Ulasan Air

Michael Jordan adalah nama terbesar di dalam sukan bola keranjang, dan boleh dikatakan di luar Amerika Syarikat ataupun di dalam juga, jenama Jordan adalah lebih besar berbanding NBA sendiri. Manakala Air Jordan boleh dikatakan sebagai antara jenama kasut terkenal di dunia dan merupakan jenama yang dihasilkan untuk membawa nama Michael Jordan.

Filem Air, ataupun dipromosikan sebagai Air: Courting a Legend adalah filem mengenai bagaimana Nike yang pada waktu itu tidak popular di kalangan pemain dan juga peminat bola keranjang cuba untuk mendapatkan Michael Jordan bagi menjadi atlit mereka. Michael Jordan dan kebanyakan atlit bola keranjang lain pada waktu itu, lebih gemar untuk memilih Converse atau Adidas yang lebih popular.

Filem ini memfokuskan kepada Sonny Vaccaro lakonan Matt Damon yang merupakan eksekutif pemasaran di Nike dan bertanggungjawab untuk memujuk Michael Jordan. Bersama dengan Sonny adalah Phil Knight lakonan Ben Affleck iaitu pengasas dan CEO Nike, dan Rob Strasser lakonan Jason Bateman yang merupakan Pengarah Pemasaran untuk Nike.

Filem ini juga melibatkan Michael Jordan sendiri akan tetapi bukan watak penting walaupun filem ini memfokus kepada dirinya, akan tetapi Deloris Jordan iaitu emak kepadanya yang lebih memainkan peranan dan dibawakan oleh Viola Davis.

Permasalahan utama di dalam filem ini adalah Nike ketinggalan di dalam sukan bola keranjang, dan bahagian bola keranjang tidak membawa keuntungan, dan Nike juga bercadang untuk menutup sepenuhnya bahagian ini, jika perubahan tidak dilakukan. Ini dengan secara tidak langsungnya, usaha Sonny untuk mendapatkan Michael Jordan adalah peluang terakhir mereka.

Bagi saya, permasalahan ini adalah cukup baik untuk menggerakkan penceritaan ini, akan tetapi saya mempunyai minat mengenai bola keranjang dan dari semasa ke semasa mengikuti sukan ini. Saya tidak pasti jika permasalahan ini juga menarik penonton-penonton yang kurang mengetahui mengenai sukan ini. Selain itu, saya juga merasakan yang mereka kurang untuk menjadikan permasalahan ini lebih ketenggah, dan tidak terasa impak ataupun kesan yang menyeluruh.

Namun, Ben Affleck yang juga pengarah untuk filem ini memilih untuk menjadikan filem Air lebih ringan, dengan pembawaan secara kasual yang bagi saya adalah pilihan yang tepat untuk memastikan kesemua golongan penonton dapat menghayatinya, walaupun tidak mempunyai minat ataupun tidak mengikut kisah bola keranjang. Pembawaan kasual ini, saya boleh samakan dengan filem The Big Short yang membawa topik yang berat tetapi disampaikan dengan ringan, untuk memudahkan lagi sesi tontonan kepada semua.

Bersama dengan penyampaian yang ringan ini, filem ini juga diselitkan dengan banyak babak-babak komedi yang membuatkan saya ketawa. Terutama percakapan di antara Sonny dan juga David Falk lakonan Chris Messina yang merupakan ejen kepada Michael Jordan. Walaupun sekadar percakapan di dalam telefon sahaja akan tetapi chemistry di antara Matt Damon dan Chris Messina sangat menjadi membuatkan adegan mereka bahagian terbaik di dalam filem ini.

Dengan filem ini membariskan pelakon-pelakon yang hebat, tidak mengejutkan prestasi mereka juga seperti yang dijangkakan. Matt Damon sebagai pembawa watak utama cemerlang di dalam peranan ini, bukan sahaja menjadi seorang eksekutif Nike tetapi dia juga membawa dengan baik untuk memperlihatkan sisi kemanusiaan.

Begitu juga Viola Davis sebagai Deloris Jordan yang mungkin telah mengambil peranan David Falk di dalam mengendalikan urusan kontrak untuk Michael Jordan, saya tidak pasti jika perkara ini adalah kisah benar, namun kerana pembawaan yang baik oleh Viola Davis saya masih menyukai pilihan kreatif filem ini untuk menjadikan ibu kepada Michael Jordan lebih ke depan berbanding orang perniagaan seperti David Falk walaupun seperti saya katakan di atas Chriss Messina membawa tersebut dengan baik sekali walaupun terhad.

Air adalah filem mengenai Michael Jordan, Nike dan sukan bola keranjang, akan tetapi saya merasakan memanggil Air sebagai filem sukan adalah kurang tepat, kerana filem ini tidak sangat memfokuskan elemen sukan tersebut tetapi lebih kepada bahagian perniagaan untuknya. Dengan Michael Jordan hanya bercakap satu atau dua patah perkataan sahaja, Air lebih kepada filem mengenai Nike berbanding mengenai Jordan ataupun sukan bola keranjang.

Akhir kata, Air adalah satu filem yang ringan yang menjadikannya tontonan yang mudah. Bagi yang tidak meminati bola keranjang ataupun mengenai Michael Jordan, penceritaan mungkin kurang menarik, namun filem ini masih lagi tontonan yang menarik secara umum dengan lebih memfokuskan kepada bahagian perniagaan.

Tambahan lagi, penulisan serta lakonan untuk setiap watak juga dibawakan dengan sangat berkualiti menjadikan Air satu filem yang menarik, mungkin sedikit ringkas akan tetapi saya masih menyukainya dan merasakan satu filem yang bukan sahaja memberi sedikit pengenalan kepada perniagaan untuk penajaan dan atlit sukan, terutama nama besar seperti Michael Jordan.

Air
Air adalah satu filem menarik memperlihatkan bagaimana Nike mendapatkan atlit terbaik dunia Michael Jordan untuk memakai jenama mereka.
Positif
Lakonan Yang Berkualiti Untuk Semua Watak
Pembawaan Penceritaan Yang Ringan Tetapi Menarik
Negatif
Mungkin Kurang Menarik Bagi Yang Tidak Mengikuti Sukan Ini
7

Sohor Kini