Skip to main content

A Man Called Otto adalah satu filem drama komedi yang cukup lengkap, satu filem yang ringkas tetapi menyampaikan bahagian-bahagian penting dengan baik sekali. Marc Forster yang saya kenali melalui filem Stranger than Fiction berjaya membawa penceritaan yang sama iaitu tenang untuk ditonton, memberi kepuasan emosi dan juga memberi perasaan penuh kepada saya yang menontonnya.

Filem ini adalah mengenai Otto Anderson lakonan Tom Hanks iaitu seorang lelaki berumur 63 tahun yang bukan sahaja baru kehilangan isteri iaitu Sonya, dia juga baru bersara dari pekerjanya. Kedua-dua kejadian ini telah membuatkan Otto tidak lagi mempunyai keinginan untuk hidup, dan merancang untuk membunuh diri.

Pada masa sama, Otto juga merupakan yang sangat menjaga kawasan perumahannya, sering memastikan kesemua kereta mempunyai permit untuk parkir, pintu pagar sentiasa ditutup, dari semasa ke semasa dia juga akan membantu kejiranan untuk membaiki barangan rumah. Namun, dia masih bersikap bengis dengan sesiapa sahaja yang mendekatinya.

Suatu hari, dia telah mengambil keputusan untuk membunuh diri akan tetapi semasa dia ingin melakukannya, dia terganggu dengan satu pasangan suami isteri iaitu Marisol dilakonkan oleh Marian Trevino dan suaminya Tommy lakonan Manuel Garcia-Rulfo. Mereka baru berpindah tetapi mengalami kesukaran untuk parkir kereta mereka, yang membuatkan Otto membatalkan niatnya untuk membunuh diri dan membantu mereka, bukan kerana baik hati tetapi serabut melihat.

Selepas kejadian tersebut, walaupun sering tidak di-endah oleh Otto, Marisol sering datang untuk bertanya khabar, memberi makanan, yang secara tidak langsungnya telah membuatkan Otto tidak sangat berfikir mengenai keinginan untuk membunuh diri. Namun, bukan bermakna dia berhenti mencuba – dia terus mencuba tetapi sering sahaja terganggu dengan perkara yang tidak diduga.

Sepanjang filem ini, diperlihatkan bagaimana walaupun Otto bersikap garang dengan orang di sekitarnya, tetapi ini mereka menjadi semakin rapat dan banyak adegan-adegan yang mencuit hati, sedih dan juga menggembirakan yang diperlihat. Setiap adegan saya tontonnya dengan sangat fokus dan tidak terasa mana-mana bahagian membosankan.

Pada awalnya, saya tidak menyukai lakonan Tom Hanks sebagai seorang lelaki tua yang bengis, kerana bagi saya Tom Hanks lebih kepada seorang yang semua akan senang dan suka. Tom Hanks tidak memberikan perasaan yang sama dengan Clint Eastwood di dalam Gran Torino. Namun, apabila watak Otto itu sendiri berkembang menjadi watak yang lebih bersesuaian dengan pembawaan Tom Hanks menjadikannya lebih sesuai.

Selain Tom Hanks sendiri, Mariana Trevino sebagai Marisol juga adalah satu lagi watak yang disampaikan dengan sangat baik, watak Marisol benar-benar membawa penceritaan bagi filem ini, dan menjadi watak pembantu kepada Otto dengan berkesan. Saya juga boleh katakan yang selain Otto, watak Marisol juga boleh dianggap sebagai watak utama di dalam filem ini.

Filem ini juga menyertakan adegan-adegan imbas kembali untuk memperlihatkan perhubungan di antara Otto dan isterinya Sonya yang dilakonkan oleh Rachel Keller. Imbas kembali walaupun dilakukan dengan kerap, tetapi saya tidak rasa terganggu dan sangat berkesan untuk memberikan lebih konteks kepada perasaan yang sedang dirasai oleh Otto. Tambahan pada itu, Rachel Keller dan Truman Hanks yang membawa watak Otto waktu muda juga melakukannya dengan baik sekali, memberi kisah romantik kepada filem ini.

Akhir kata, A Man Called Otto adalah satu filem yang sangat tenang untuk ditonton dengan penceritaan yang ringkas tetapi berkesan memberi impak emosi. Filem ini terasa seperti sup panas ketika hujan, setiap hirupan menenangkan. Ada beberapa adegan di dalam filem ini yang membuatkan saya menangi, ada yang membuatkan saya ketawa dan ada yang membuatkan saya tersenyum. Jika anda ingin mencari filem yang tenang walaupun membawa topik yang berat iaitu membunuh diri, A Man Called Otto adalah satu filem yang baik.

A Man Called Otto
A Man Called Otto adalah satu filem drama komedi yang sangat ringkas tetapi menyampaikan penceritaan dengan berkesan memberi pelbagai emosi kepada penonton.
Positif
Penceritaan Ringkas Tetapi Berjiwa
Lakonan Baik Oleh Semua Watak
Negatif
Penggunaan Imbas Kembali Yang Kerap
8

Leave a Reply