset bernilai RM32 juta pada tahun 2022.

Kemudahan ini akan dijual kepada Studio Management Services Sdn Bhd yang merupakan konsortium yang diketuai oleh pasukan pengurusan semasa kemudahan ini bersama dengan GHY Culture & Media Holding iaitu studio kandungan hiburan dari Singapura dengan mempunyai anak syarikat di Malaysia.

Berdasarkan laporan oleh Variety, Iskandar Malaysia Studios ini menelan perbelanjaan sekurang-kurangnya $120 juta (~RM500 juta) untuk dibina dan diurus, dengan menjadikan nilai jualan adalah 90% lebih rendah.

Antara filem dan rancangan TV yang pernah menggunakan kemudahan ini adalah siri Netflix, Marco Polo, filem China Skyfire, Crazy Rich Asians, Asia’s Got Talent, The Voice dan Hi-5. Pemilik baharu iaitu GHY pernah mengguankan kemudahan ini untuk The Little Nyonya, The Ferryman – Legends of Nanyang dan Sisterhood.

Kemudahan ini mempunyai 5 pentas yang seluas 100 ribu kaki persegi, 2 studio TV yang setiapnya seluas 12 ribu kaki persegi, pelbagai kemudahan untuk penggambaran di dalam air, dan juga kemudahan untuk pasca-produksi.

Khazanah mengatakan yang jualan ini membolehkan syarikat baharu mempertingkatkan lagi perkhidmatan kemudahan ini.

“Kerjasama dan kemasukan banyak usahawan Malaysia dan rakan kongsi serantau yang berkebolehan akan memangkin pertumbuhan dan pembangunan ekosistem di Iskandar Malaysia Studios”.

Sohor Kini