Netflix Games Akan Hadir Dengan 40 Permainan Tahun Ini

Seperti yang semua sedia maklum, Netflix kini turut memfokuskan kepada permainan video mudah alih (permua) untuk peranti Android dan iOS menerusi Netflix Games. Di bawah Netflix Games sudah ada tiga studio dalaman yang memfokuskan kepada pembangunan permua.

Minggu lepas, Aksiz dijemput untuk sesi telesidang bersama Leanne Loombe iaitu naib pengerusi dan ketua kepada External Games di bawah Netlfix.

Menurut beliau Netflix akan datang akan mempunyai lebih banyak permua. Kini sudah ada lebih 50 permua yang sedia dimainkan dan tahun ini sahaja akan ada lagi 40 diperkenalkan. Bukan itu sahaja, 16 permua baharu nanti adalah pembangunan oleh studio Netflix sendiri. Netflix turut akan berusaha hadir dengan permua daripada IP yang sudah dikenali orang ramai.

Loombe turut berkongsi dengan kini ada lebih 230 juta pelanggan Netflix ingin menjadi penerbit kandungan berkelas dunia yang tidak terhad kepada kandungan video sahaja dan ingin menawarkan ratusan juta pelanggan mereka akses kepada permua pula.

Dengan pengenalan Netflix Games, Netflix akan memperkenalkan sekurang-kurangnya satu permua sebulan. Mereka juga memastikan semua pembangun permua dijaga dengan baik agar kualiti dan hasil kerja adalah bagus untuk pengalaman yang terbaik kepada para pelanggan.

Dengan Netflix Games, IP Netflix turut tidak terhad kepada filem dan siri TV sahaja. Loombe mengaku yang tidak semua permua akan menjadi popular dan dimainkan oleh orang ramai tetapi sekurang-kurangnya IP dikembangkan ke arena lain selain video.

Tidak lupa juga yang melalui Netflix Games semua permua adalah bebas iklan dan tiada lagi bayaran dalam aplikasi. Ini bermakna untuk mengakses permua dengan pengalaman sebegini langganan Netflix adalah diwajibkan.

Sohor Kini