Nintendo hari ini telah berkongsi 10 minit video tatamain untuk The Legend of Zelda: Tears of the Kingdom iaitu permainan terbaru untuk siri Zelda dan juga permainan susulan kepada Breath of the Wild yang dikeluarkan pada tahun 2017.
Anda boleh tonton video tersebut di bawah.
Antara penambahan yang diperlihatkan adalah Link boleh menggunakan kuasa baharu iaitu Recall yang akan mengembalikan sesuatu objek kepada kedudukan asal.
Di dalam video ini diperlihatkan bagaimana Link menggunakan Recall untuk menaiki ke pulau di langit ataupun digelar sebagai Sky Island melalui batu yang terjatuh dari pulau tersebut.
Fuse juga adalah penambahan yang disertakan, melaluinya pemain boleh menggabungkan barang-barang tertentu kepada senjata untuk memberikan kuasa tambahan.
Contoh yang diperlihatkan adalah Link menggabungkan panah dengan mata raksasa untuk menjadikan panah mengejar penjahat tanpa perlu membidik dengan tepat.
Seterusnya adalah Ultrahand yang membolehkan Link untuk menghasilkan sesuatu binaan. Di dalam video ini diperlihatkan bagaimana Link menggunakan kebolehan Ultrahand untuk membina rakit menggunakan tiga batang pokok.
Ascend pula adalah kebolehan untuk Link menembusi sesuatu atap bagi mempermudahkan lagi pergerakan dan mencapai tempat yang tinggi.
Nintendo juga telah mengumumkan yang permainan ini sudah siap dibangunkan dan akan tiba pada 12 Mei 2023 untuk Nintendo Switch.