Ulasan Samsung Galaxy S23 Ultra

Pada awal bulan lepas, Samsung telah mengumumkan generasi baharu untuk telefon pintar mercu mereka iaitu Samsung Galaxy S23 Ultra. Seperti biasa, model ini hadir dengan tiga varian iaitu Samsung Galaxy S23, Samsung Galaxy S23+ dan Samsung Galaxy S23 Ultra. Anda boleh baca lanjut mengenai ketiga-tiga varian di pautan ini, manakala di artikel ini saya ingin berkongsi pengalaman bermain permainan mudah alih di Samsung Galaxy S23 Ultra.

Sebelum saya kongsikan pengalaman bermain permainan mudah alih, berikut adalah spesifikasi ringkas untuk Samsung Galaxy S23 Ultra. Telefon ini mempunyai skrin bersaiz 6.8-inci menggunakan panel Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi 1440×2340 dan menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz. Telefon ini dikuasakan dengan cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 2 dengan storan RAM sebesar 12GB. Bagi bateri, Samsung Galaxy S23 Ultra hadir dengan kapasiti 5000 mAh dan menyokong pengecasan pantas 45W.

Pengalaman bermain permainan mudah alih di Samsung Galaxy S23 Ultra saya boleh katakan antara yang terbaik untuk telefon Android. Kualiti paparan yang disertakan di telefon ini adalah sangat baik, dengan warna diperlihatkan dengan terang dan sangat cantik dipandang terutama apabila bermain permainan yang berwarna-warni seperti Marvel Snap ataupun Genshin Impact. Paparan Samsung Galaxy S23 Ultra juga menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz, akan tetapi tidak banyak permainan yang menyokongnya.

Semasa menguji sesi bermain permainan mudah alih di Samsung Galaxy S23 Ultra saya menggunakan permainan Genshin Impact, PUBG Mobile, League of Legends: Wild Rift, Diablo Immortal dan juga Marvel Snap. Daripada lima permainan tersebut, tiada yang menyokong mod 120FPS di telefon ini. Permainan seperti Genshin Impact dan League of Legends: Wild Rift ada menyertakan mod 120FPS di telefon lain, tetapi tidak untuk telefon ini. Bagi saya, bukan kerana tidak boleh, tetapi pembangun mengambil keputusan untuk tidak menyertakannya.

Oleh itu sedikit mengecewakan kerana terasa tidak dapat untuk sepenuhnya menggunakan segala kelebihan dan juga kuasa yang ditawarkan di telefon ini, akan tetapi sokongan 120Hz ini masih berguna untuk penggunaan secara umum yang menjadikan pengalaman penggunaan lebih lancar. Saya cuma mengharapkan lebih banyak permainan yang akan menyokong 120FPS secara rasmi di Samsung Galaxy S23 Ultra tidak lama lagi.

Dengan dikuasakan cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 2 dan RAM sebesar 12GB, penambah-baikkan berbanding Samsung Galaxy S22 Ultra yang saya ulas pada pada tahun lepas, telefon ini mempunyai kebolehan untuk bermain mana-mana permainan dengan baik sekali. Saya dapat menggunakan tetapan tertinggi di kelima-lima permainan yang saya nyatakan di atas. Satu-satunya permainan yang mempunyai sedikit masalah adalah Genshin Impact yang ada dari semasa ke semasa kelancaran jatuh, akan tetapi perkara ini adalah kebiasaan untuk permainan ini.

Saya boleh katakan yang kebanyakan permainan lain yang ditawarkan untuk Android tidak akan menggunakan sepenuhnya kuasa yang ditawarkan oleh Samsung Galaxy S23 Ultra, dan cip ini saya rasakan boleh bermain mana-mana permainan dengan tetapan tertinggi untuk beberapa tahun lagi, dan seperti saya katakan sebelum ini, cuma berharap yang mod 120FPS diperkenalkan dengan lebih meluas agar benar-benar mencabar keupayaannya.

Manakala untuk penggunaan bateri pula, saya boleh katakan yang Samsung Galaxy S23 Ultra menawarkan ketahanan bateri yang lebih baik berbanding Samsung Galaxy S22 Ultra yang saya cuba sebelum ini walaupun mempunyai kapasiti bateri yang sama. Dengan tetapan tertinggi untuk Genshin Impact, bateri berkurangan sebanyak lebih kurang 25% untuk sesi bermain selama sejam, 20% untuk PUBG Mobile, 12% untuk League of Legends: Wild Rift, 20% untuk Diablo Immortal dan 10% untuk Marvel Snap.

Samsung Galaxy S23 Ultra menyokong pengecasan pantas 45W yang membolehkan pengecasan penuh daripada kosong dalam masa sejam sahaja. Kelajuan ini sudah cukup baik akan tetapi dengan lebih banyak telefon Android yang mula menyokong pengecasan lebih pantas, termasuk juga sehingga 120W, perkara ini mungkin sedikit mengecewakan terutama yang sering bermain permainan mudah alih untuk jangka masa yang lama.

Boleh bermain semasa mengecas tetapi saya tidak cadangkannya, kerana semasa saya menggunakan telefon ini untuk bermain permainan mudah alih, terutama permainan yang mempunyai grafik yang tinggi seperti Genshin Impact dan Diablo Immortal, bahagian belakang dan juga bahagian depan akan terasa suam dan lebih tidak selesa jika bermain dengan lebih lama. Ini bertambah lagi jika bermain sambil melakukan pengcesan. Namun, sejam sahaja untuk pengecasan penuh, saya tidak merasakan yang bateri akan menjadi masalah untuk telefon ini.

Selain kebolehan telefon ini, Samsung juga menyediakan perisian khas untuk permainan mudah alih melalui aplikasi Game Launcher yang boleh menjadi ‘Folder’ untuk permainan-permainan anda, tetapi juga mempunyai pelbagai fungsi lain seperti mod fokus, menjejak sesi permainan dan pelbagai lagi. Aplikasi ini juga mempunyai Instant Play yang membolehkan pemain mencuba pelbagai permainan tanpa perlu memasangnya. Fungsi-fungsi yang disertakan adalah ringkas akan tetapi mencukupi untuk memberi nilai tambah bagi pengalaman bermain permainan mudah alih.

Akhir kata, Samsung Galaxy S23 Ultra sebagai penawaran telefon mercu utama oleh Samsung adalah antara peranti Android terbaik untuk bermain permainan mudah alih. Spesifikasi yang disertakan di dalam telefon ini, melebihi spesifikasi yang diperlukan oleh kebanyakan permainan. Sesuatu yang sangat diperlukan sekarang, agar kebolehan telefon ini tidak terbazir adalah untuk pembangun-pembangun permainan menawarkan mod 120FPS bagi permainan mereka.

Pilihan storan dan harga adalah seperti berikut 256GB (RM5,699), 512GB (RM6,199) dan 1TB (RM7,199) dengan empat pilihan warna iaitu Phantom Black, Green, Cream dan Lavender.

Anda boleh baca ulasan penuh untuk Samsung Galaxy S23 Ultra di Amanz ataupun melalui video di bawah.

Fotografi oleh Khairunisa Aqilah untuk Aksiz

Sohor Kini