Skip to main content

Pada tahun lepas saya telah mengulas MLB The Show 22 dan mengatakan yang permainan MLB The Show adalah permainan simulasi sukan yang baik untuk dimainkan walaupun secara solo. MLB The Show 23 meneruskan perkara tersebut dan menyertakan satu mod baharu yang menjadikan permainan simulasi sukan dengan mod untuk sesi permainan solo yang terbaik.

Saya meluangkan ratusan jam bermain permainan seperti FIFA, NBA 2K dan juga MLB The Show ini dan saya boleh katakan, hanya MLB The Show majoriti masa yang saya luangkan adalah bermain mod-mod solo, terutama mod baharu yang disertakan iaitu Storylines. Di dalam mod ini, terdapat beberapa atlit yang menjadi fokus, dan pemain perlu melakukan beberapa misi untuk mengetahui lanjut mengenai pemain tersebut.

Bagi kandungan pertama di dalam Storylines, MLB The Show 23 memfokuskan kepada ‘The Negro League’ iaitu liga besbol yang ditubuhkan untuk membolehkan pemain-pemain berkulit hitam bermain sukan ini. Pada waktu itu, liga utama Besbol di Amerika Syarikat tidak membenarkan pemain berkulit hitam bermain bersama.

Antara atlit yang disertakan adalah Satchel Paige, Hilton Smith, Rube Foster dan Jackie Robinson. Setiap atlit akan menyertakan penceritaan sendiri yang disampaikan oleh Bob Kendrick iaitu presiden untuk Negro League Baseball Museum. Bagi saya, mod ini adalah antara mod terbaik yang pernah disertakan di dalam permainan simulasi sukan.

Saya bukan sahaja dapat mengetahui lanjut mengenai atlit-atlit ini, akan tetapi cara penyampaian dari segi persembahan Bob Kendrick sebagai narrator, sehinggalah bagaimana kejadian bersejarah disampaikan di dalam permainan ini. Contohnya, di dalam penceritaan Satchel Paige, ada satu kejadian di mana Satchel meminta kesemua pemain berada dekat dengannya untuk menyatakan yang dia tidak akan membiarkan pemain melawan memukul bola.

Setiap atlit akan mempunyai jumlah bab yang berbeza tetapi kebanyakan adalah 8 hingga 9 bab, untuk meneruskan penceritaan ke bab seterusnya pemain perlu melakukan misi tertentu yang berkait dengan posisi bagi atlit tersebut. Satchel Paige yang merupakan seorang Pitcher, akan memerlukan pemain untuk melakukan pitching tanpa memberikan Run contohnya. Menyelesaikan kesemua bab ini akan memberikan ganjaran termasuk juga kad atlit itu sendiri untuk digunakan di dalam mod Diamond Dynasty.

Selain ‘The Negro Leagues’ ini mod lain yang sudah tiba sebelum ini seperti Road to the Show, Diamond Dynasty, March to October dan juga Franchise juga menerima penambah-baikkan yang kecil dan juga besar.

Road to the Show iaitu mod yang memerlukan pemain untuk mencipta atlit sendiri dan bermula dari bawah sehinggalah bersara sebagai pemain yang berjaya. Penambahan yang disertakan memfokuskan kepada cara untuk memilih kekuatan serta kekurangan dengan lebih menyeluruh melalui sistem Quirks yang ditambah baik. Pemain juga kini boleh melakukan Face Scan jika ingin meletakkan wajah sendiri di dalam permainan ini.

Penambahan utama yang disertakan bagi saya adalah di mod Diamond Dynasty dengan pengenalan Season yang menyertakan kad jenis Core dan juga Set. Di dalam Diamond Dynasty saya boleh dapatkan kad pemain jenis Core atau Set, Core adalah kad yang boleh digunakan pada bila-bila masa sahaja, manakala Set adalah mengikut musim semasa.

Contohnya musim pertama untuk Diamond Dynasty sudah bermula dari tarikh pelancaran iaitu 23 Mac sehingga 12 Mei 2023, sepanjang musim ini, saya boleh dapatkan kad Core dan juga Set 1. Sesetengah mod di dalam Diamond Dynasty akan memerlukan pasukan yang mempunyai pemain dari Core ataupun Set tertentu sahaja. Oleh itu, apabila musim kedua bermula pada 12 Mei kelak, jika mod memerlukan kad pemain dari Set 2 sahaja, kad-kad pemain dari Set 1 tidak lagi boleh digunakan.

Kebiasaan saya tidak menyukai perkara ini kerana ini akan menyebabkan kad-kad yang anda berusaha untuk dapatkan tidak lagi boleh digunakan, namun, saya merasakan MLB The Show 23 sangat ‘murah hati’ dalam memberikan kad-kad baharu, selagi mana terus bermain pelbagai mod dan melakukan pelbagai misi.

