Ulasan Hogwarts Legacy

Hogwarts Legacy adalah satu permainan yang saya boleh katakan permainan yang dipenuhi dengan kompromi. Secara keseluruhannya Hogwarts Legacy adalah satu permainan yang sangat baik dan saya boleh katakan antara permainan dunia terbuka yang saya betul-betul mempunyai masa yang baik bermain, pada masa yang sama, saya juga merasakan terdapat banyak bahagian di dalam permainan ini yang dikurangkan agar tidak mengambil masa pembangunan lebih lama daripada yang dirancangkan.

Jika benar kompromi ini dilakukan, saya juga berpendapat yang kompromi ini dilakukan dengan tanpa menjejaskan apa yang Avalanche Software ingin sampaikan melalui permainan ini. Kandungan-kandungan yang disertakan adalah baik, secara cliche saya boleh katakan Hogwarts Legacy benar-benar memberi pengalaman kepada saya untuk menjadi pelajar di Hogwarts dan menjadi seorang ahli sihir.

Hogwarts Legacy berlaku pada awal tahun 1800-an iaitu lebih kurang 100 tahun sebelum kejadian di dalam siri buku dan filem Harry Potter. Namun, mungkin kerana dunia magis bergerak sangat perlahan, ataupun mereka tidak sangat mengikut peredaran masa, tidak banyak perbezaan apa yang kita kenali daripada filem dan juga di dalam permainan ini. Bagi yang mengikuti kisah Harry Potter, akan merasai kesamaan di dalam permainan ini dan saya tidak merasakan perkara ini adalah satu masalah.

Pemain akan menghasilkan watak sendiri, termasuk juga memilih rumah apa yang ingin dimasuki, dengan menjawab soalan-soalan ringkas, jawapan akan menentukan rumah yang dicadangkan tetapi mungkin untuk mengelak pemain perlu melakukan semula, pemain juga boleh memilih rumah yang ingin dimasuki walaupun apa yang dijawab bagi soalan-soalan tersebut.

Berbanding bermula dari awal, watak pemain bermula di Hogwarts sebagai pelajar tahun lima dan perlu belajar dengan Profesor Fig untuk mengetahui sihir-sihir yang sepatutnya di belajar oleh pelajar tahun lima. Di dalam perjalanan ke Hogwarts, pemain dan Profesor Fig telah diserang oleh naga yang memaksa mereka untuk menggunakan kunci misteri yang dibawa oleh Fig, kunci itu merupakan portkey yang membawa mereka ke sebuah bank.

Pemain juga mula didedahkan dengan magis kuno yang hanya boleh digunakan dan dilihat oleh orang-orang tertentu sahaja. Kebolehan watak pemain ini juga telah menjadikan pemain menjadi sasaran oleh Ranrok iaitu seorang goblin yang juga protagonis utama di dalam permainan ini. Sepanjang permainan ini, pemain akan menyiasat mengenai magis kuno tersebut dan juga melawan dengan Ranrok.

Hogwarts Legacy mempunyai satu penceritaan yang baik, saya masih tertarik dengan beberapa watak yang tiba, misteri mengenai magis kuno tersebut yang mungkin terasa seperti perkara baharu diperkenalkan di dalam dunia Harry Potter, akan tetapi sebenarnya sudah dipercakapkan beberapa kali, termasuk juga di dalam siri Harry Potter seperti magis yang melindungi Harry Potter selepas diserang oleh Voldemort juga adalah sebahagian daripada magis kuno.

Penyampaian penceritaan utama tidaklah membuatkan saya ingin mengetahui apa yang berlaku seterusnya dengan cepat, penceritaan disampaikan dengan ringkas sahaja, ini mungkin mengecewakan bagi yang inginkan penceritaan yang lebih mendalam, akan tetapi bagi saya, cara penyampaian ini memberi alasan kepada saya untuk melakukan aktiviti-aktiviti lain yang ditawarkan.

