Ulasan iPhone 14 Pro Max Dan iPhone 14 Plus

Apple pada tahun lepas telah hadir dengan dua pilihan model untuk iPhone 14, iaitu iPhone 14 dan juga iPhone 14 Pro. Kedua-dua model tersebut juga menyertakan varian yang mempunyai saiz skrin 6.7-inci iaitu saiz skrin terbesar bagi iPhone, dua varian tersebut adalah iPhone 14 Pro Max dan iPhone 14 Plus yang ditawarkan dengan harga bermula RM5,799 dan RM4,699.

Sepanjang beberapa yang bulan lepas saya telah menggunakan kedua-dua telefon sebagai telefon utama untuk bermain permainan video dan ini adalah ulasan untuk kedua-dua telefon yang lebih memfokuskan kepada pengalaman menggunakan telefon ini untuk bermain permainan mudah alih. Saya juga akan menyertakan ulasan untuk kedua-dua di satu tempat agar lebih mudah untuk membuat perbandingan bagi kedua-dua telefon ini.

Baca: Pandang Pertama iPhone 14 Pro Max – iPhone Terbaik Di Pasaran

Baca: Pandang Pertama iPhone 14 Plus – Masih Lagi Pilihan Yang Baik

Bagi skrin iPhone 14 Pro Max hadir dengan skrin bersaiz 6.7-inci menggunakan panel Super Retina XDR Display yang menyokong teknologi ProMotion untuk memberikan kadar segar semula sehingga 120Hz. Bagi resolusi pula iPhone 14 Pro Max menggunakan 2796 x 1290 dengan ketumpatan pixel, 460ppi.

Manakala untuk iPhone 14 Plus pula, telefon ini juga hadir dengan skrin bersaiz 6.7-inci menggunakan panel Super Retina XDR Display akan tetapi tanpa sokongan ProMotion. Bagi resolusi pula iPhone 14 Plus menggunakan resolusi 2778 x 1284 dengan ketumpatan pixel lebih kurang 458ppi.

Dengan menggunakan saiz skrin dan juga panel Super Retina XDR Display, saya boleh katakan yang kedua-dua telefon membawa skrin yang berkualiti tinggi. Saya tidak mempunyai sebarang rungutan semasa bermain permainan video ataupun semasa menonton Netflix atau Youtube di kedua-dua telefon. iPhone 14 Pro Max mempunyai keterangan yang lebih tinggi tetapi perbezaan adalah kecil sahaja.

Perbezaan utama sudah semestinya adalah sokongan ProMotion yang membolehkan iPhone 14 Pro Max menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz. Perbezaan ini sangat terasa semasa pengawalan telefon dengan menggunakan iPhone 14 Pro Max terasa lebih lancar dan selesa, oleh kerana saya menggunakan kedua-dua telefon secara bergilir, perbezaan terasa lebih ketara.

Manakala untuk sesi permainan video pula, hanya permainan yang menyokong kadar kelancaran yang tinggi sahaja akan menjadikan perbezaan ini terasa, contohnya adalah Genshin Impact yang menyokong kadar kelancaran 120FPS akan tetapi terhad untuk peranti Apple yang menyokong ProMotion sahaja seperti varian iPhone 14 Pro.

Dengan tidak banyak permainan yang menyokong 120FPS, tambahan pada itu bermain permainan dengan kelancaran 60FPS kebiasaan sudah mencukupi, perbezaan sokongan ProMotion ini juga bukanlah satu perkara yang besar tetapi iPhone 14 Pro Max yang menyokongnya sudah semestinya lebih future-proof, andai kata permainan mudah alih mula beralih ke kadar kelancaran yang lebih tinggi.

Perbezaan seterusnya adalah cip pemprosesan yang digunakan untuk kedua-dua telefon ini. iPhone 14 Pro Max hadir dengan cip terbaru iaitu A16 Bionic manakala iPhone 14 Plus menggunakan A15 Bionic. A16 sudah semestinya adalah cip pemprosesan yang lebih berkuasa, namun melalui percubaan saya untuk bermain permainan seperti Genshin Impact, Marvel Snap, League of Legends: Wild Rift serta permainan-permainan Apple Arcade seperti Gris dan NBA 2K23 Arcade Edition kedua-dua telefon boleh bermain dengan cukup memuaskan.