Tambahan pada itu, kebanyakan mod di dalam Diamond Dynasty membolehkan saya menggunakan mana-mana kad pemain tanpa had, hanya sebahagian kecil sahaja yang akan mengehadkan-nya yang bagi saya akan membantu untuk saya mencuba kad-kad pemain yang berbeza dan tidak sekadar menggunakan kad terbaik sahaja.

Seperti siri MLB The Show sebelum ini, MLB The Show 23 juga menyertakan pelbagai ‘Programs’ yang akan mempunyai misi tersendiri untuk dilakukan oleh pemain yang akan memberikan kandungan berterusan. Semasa pelancaran ini, kandungan yang menjadi fokus adalah kejohanan World Baseball Classic iaitu kejohanan Besbol antarabangsa yang dianjurkan tiga tahun sekali.

Selain menyertakan misi, serta ganjaran yang diperoleh, permainan ini juga menyertakan kad-kad pemain yang khusus untuk kejohanan ini. Dengan World Baseball Classic berakhir dengan kemenangan Jepun yang memperlihatkan antara pengakhiran paling menarik di dalam perlawanan besbol, saya menjadi teruja untuk mendapatkan kandungan-kandungan berdasarkan-nya.

Manakala bagi tatamain pula, seperti biasa San Diego Studios akan menyertakan penambah-baikkan untuk menjadikan sesi bermain dengan lebih baik. Antaranya adalah untuk tetapan gaya tatamain iaitu Casual, Simulation dan Competitive dengan Competitive telah ditambah-baik dengan menerima pendapat dari pemain-pemain profesional.

Grafik pula, saya tidak dapat melihat perbezaan yang ketara berbanding MLB The Show 22, tidak kira di Xbox Series X mahupun PlayStation 5 dengan kata lain, bukanlah grafik terbaik terutama dari segi wajah pemain, berbanding permainan-permainan simulasi sukan yang lain tetapi bagi saya sudah mencukupi dan rekaan kesan bunyi adalah berkualiti membantu untuk memberikan pengalaman yang lebih baik.

Pengulas bagi saya masih lagi mempunyai masalah yang sama dengan permainan tahun lepas, penyampaian adalah baik akan tetapi tidak pelbagai dan dari awal lagi pengulas akan sering mengulangi perkara yang sama apabila berlaku situasi yang sama. Jika dipelbagaikan lagi akan menjadikan sesi permainan lebih menarik.

Saya banyak bercakap mengenai sesi solo, bagi sesi multi-pemain pula adalah sama dengan penawaran sebelum ini. Namun, dengan penambah-baikkan untuk tetapan Competitive, sesi ini akan menjadi lebih baik untuk pemain yang ingin bermain secara lebih mendalam. Saya tidak mencubannya dengan menyeluruh kerana saya masih dapati sukar untuk mencari pemain yang akan menjadikan sambungan kurang baik mencacatkan sesi permainan.

Akhir kata, MLB The Show 23 masih lagi permainan simulasi sukan terbaik bagi sesi permainan secara solo dengan pelbagai mod serta kandungan yang disertakan dari semasa ke semasa. Terutamanya melalui mod baharu iaitu Storyline yang bukan sahaja menarik tetapi penyampaian sangat berkualiti, dan saya tidak sabar untuk melihat kandungan tambahan yang akan disertakan di dalam mod ini.

Selain daripada itu, setiap mod-mod lain juga telah menerima penambah-baikkan yang besar dan juga kecil, terutama mod Diamond Dynasty yang memperkenalkan kad jenis Core dan juga Set. Manakala untuk grafik dan juga tatamain secara umum tidak banyak perbezaan dan masih lagi baik seperti tahun lepas.

Penafian: Kod permainan MLB The Show untuk PlayStation 5 dan Xbox Series disediakan oleh SIE Singapura untuk tujuan ulasan ini. MLB The Show 23 sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan Nintendo Switch.

MLB The Show 23
MLB The Show 23 terus menjadi permainan simulasi sukan yang mengandungi kandungan untuk sesi bermain secara solo yang berkualiti terutama dengan penambahan mod "The Negro Leagues"
Positif
'The Negro Leagues' Penambahan Yang Berkualiti
Pengenalan Season Untuk Diamond Dynasty
Kandungan Bertema Yang Menarik
Negatif
Tiada Perubahan Besar Untuk Tatamain Dan Grafik
Sesi Multi-Pemain Kurang Baik Di Malaysia
8

Leave a Reply