Mobile Legends Professional League Malaysia Musim Ke-11 telah memasuki hari kesembilan yang juga merupakan hari terakhir untuk minggu ketiga. Terdapat tiga perlawanan yang berlangsung pada hari ini iaitu Todak bertemu dengan Red Giants Esports, Team Lunatix bertemu Homebois dan Team SMG lawan RED Esports MY.
Todak mengekalkan kecemerlangan mereka dengan memenangi perlawanan keempat berturut-turut selepas mengalahkan Red Giants Esports dengan skor 2-1. Red Giants mendahului selepas pertempuran sengit di pusingan pertama tetapi pusingan kedua dan ketiga mudah diambil oleh Todak.
Homebois pula telah menerima kekalahan pertama mereka selepas 5 perlawanan apabila Team Lunatix berjaya mengatasi mereka dengan skor 2-1. Membuat penampilan buat pertama kali, Soloz tidak berjaya untuk mengekalkan momentum Homebois dengan sekadar dapat memenangi pusingan pertama sahaja sebelum Team Lunatix terus bermain dengan cemerlang untuk dua pusingan berikutnya.
Menjadi satu-satunya pasukan yang terus kekal tanpa kalah adalah Team SMG apabila berjaya untuk menepis RED Esports MY dengan mudah apabila memenangi dengan skor 2-0. Team SMG mendominasi kedua-dua pusingan, walaupun RED memperlihatkan strategi yang baik pada awal pusingan.
Dengan Homebois menerima kekalahan pertama, Team SMG telah mengambil kedudukan pertama selepas minggu ketiga dengan 14 markah, Homebois 13 markah manakala Todak, Team Lunatix serta RED Esports MY berada di tempat ketiga, keempat dan kelima.
Di dua tempat terakhir yang menghampiri penyingkiran adalah Team HAQ yang hanya menang 1 daripada 5 perlawanan dan Team Secret yang tewas keenam-enam perlawanan.
Kejohanan akan berehat sepanjang hari minggu ini dan akan kembali pada 31 Mac 2023 dengan perlawanan di antara RED Esports MY bertemu dengan RSG Slate MY dan Team Lunatix melawan Team HAQ.
Sumber Gambar: MPL Malaysia