Pandang Pertama Samsung Galaxy A54 5G

Samsung Galaxy A54 5G boleh dikatakan sebagai peranti utama untuk kelas pertengahan oleh Samsung dengan mereka tidak lagi melancarkan siri Samsung Galaxy A7x, sebaliknya pada tahun ini Samsung sekadar melancarkan Samsung Galaxy A54 dan Samsung Galaxy A34.

Dengan peralihan ini, A54 juga ditawarkan dengan harga lebih mahal, namun sangat minimal iaitu RM1,899 berbanding A53 yang ditawarkan dengan harga RM1,849.

Kami telah dapat mencuba sendiri Samsung Galaxy A54 ini, dan ingin berkongsi serba sedikit pandangan ringkas mengenainya, ulasan penuh akan tiba selepas kami meluangkan masa yang lebih bersama dengan telefon ini terutama bagi prestasi bermain permainan mudah alih dan juga ketahanan bateri.

Di dalam kotak untuk Samsung Galaxy A54 akan menyertakan telefon itu sendiri bersama dengan kabel USB-C ke USB-C. Seperti telefon-telefon lain untuk Samsung, kepala pengecas tidak disediakan dan anda boleh menggunakan kepala pengecas sedia ada ataupun membelinya secara berasingan. Selain itu, di dalam kotak juga menyertakan pin membuka sim dan buku manual.

Samsung Galaxy A54 5G hadir dengan skrin Super AMOLED yang lebih kecil berbanding A53 iaitu 6.4-inci berbanding 6.5-inci, begitu juga resolusi 1080 x 2340 berbanding 1080 x 2400, ketumpatan pixel juga lebih rendah dengan ~403 ppi berbanding ~405 ppi.

A54 mempunyai kelebihan untuk tahap keterangan yang lebih tinggi iaitu 1000 nits berbanding 800 nits. Telefon ini juga akhirnya menyokong HDR 10+, fungsi yang tidak disertakan di A53 dan mengekalkan sokongan kadar segar semula 120Hz. Ini akan memberikan kualiti paparan yang lebih baik untuk kandungan-kandungan HDR.

A54 masih mengekalkan penggunaan cip pemprosesan Exynos tetapi cip generasi yang lebih terbaru berbanding A53 iaitu Exynos 1380 yang mengikut penanda aras, Exynos 1380 memberikan prestasi 25% lebih tinggi berbanding Exynos 1280 yang digunakan di A53. Selain daripada itu, A54 masih mengekalkan 8GB RAM dan 256GB storan dalaman dengan sokongan mikroSD sehingga 1TB.

A54 juga mengekalkan kapasiti bateri iaitu 5,000mAH dengan sokongan pengecas pantas sehingga 25W yang sedikit mengecewakan kerana kebanyakan telefon pintar walaupun kelas pertengahan telah menyokong kadar pengecasan yang lebih pantas.

Rekaan A54 boleh dikatakan hampir sama dengan A53 sebelum ini, akan tetapi sedikit lebih berat walaupun dengan saiz peranti yang lebih kecil. Perbezaan utama adalah di bahagian kamera dengan rekaan lebih rata walaupun kamera masih lagi berada lebih tinggi dan tidak akan rata apabila diletakkan di meja.

Butang kuasa dan volume masih lagi diletakkan di bahagian kanan telefon, sambungan kuasa juga menggunakan USB-C dengan satu lagi perbezaan adalah sim sekarang berada di bahagian atas berbanding bahagian bawah sebelum ini yang bagi saya satu perubahan yang baik kerana saya sering tertukar lubang untuk membuka SIM dengan lubang untuk mikrofon.

Saya masih tidak meluangkan masa yang lama bermain permainan mudah alih menggunakan A54, namun pada pemerhatian awal, saya boleh katakan prestasi adalah lebih kurang sama dengan A53 dengan pilihan tetapan yang saya cuba adalah sama dengan tetapan sebelum ini, tetapi dengan terasa lebih lancar untuk sesetengah permainan seperti Genshin Impact dan Wild Rift.

Bagi ketahanan bateri saya juga merasakan dengan kapasiti yang sama, akan memberikan ketahanan yang sama. Namun, nantikan ulasan penuh untuk Samsung Galaxy A54 5G jika anda ingin mengetahui lebih lanjut selepas saya mencubanya dengan lebih mendalam.

Samsung Galaxy A54 5G ditawarkan dengan harga RM1,899 dan mempunyai 4 pilihan warna iaitu Awesome Violet, Aweseom Graphite, Awesome Silver dan Awesome Lime.

Setiap pembelian juga hadir dengan 2 tahun waranti secara percuma dan sokongan kemaskini sekuriti sekurang-kurangnya selama 5 tahun dan sistem operasi untuk 4 generasi.

Anda juga boleh menggunakan kod khas AMGA34545G bagi mendapatkan aksesori 35W PD Power Adapter Duo yang bernilai RM 99 secara percuma apabila membeli Galaxy A34 | A54 di laman rasmi Samsung. Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan promosi menarik mengenai Samsung, sila layari laman web rasmi mereka. 

Fotografi oleh Khairunisa Aqilah untuk Aksiz

Sohor Kini