[Beberan] Siri TV The Last of Us – Episod 9

Perhatian: Ini adalah perbincangan untuk episod 9 bagi siri TV The Last of Us dan akan mengandungi beberan/spoiler penceritaan, oleh itu jika anda masih tidak tontonnya boleh elak dari membacanya. Jika ingin membaca ulasan penuh tanpa spoiler anda boleh ke pautan ini – Ulasan Siri TV The Last of Us – Musim Pertama

Episod 9 yang juga episod terakhir untuk musim ini bermula dengan seorang perempuan mengandung yang melarikan diri dari sesuatu. Selepas memasuki satu rumah kosong, dia mencari seseorang tetapi berseorangan. Tidak lama kemudian, infected telah memasuki rumah tersebut dan menyerang perempuan itu.

Infected berjaya dibunuh akan tetapi dia juga digigit pada masa sama, melahirkan seorang bayi. Perempuan tersebut memanggil bayi tersebut sebagai Ellie dan mengesahkan kepada penonton yang perempuan itu adalah Anna emak kepada Ellie. Adegan ini bagi saya sangat simbolik, kerana Anna dilakonkan oleh Ashley Johnson iaitu pelakon suara untuk Ellie di dalam permainan video – kita boleh katakan yang Ashley Johnson telah lahirkan Ellie di dalam permainan video dan juga siri TV ini.

Mungkin beberapa jam kemudian, dengan matahari pun sudah terbenam, Marlene dengan beberapa orang lagi, sampai ke rumah tersebut. Anna pada masa itu masih lagi dapat bercakap tetapi jelas memperlihatkan yang dia hampir bertukar menjadi infected. Anna meminta Marlene untuk mengambil bayi tersebut, dengan menipu mengatakan tali pusat bayi tersebut dipotong sebelum dia digigit. Anna juga meminta untuk Marlene membunuhnya kerana dia akan menjadi infected.

Ini mungkin mengesahkan yang cordyceps boleh merebak daripada ibu ke bayi, akan tetapi seperti kita sedia maklum, Ellie adalah imun, sebab itu dia tidak terkesan, atau mungkin juga yang menyebabkan dia menjadi imun. Pada awalnya, Marlene tidak bersetuju akan tetapi melakukannya kemudian, dan adegan beralih ke masa sekarang, memperlihatkan Ellie.

Ellie masih lagi kelihatan terkesan dengan kejadian di dalam episod lepas, dan lebih banyak berdiam diri sehinggalah mereka menjumpai seekor zirafah. Membawa adegan ikonik daripada permainan video ke aksi nyata. Joel kemudian memberitahu kepada Ellie yang mereka tidak perlu melakukan semua ini (merujuk kepada mencari Fireflies) dan boleh sahaja kembali ke Tommy.

Namun, Ellie yang inginkan segala yang berlaku ini mempunyai makna mengatakan yang mereka tidak boleh berpatah balik dan perlu melakukannya. Selepas perkara ini selesai, dia akan mengikut Joel ke mana sahaja.

Joel kemudian mengatakan sesuatu yang saya rasa tiada di dalam permainan, pada episod-episod awal, kita ketahui yang Joel kurang mendengar di telinga kanannya, semasa Ellie bertanya mengapa sebelum ini, Joel mengatakan ada seseorang yang menembak ke-arahnya tetapi tersasar. Di dalam episod ini, Joel mendedahkan yang orang tersebut adalah dirinya sendiri.

Hari kedua selepas pandemik ini berlaku, dan juga hari pertama selepas Sarah terbunuh, Joel mengatakan yang dia tidak tahu untuk apa lagi dia hidup. Namun, selepas gagal percubaan untuk membunuh diri, Joel meneruskan hidupnya. Ellie mengatakan yang masa akan sembuhkan segala kesakitan, Joel mengatakan bukan masa tetapi sekadar melihat kepada Ellie. Saya boleh katakan yang Joel cuba memberitahu kepada Ellie, sesuatu yang mendorongnya dirinya sekarang adalah Ellie dan sebelum ini adalah Tess.

Tidak lama selepas itu, Joel dan Ellie telah ditangkap oleh sekumpulan manusia, yang kemudiannya diperlihatkan merupakan anggota Fireflies dan Marlene juga berada di hospital tersebut. Marlene memberitahu yang, cordyceps telah membentuk di dalam Ellie sejak bayi lagi menjadikan dia imun, doktor perlu mengambil cordyceps tersebut untuk dijadikan vaksin.

Joel menyedari yang cordyceps tumbuh di dalam otak, jika diambil, Ellie akan mati. Joel meminta Marlene untuk mencari orang lain dan Marlene memberitahu tiada orang lain, dia juga mengatakan faham apa yang dirasai oleh Joel tetapi ini adalah pengorbanan yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan dunia. Joel tidak mempunyai pemikiran yang sama, dan di dalam mindanya sekadar ingin menyelamatkan Ellie.

Dia telah membunuh kebanyakan anggota Fireflies termasuk juga doktor yang akan membedah Ellie, semasa cuba membawa Ellie pergi dia juga telah membunuh Marlene dan mengatakan yang Marlene akan terus mencari Ellie dan dia tidak boleh membiarkan dia hidup.

Semasa di dalam perjalanan menuju ke tempat Tommy, Joel telah menipu kepada Ellie dengan mengatakan yang terdapat ramai orang seperti Ellie tetapi mereka tidak dapat menghasilkan vaksin. Mereka juga mengambil keputusan untuk berhenti mencari vaksin. Joel juga mengatakan yang hospital tersebut telah diserang oleh raider dan kebanyakan Fireflies telah mati termasuk juga Marlene.

Ellie kemudiannya mengatakan yang dia rasa bersalah untuk terus hidup sedangkan ramai yang termasuk rakannya sendiri Riley yang Ellie bunuh dengan tangannya sendiri kerana dia telah menjadi infected. Joel pula mengatakan yang dia perlu sentiasa mencari sesuatu yang menjadikan berbaloi untuk hidup dan terus melawan. Ellie juga sekali bertanya kepada Joel, sama ada dia bercakap benar ataupun tidak, yang Joel katakan dia tidak menipu.

Pengakhiran ini sudah menjadi perdebatan sejak permainan The Last of Us dikeluarkan lagi, adakah Joel melakukan perkara yang betul ataupun tidak. Bagi saya, Joel melakukan keputusan yang pentingkan diri sendiri, tetapi saya faham mengapa dia melakukannya. Jika ada mengatakan yang tidak mungkin Fireflies dapat mengeluarkan vaksin ataupun tidak, itu bukan apa yang difikirkan oleh Joel, baginya hanya Ellie yang penting pada waktu ini dan bukan untuk “manusia sejagat”.

Sohor Kini