Pada minggu lepas, Bethesda telah memberikan saya peluang untuk mencuba lebih awal Redfall yang akan dilancarkan secara rasmi pada 2 Mei untuk PC dan Xbox Series. Saya meluangkan masa lebih kurang sejam untuk mencuba permainan ini, semasa sesi ini saya menggunakan watak Layla Ellison iaitu salah seorang daripada 4 watak yang boleh digunakan oleh pemain.
Bagi sesi ini saya bermula beberapa jam selepas pembukaan di mana saya sudah berada di Fire Station yang merupakan hab kepada pemain di dalam permainan ini. Di Fire Station ini, pemain boleh dapatkan misi, membeli senjata, peluru dan juga ubatan. Terdapat juga beberapa NPC yang akan memberikan dialog tertentu, dan bercakap mengenai perkara terbaru yang terjadi.
Watak yang saya guna adalah Layla Ellison yang mempunyai kebolehan ‘Lift’ iaitu mencipta bongkah untuk membolehkan pemain melompat ke satu tempat yang tinggi ataupun memudahkan untuk melarikan diri. Seterusnya adalah ‘Umbrella’ di mana Layla akan mengeluarkan payung yang akan menyerap kesemua serangan penjahat termasuk juga peluru dan boleh dilepaskan balik. Bagi kebolehan ultimate adalah ‘Vampire Ex-Boyfriend’, Layla akan memanggil bekas teman lelakinya yang telah menjadi vampire untuk membantu semasa bertempur.
Bersama dengan kebolehan-kebolehan ini, pertempuran juga memfokuskan kepada penggunaan senjata, terdapat senjata biasa seperti Pistol, Assault Rifle, Shotgun, Sniper bersama dengan beberapa senjata unik yang saya dapat cuba iaitu Flare Gun, Portable UV Beam dan Stake Launcher. Sepanjang saya bermain, saya boleh katakan yang senjata memainkan peranan lebih penting berbanding penggunaan kebolehan, ini mungkin kerana kebolehan untuk Layla sedikit pasif dan boleh dikatakan sebagai satu watak support.
Kebolehan Layla mungkin akan lebih baik untuk sesi permainan secara koperasi, oleh kerana sepanjang saya bermain memfokuskan sesi permainan secara solo sahaja, saya tidak dapat mengujinya. Oleh itu, semasa sesi percubaan ini, saya tidak menguji sepenuhnya kebolehan untuk Layla dan kebanyakan perlawanan lebih kepada saya menembak dan menggunakan Umbrella apabila keadaan menjadi tidak terkawal.
Semasa Redfall pertama kali diumumkan, ramai yang menganggap permainan ini adalah seperti Left 4 Dead ataupun Back 4 Blood, akan tetapi selepas saya mencubanya, Redfall adalah satu permainan yang sangat berbeza terutama kerana saya bermain secara solo. Berbanding pemain perlu melalui gelombang penjahat, di dalam Redfall saya boleh memilih untuk melakukan mana-mana misi, ataupun ingin bertempur dengan mana-mana penjahat.
Berbanding permainan menembak first person, Redfall lebih kepada permainan pengembaraan dunia terbuka yang membolehkan dimainkan secara koperasi. Misi utama yang saya cuba semasa sesi ini adalah menyiasat mengenai Hollow Man iaitu salah seorang ‘ketua’ penjahat di dalam permainan ini. Berbanding sekadar mencari dan membunuh Hollow Man, misi ini memperlihatkan sejarah mengenai Hollow Man yang menjadikannya lebih menarik.
Sebelum dapat melawan dengan Hollow Man ini, saya juga perlu melakukan pelbagai tekaria seperti mencari kedudukan anak patung, kunci, iaitu elemen-elemen biasa bagi permainan seram, walaupun secara amnya Redfall bukanlah permainan seram tetapi pembawaan elemen tambahan ini menjadikan tatamain tidak terasa terlalu mendatar.
Selain melakukan misi utama ini, saya juga boleh melakukan aktiviti lain, membebaskan sesuatu kawasan daripada kawalan vampire, membebaskan kawasan ini memerlukan saya untuk membunuh kesemua penjahat di kawasan tersebut dan membuka generator bagi membolehkan saya mengakses ‘rumah selamat’ yang juga menjadikan tempat untuk melakukan fast travel.
Setiap rumah selamat ini mempunyai misi tambahan tersendiri, yang walaupun adalah misi sampingan akan tetapi diperlukan untuk meneruskan misi utama. Contohnya, misi utama akan memerlukan pemain untuk mengumpul tiga tengkorak sebelum dapat bertemu dengan Hollow Man. Tengkorak ini boleh didapatkan dengan menyelesaikan misi-misi rumah selamat ini, tetapi juga ada beberapa cara yang lain. Oleh itu, pemain masih lagi diberikan pilihan untuk mencari cara terbaik menyelesaikannya jika tidak ingin melakukan kesemua misi yang ada.
