Seperti diumumkan sebelum ini, Crystal Dynamics telah melancarkan kemaskini terakhir iaitu versi 3.8 untuk permainan Marvel’s Avengers sebelum menghentikan sokongan sepenuhnya pada bulan September tahun ini.
Melalui kemaskini terakhir ini, mereka telah menyediakan kesemua barangan kosmetik yang sebelum ini ditawarkan melalui pembelian di dalam permainan secara percuma.
Selain itu, barangan yang hanya boleh didapatkan melalui menyelesaikan Hero Card juga kini ditawarkan secara percuma dengan fungsi Hero Card itu sendiri dibuang secara sepenuhnya.
Jika anda masih mempunyai Credit di dalam permainan ini, kesemuanya akan ditukar kepada barangan lain yang boleh digunakan di dalam permainan ini.
Bagi kandungan yang eksklusif untuk sesetengah platform, seperti Spider-man eksklusif untuk PlayStation, kandungan tersebut masih lagi hanya boleh didapatkan oleh pemain di platform tersebut.
Bagi pemain yang memiliki permainan ini, ataupun baru sahaja ingin membelinya, kebanyakan bahagian di dalam permainan ini masih boleh dimainkan termasuk juga sesi multi-pemain. Ini akan berterusan walaupun selepas sokongan dihentikan sepenuhnya.
Jika anda sudah membelinya, tetapi tidak memasangnya, permainan ini juga masih boleh dimuat-turun melalui platform yang anda membelinya.
Tamatnya sokongan untuk Marvel’s Avengers ini sudah dijangkakan kerana sejak dilancarkan lagi ia telah membawa kerugian kepada Square Enix dan tidak mempunyai bilangan pemain yang menggalakkan.
Tambahan lagi, pembangun iaitu Crystal Dynamics juga telah diambil alih oleh Embracer Group dan akan sibuk dengan pembangun Tomb Raider.