Durioo merupakan salah satu penyedia perkhidmatan penstriman kandungan mesra kanak-kanak dengan fokus terhadap gaya hidup muslim. Kini, Durioo mengumumkan telah berjaya meraih suntikan dana pelaburan berjumlah RM12.5 juta pada nilai syarikat RM100 juta, dan turut mengumumkan sejumlah perancangan dalam perkembangan syarikat.
Salah satu arena yang dilihat adalah ke arah permainan video, dibawah label Durioo Games.
Durioo menyatakan pada masa kini, selain untuk menonton kandungan mesra kanak-kanak, para ibu bapa juga meminta pihak mereka menghasilkan permainan yang mesra kanak-kanak serta membangunkan minda.
Selari dengannya, kini Durioo sedang melihat ke arena berkenaan. Buat masa ini, tiada sebarang tajuk permainan yang diumumkan oleh Durioo.
Durioo Games ini merupakan sebahagian daripada perancangan pihak Durioo dalam perkembangan syarikat mereka untuk tempoh lima tahun akan datang. Untuk tahun 2023 ini sahaja, Durioo merancang untuk menambah pelanggan mereka mencapai angka 100,000 pelanggan.
Durioo kini boleh didapati di peranti mudah-alih dan juga web, pada harga langganan RM12.90 sebulan.