Sepanjang penceritaan utama, pemain akan bertemu dengan pelbagai watak, dan saya boleh katakan watak-watak ini dihasilkan dengan baik dengan setiap daripada mereka mempunyai penceritaan sendiri. Watak-watak ini juga akan menjadi pemberi misi termasuk juga misi sampingan dan misi yang diperlukan untuk pemain membuka magis baharu.

Bercakap mengenai magis, pertempuran di dalam permainan ini adalah baik-baik sahaja. Tidaklah mencabar dan setiap-setiap magis dilakukan terasa seperti satu arked dengan gaya berbeza berbanding satu serangan unik yang perlu ketelitian untuk digunakan. Pada satu masa, pemain mempunyai 4 slot untuk melakukan sihir dengan cepat, slot ini boleh disertakan 12 lagi magis lain yang boleh diakses menggunakan d-pad ataupun anak panah. Selain menggunakan magis-magis ini, pemain boleh melakukan serangan biasa.

Saya tidak berapa menyukai cara penggunaan slot ini, kerana terasa menyusahkan untuk menukar-menukar, saya lebih sukakan jika menggunakan wheel, tetapi ia dikhususkan untuk barangan seperti Mandrake yang boleh dibaling untuk mengganggu lawan. Magis dibahagikan kepada 6 jenis iaitu Control, Force, Damage, Utility, Transfiguration dan Unforgivable Curse. Sesetengah penjahat perlu diserang menggunakan jenis magis tertentu sebelum dapat diserang dengan serangan biasa.

Bercakap mengenai Unforgivable Curse, pemain boleh memilih untuk belajar tiga magis yang diharamkan iaitu Avada Kedavra, Crucio dan Imperio. Walaupun diharamkan, tetapi tiada kesan yang jelas kepada pemain yang menggunakan magis, oleh itu pemain boleh menggunakannya tanpa perlu risau tetapi magis seperti Avada Kedavra tidak boleh digunakan dengan kerap dalam jangka masa yang pendek.

Selain belajar magis, ataupun meneruskan penceritaan, pemain juga boleh meluangkan masa melakukan pelbagai aktiviti yang memenuhi kawasan sekitar Hogwarts. Aktiviti yang disertakan di dalam permainan ini mempunyai tekaria seperti Merlin Trials ataupun sekadar memecahkan Belon. Akiviti ini adalah berulang, dan mungkin menjadi tidak menarik selepas suatu ketika, tetapi permainan ini juga tidak memaksa untuk pemain melakukannya untuk menghabiskan penceritaan Hogwarts Legacy.

Walaupun aktiviti berulang, saya tidak mempunyai masalah untuk melakukannya kerana permainan ini memberikan pelbagai cara untuk memudahkan mencapai aktiviti ini, boleh menaiki penyapu ataupun menaiki haiwan tunggangan. Selain daripada itu, aktiviti-aktiviti ini juga memberikan ganjaran yang baik seperti memberi tambahan slot pakaian.

Setiap pakaian di dalam Hogwarts Legacy mempunyai keupayaan tersendiri seperti Health, Defence dan juga Offence, pemain sudah semestinya ingin menggunakan pakaian paling berkuasa, mengelak daripada masalah seperti Cyberpunk 2077, setiap pakaian yang diperoleh akan boleh ditukar rupa berdasarkan pakaian-pakaian yang diperoleh sebelum ini, termasuk juga yang sudah dijual ataupun yang dihancurkan.

Seperkara lagi yang membuatkan saya suka untuk melakukan aktiviti-aktiviti di dalam Hogwart Legacy adalah setiap aktiviti ini mempunyai tracking tersendiri seperti satu buku koleksi melalui Challenges dan juga Collections, walaupun melakukannya tidaklah diperlukan akan tetapi terasa menarik untuk menjadikan setiap challenges ini 100%.

