Filem 65 ataupun judul panjang yang juga judul di poster “65 Millions Years Ago” adalah filem fiksyen sains yang dibintangi oleh Adam Driver yang kita kenali sebagai Kylo Ren di dalam siri sekuel untuk Star Wars. Filem ini diarah dan ditulis secara bersama oleh Scott Beck dan Bryan Woods yang merupakan penulis bersama untuk filem A Quiet Place.
Sebagai peminat genre fiksyen sains, saya boleh katakan tertarik dengan premis yang cuba di bawa oleh filem 65 ini. Berbanding makhluk asing turun ke bumi, berjumpa dengan manusia, ataupun manusia menjumpai makhluk asing di angkasa lepas, filem ini adalah mengenai ‘manusia’ pertama kali menjejak kaki di bumi, sebelum adanya manusia.
Sebaliknya, bumi pada waktu ini, seperti yang kita ketahui, dipenuhi dengan pelbagai spesis dinosaur, berbanding manusia yang terkejut mengenai apa yang berlaku ‘diluar sana’, di dalam filem ini boleh dikatakan makhluk asing yang terkejut dengan apa yang ada di bumi. Filem ini juga menyentuh satu kejadian di dalam sejarah bumi menukar landskap kehidupan di bumi.
Adam Driver melakonkan watak Mills yang merupakan juruterbang bagi tamadun ‘manusia’ yang tidak berasal dari bumi. Dia ditugaskan untuk membawa pengembara kembali ke planetnya, saya tidak merasakan filem ini menyatakan planet asal untuk mereka. Namun, di dalam perjalanan, kapal angkasa mereka telah dilanggar oleh asteroid yang mengakibatkan mereka jatuh ke bumi, iaitu untuk mereka merupakan satu planet yang tidak dikenali.
Selepas jatuh ke bumi, Mills dapati yang kesemua pengembara telah mati kecuali seorang kanak-kanak bernama Koa lakonan Arian Greenblatt. Fokus utama filem ini adalah Mills ingin membawa Koa ke kapal keselamatan untuk pulan ke planet mereka, akan tetapi kapal tersebut jatuh di bahagian pergunungan yang dipenuhi dengan dinosaur-dinosaur ganas.
Seperti saya katakan, filem ini mempunyai premis yang menarik akan tetapi gagal dikembangkan dengan baik dan lebih memfokuskan kepada thriller berbanding fiksyen sains. Banyak perkara fiksyen sains yang boleh dikembangkan, sekadar menjadi perkara sampingan dan tidak diteroka lagi. Menjadikan segala premis yang diperlihatkan di dalam filem ini terasa kosong.
Ini besar kemungkinan kerana mereka sekadar ingin memfokuskan kepada “manusia lawan dinosaur” akan tetapi bahagian ini juga dilakukan dengan sangat mengecewakan. Kebanyakan aksi terasa sangat ringkas, habis terlalu cepat, ataupun suntingan yang terasa janggal. Namun, filem ini masih lagi membawa adegan-adegan cemas yang baik, elemen thriller juga ada tambahan lagi lakonan yang berkualiti oleh Adam Driver dan juga Ariana Greenblatt walaupun perwatakan mereka tidak dikembang dengan baik.
Ini adalah kerana penulisan serta perkembangan watak di dalam filem ini dilakukan dengan sedikit gopoh dan kurang kemas. Filem ini cuba membawa perhubungan emosi bagi watak Mills dan Koa tetapi perkara ini dilakukan secara mendesak, dan saya sebagai penonton tidak dapat untuk menerima apa sahaja emosi yang cuba disampaikan. Saya merasakan filem ini cuba melakukan terlalu banyak perkara dalam masa yang ringkas dan kesemua perkara tersebut tidak dilakukan dengan baik.
Akhir kata, jika anda inginkan filem fiksyen sains yang mendalam 65 gagal untuk menjadi filem tersebut, jika mencari filem thriller yang membuatkan anda berada di hujung kerusi, 65 juga gagal untuk menjadi filem tersebut. Saya hanya boleh katakan yang jika anda mencari filem yang ringkas, dan sekadar ingin menonton secara kasual, lakonan yang baik oleh kedua-dua watak utama menjadikan filem ini masih lagi tontonan yang baik, tambahan lagi jika anda meminati Adam Driver.
Penafian: Tayangan untuk 65 disediakan oleh Sony Pictures bagi tujuan ulasan ini. Filem ini sudah mula ditayangkan di pawagam.