Terdapat juga aktiviti sampingan yang akan memerlukan saya untuk memasuki dimensi lain, dan perlu menghancurkan satu jantung besar. Menghancurkan-nya akan memberikan saya masa yang terhad untuk mendapatkan loot seperti senjata, memberikan elemen looter shooter untuk permainan ini. Bercakap mengenai loot, wang adalah perkara yang penting di dalam permainan ini, kerana akan digunakan untuk membeli peluru dan juga ubatan. Semasa saya bermula bermain saya mempunyai 15 ribu wang tetapi berakhir dengan kurang daripada 1 ribu, yang menyukarkan saya untuk membeli peluru.
Ini berkemungkinan besar adalah kerana saya tidak sempat meneroka cara untuk mendapatkan wang seperti menjual barangan-barangan yang diperoleh tetapi tidak digunakan. Namun, pada pengalaman yang terhad ini, saya boleh katakan pengurusan barangan, wang akan memainkan peranan penting untuk menjadikan sesi pemburuan mudah ataupun sukar.
Pertempuran di dalam Redfall adalah seperti yang saya jangkakan untuk sesuatu permainan first person, tetapi ada sesetengah bahagian yang saya merasakan akan memberi lebih keseronokan apabila bermain secara koperasi, terutama dengan seperti saya katakan di atas, kebolehan Layla adalah lebih kepada support yang menjadikan sesi bermain secara solo tidak mencapai potensi penuh untuk wataknya.
Beberapa penjahat yang saya jumpa semasa bermain adalah vampire yang mempunyai mekanik tambahan di mana apabila melemahkan vampire, pemain perlu menikam ke dada ataupun membakarnya jika tidak ingin vampire tersebut hidup kembali. Menikam ke dada boleh dilakukan menggunakan butang khas mengikut senjata yang digunakan, pemain juga boleh menembak-nya menggunakan Stake Launcher.
Selain vampire, terdapat juga manusia yang akan menggunakan senjata mereka adalah pengikut kepada penjahat, bagi bahagian ini pengikut kepada Hollow Man, bertempur dengan mereka lebih merasakan seperti satu permainan menembak. Saya boleh katakan sepanjang sesi permainan terhad ini, saya menjumpai lebih 6 jenis penjahat yang berbeza dengan setiapnya mempunyai gaya serangan tersendiri.
Bagi pengisian peta pula, saya boleh katakan Arkane telah menghasilkan satu dunia yang baik untuk Redfall, dengan terdapat pelbagai perkara menarik di setiap sudut untuk dilawati ataupun diteroka. Cara misi disampaikan juga menggalakkan saya untuk meneroka kawasan dengan lebih lanjut. Sesetengah misi hanya mengatakan perlu menuju ke kawasan tertentu tetapi tidak diperlihatkan di dalam peta yang akan memerlukan pemain untuk mengembara.
Peta yang diperlihatkan kepada saya untuk sesi awal permainan ini sudah cukup luas, tetapi terdapat pelbagai lagi kawasan lain yang akan dibuka apabila lebih lama bermain, yang memberikan potensi kepada permainan ini untuk menjadi satu permainan dunia terbuka yang menarik dengan pemain boleh meluangkan masa yang lama sekadar mengembara sahaja.
Akhir kata, dengan mencuba sendiri Redfall mengesahkan yang permainan ini bukanlah satu lagi klon untuk Left 4 Dead, sebaliknya satu permainan aksi pengembaraan dunia terbuka dengan menyertakan penceritaan dan juga rekaan dunia dengan potensi untuk menjadi mendalam yang akan memberikan pemain lebih ruangan bukan sahaja sekadar memburu penjahat, atau menembak tetapi juga mengetahui mengenai apa yang berlaku dan juga meneroka Redfall.
Saya tidak mencubanya lagi, tetapi berdasarkan beberapa kuasa oleh Layla, sesi koperasi juga akan menjadi lebih menarik dengan pemain boleh bekerjasama di dalam melawan penjahat. Namun, permainan ini sepenuhnya boleh dimainkan secara solo, dan berdasarkan apa yang saya alami pengalaman yang diberikan masih lagi memuaskan.
Redfall akan dikeluarkan untuk PC dan Xbox Series pada 2 Mei dengan akan disertakan di dalam langganan Xbox Game Pass serta PC Game Pass pada hari pelancaran.