Selain daripada aktiviti-aktiviti ini, pemain juga akan diberikan Room of Requirement yang boleh menjadi makmal kimia untuk menghasilkan potion dan juga menjadi tempat tanaman untuk mendapat pelbagai tumbuhan bagi penggunaan menghasilkan potion ataupun digunakan semasa bertempur. Bilik ini boleh dihias dengan pelbagai cara untuk menjadikan benar-benar tempat anda. Tambahan pada itu, pemain juga boleh menangkap pelbagai binatang untuk dibela dan mendapatkan barangan bagi meningkatkan kualiti pakaian.

Persoalan seterusnya adakah permainan ini masih lagi menarik jika tidak pernah mengikut kisah penceritaan Harry Potter. Saya tidak dapat menjawabnya dengan jelas kerana saya adalah antara peminat terbesar Harry Potter, akan tetapi dari segi tatamain, Hogwarts Legacy mempunyai kepelbagaian yang mencukupi untuk menjadikan satu permainan yang menarik walaupun tidak biasa dengan dunia ini, bahkan saya juga boleh katakan permainan ini akan membuatkan yang tidak biasa untuk lebih mengetahui mengenai dunia Harry Potter. Tambahan lagi jika anda menyukai permainan dunia terbuka.

Saya bermain Hogwarts Legacy di Xbox Series dan prestasi adalah baik dengan terdapat masalah kelancaran pada sesuatu tempat, tetapi secara umumnya boleh dimainkan dengan tanpa sebarang masalah. Xbox Series X menawarkan 5 pilihan grafik berbeza iaitu Fidelity, Fidelity with Raytracing, Performance, Balanced dan HFR Performance. Bagi saya pilihan terbaik adalah Balanced kerana memberikan prestasi dan kualiti yang saya boleh terima. Fidelity terlalu rendah kadar kelancaran, manakala Performance dan HFR Performance terasa sangat rendah kualiti gambar.

Bercakap mengenai kompromi yang saya katakan di atas, semasa bermain saya merasakan melalui pilihan dialog yang ada, serta penggunaan Unforgivable Curse dan juga pengakhiran yang disertakan di dalam permainan ini memberi gambaran yang Hogwarts Legacy sepatutnya mempunyai sistem moral tetapi tidak disertakan di dalam permainan akhir. Sistem ini mungkin akan menjadikan permainan ini lebih menarik, tetapi jika perkara tersebut mengakibatkan permainan ini mengambil lebih masa pembangun, saya merasakan pilihan untuk membuang sistem ini adalah tepat kerana tidak sangat mengganggu keseluruhan permainan.

Akhir kata, Hogwarts Legacy adalah satu permainan dunia terbuka yang sangat baik, terisi dengan pelbagai aktiviti untuk dilakukan, walaupun berulang tetapi menyelesaikan aktiviti-aktiviti ini memberi kepuasan. Penceritaan dan misi utama juga dilakukan dengan baik, sekurang-kurangnya untuk memberi pengisian kepada permainan ini, walaupun tidak akan menjadi penceritaan yang setaraf dengan penceritaan-penceritaan asal Harry Potter.

Buat masa ini, Warner Bros tidak mengumumkan sebarang kandungan-kandungan tambahan untuk Hogwarts Legacy, mereka juga pada waktu ini masih lagi menyediakan permainan ini untuk dikeluarkan pada konsol generasi lepas dan juga Nintendo Switch. Walaupun, jika permainan ini tidak lagi menerima sebarang kandungan baharu, Hogwarts Legacy sudah mempunyai kandungan yang mencukupi.

Hogwarts Legacy
Hogwarts Legacy adalah satu permainan dunia terbuka yang menarik untuk peminat Harry Potter dan juga tidak. Menyertakan pelbagai aktiviti untuk dilakukan dan memberi perasaan berada di Hogwarts.
Positif
Pengisian Permainan Yang Pelbagai
Pembawaan Pengalaman Dunia Harry Potter Yang Menarik
Watak-Watak Yang Ditulis Dengan Baik
Negatif
Prestasi Permainan Boleh Ditingkatkan Lagi
Terdapat Elemen Permainan Yang Tidak Dikembangkan
8

Sohor Kini