Namun dengan tidak mempunyai sokongan ProMotion, iPhone 14 Plus tidak dapat untuk bermain permainan dengan kadar kelancaran yang lebih tinggi akan tetapi cip A15 Bionic yang digunakannya adalah sama dengan cip yang digunakan oleh iPhone 13 Pro yang mempunyai ProMotion. Seperti ulasan kami untuk iPhone 13 Pro, cip ini tidak mempunyai sebarang masalah untuk bermain permainan seperti Genshin Impat dan juga Wild Rift dengan kadar kelancaran 120fps. Oleh itu, batasan untuk iPhone 14 Plus adalah pada paparan sahaja dan bukan kerana keupayaan spesifikasi.

Oleh itu, mana-mana permainan yang saya cuba, saya boleh menggunakan tetapan yang tertinggi untuk kedua-dua telefon, hanya apabila sesuatu permainan yang mempunyai pilihan untuk 120FPS sahaja akan membawa perbezaan dari segi tetapan untuknya.

Manakala untuk bateri pula, iPhone 14 Pro Max dan iPhone 14 Plus kedua-dua mempunyai kapasiti bateri yang sama iaitu 4323 mAH tetapi melalui penggunaan, iPhone 14 Pro Max lebih mempunyai penjimatan tetapi perbezaan adalah tidak ketara dan mungkin adalah kerana cip A16 yang lebih baik untuk pengurusan bateri berbanding cip A15.

Semasa bermain permainan video, contohnya Genshin Impact dengan tetapan tertinggi tetapi menggunakan kadar kelancaran 60FPS sahaja untuk pembandingan yang lebih baik, iPhone 14 Pro Max menggunakan lebih kurang 25% bateri untuk sesi bermain selama sejam manakala bagi iPhone 14 Plus adalah dalam lingkungan 28%, ada perbezaan tetapi sangat kecil.

Rekaan telefon pula adalah lebih kurang sahaja di antara iPhone 14 Pro Max dan juga iPhone 14 Plus dengan perbezaan utama adalah iPhone 14 Pro Max yang kini mempunyai ‘Dynamic Island’ dan juga teknologi ‘Always On Display’ akan tetapi kedua-dua perbezaan ini tidak membawa sebarang perbezaan dari segi pengalaman bermain permainan mudah alih.

Jika bercakap mengenai rekaan saya boleh katakan iPhone 14 Plus mempunyai satu kelebihan iaitu lebih ringan dengan berat 203gram sahaja berbanding 240gram untuk iPhone 14 Pro Max, jika anda menggunakan salah satu telefon sahaja, perbezaan tidak akan terasa tetapi jika anda menggunakannya seperti saya bertukar-tukar, perbezaan berat ini memberi perbezaan yang membuatkan saya lebih selesa memegang iPhone 14 Plus.

Selain daripada itu, secara amnya penggunaan kedua-dua telefon adalah baik sahaja, walaupun mempunyai saiz skrin 6.7-inci akan tetapi masih lagi boleh digunakan dengan sebelah tangan tanpa masalah. Satu perkara yang saya boleh katakan adalah jika bermain untuk satu sesi yang lama kedua-dua telefon boleh menjadi panas yang agak terasa di tangan. Oleh itu saya cadangkan untuk bermain dengan sesi permainan dari 20 hingga 30 minit sahaja pada satu masa, dan tidak bermain semasa sedang mengecas, ataupun boleh juga menggunakan kerangka.

Akhir kata, iPhone 14 Pro Max dan iPhone 14 Plus kedua-duanya adalah telefon yang baik untuk sesi bermain permainan video. Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk bergilir-gilir menggunakan kedua-dua telefon ini untuk bermain dan memberikan pengalaman yang lebih kurang sahaja. Namun, jika inginkan sesuatu yang future-proof, dan juga mencuba sesi permainan dengan kadar kelancaran 120FPS, iPhone 14 Pro Max adalah pilihan yang lebih baik.

iPhone 14 Pro Max juga mempunyai paparan yang lebih terang, bateri yang lebih lama walaupun menggunakan kapasiti bateri yang sama dan juga tambahan fungsi-fungsi lain seperti ‘Dynamic Island’ dan ‘Always On Display’. Manakala iPhone 14 Plus mempunyai harga yang lebih murah dan juga lebih ringan yang menjadikan penggunaan lebih selesa.

Sohor Kini