Pada awal bulan ini, kami telah dibawa oleh pasukan Bethesda untuk mencuba sendiri Redfall iaitu permainan terbaru oleh mereka – anda boleh baca pandang pertama kami untuknya. Pada masa sama, kami juga telah berkesempatan untuk menyertai perkongsian oleh Jeremy Hinton iaitu Pengarah Perniagaan Asia untuk Xbox bersama dengan media.
Semasa perkongsian ini, beliau telah menyatakan strategi Xbox untuk mengembangkan lagi penawaran mereka di Asia Tenggara. Strategi-strategi ini adalah berdasarkan misi mereka untuk membawa keriangan kepada komuniti permainan video serata dunia dengan ‘aku janji’ untuk bermain permainan video dengan sesiapa dan di mana sahaja. Strategi ini juga berasaskan kepada tiga asas penting iaitu komuniti, kandungan dan juga perkhidmatan awan.
Perkhidmatan Game Pass menurut Jeremy Hinton adalah cara yang paling mudah dan juga murah untuk menawarkan kandungan permainan video ke serata dunia. Namun, beliau juga menegaskan yang tidak seperti perkhidmatan seperti Netflix, Game Pass tidak ingin menggantikan cara sedia ada untuk mendapatkan permainan video, sebaliknya ingin menjadi cara tambahan kepada pemain.
Di Asia Tenggara, PC Game Pass telah ditawarkan di beberapa negara termasuk juga di Malaysia dan hampir setahun selepas ditawarkan, mereka sangat gembira dengan penerimaan dan juga reaksi daripada pemain untuk perkhidmatan ini. Pada masa sama, beliau juga mengatakan yang mereka masih mendengar pendapat untuk memberikan pengalaman terbaik kepada pengguna.
Game Pass juga dikembangkan untuk menyertakan permainan-permainan percuma untuk dimainkan tetapi dengan tambahan kelebihan seperti permainan Riot Games iaitu League of Legends dan Valorant. Mereka juga akan bekerjasama dengan OEM untuk memberi tawaran dengan pembelian perkakas seperti laptop dan menyediakan lebih banyak cara bayaran seperti melalui telco.
Dengan menawarkan PC Game Pass di Asia Tenggara, mereka telah membawa perkhidmatan tersebut secara rasmi ke benua ini, yang sekali gus memudahkan untuk pemain melanggan dan mendapatkan segala kelebihan daripada perkhidmatan tersebut.
Selain daripada itu, Jeremy Hinton juga telah mengumumkan yang alat kawalan Xbox akan ditawarkan di lebih banyak negara di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia dan juga Filipina. Manakala negara yang sudah menerimanya sebelum ini iaitu Thailand dan Vietnam, penawaran akan dikembangkan lagi.
Beliau juga mengatakan yang menawarkan alat kawalan Xbox secara rasmi adalah penting kerana mengikut sejarah alat kawalan Xbox adalah alat kawalan popular di kalangan pemain PC berdasarkan data oleh Steam.
Selain membawa perkhidmatan dan juga aksesori mereka ke pasaran Asia Tenggara, mereka juga akan mengembangkan lagi penawaran kandungan tempatan dan akan terlibat dengan pembangun-pembangun dari Asia Tenggara terutama melalui program [email protected].
Semasa perkongsian ini, Jun Shen Chia iaitu Pengurus Inkubator Perkembangan Global untuk Asia Tenggara telah menyatakan rancangan mereka untuk terlibat dengan lebih banyak pembangunan permainan-permainan tempatan dengan memberi mereka bukan sahaja sokongan secara kewangan tetapi juga di dalam membantu untuk mengembangkan lagi capaian studio-studio tempat.
Beliau juga mengatakan yang rancangan mereka untuk pasaran Asia Tenggara adalah bersifat jangka masa panjang dan bukan sahaja untuk membawa permainan ke ekosistem Xbox tetapi juga untuk memastikan masa depan yang mapan bagi pembangun.
Lima studio dari Asia Tenggara dengan tiga dari Malaysia juga telah berkongsi permainan mereka yang akan disertakan di dalam Game Pass pada hari pelancaran. Permainan-permainan tersebut adalah seperti berikut;
Semasa perkongsian ini, kami juga telah mengajukan soalan mengenai penawaran Xbox Series dan juga perkhidmatan awan di Asia Tenggara khususnya di Malaysia, Jeremy Hinton mengatakan yang buat masa ini mereka tidak mempunyai sebarang perkongsian yang boleh dilakukan mengenai kedua-dua perkhidmatan tersebut.
Namun, bagi perkhidmatan awan, mereka sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan perkhidmatan pihak ketiga seperti GeForce Now yang ditawarkan secara rasmi di beberapa negara termasuk juga Malaysia.