Perhatian: Ini adalah perbincangan untuk episod 7 bagi siri TV The Last of Us dan akan mengandungi beberan/spoiler penceritaan, oleh itu jika anda masih tidak tontonnya boleh elak dari membacanya. Jika ingin membaca ulasan penuh tanpa spoiler anda boleh ke pautan ini – Ulasan Siri TV The Last of Us – Musim Pertama
Bagi yang ternanti-nanti untuk mengetahui nasib Joel selepas ditikam pada episod lepas, mungkin sedikit terjawab ketika permulaan untuk episod 7 ini. Ellie berjaya membawa Joel ke satu rumah, akan tetapi Joel tidak boleh dikatakan dalam keadaan yang baik. Dia masih dalam keadaan sedar tak sedar, manakala Ellie masih kelihatan cemas dengan keadaan ini.
Joel kemudiannya memberitahu kepada Ellie untuk meninggalkannya dan kembali ke Tommy, ini adalah lanjutan daripada episod lepas yang Joel merasakan keselamatan Ellie adalah di bawah tanggungjawabnya, jika dia tidak boleh lakukannya adalah lebih selamat Ellie untuk menyelamatkan dirinya sendiri.
Semasa Ellie cuba untuk keluar daripada rumah tersebut, adegan beralih ke masa lepas di mana Ellie masih lagi berada di kem FEDRA.
Penonton juga diperkenalkan dengan seorang watak baharu iaitu Riley yang merupakan rakan baik kepada Ellie. Riley telah menghilangkan diri untuk beberapa minggu, oleh itu Ellie terasa sangat marah kepada Riley, ditambah lagi dengan Riley memberitahu yang dia menyertai Firefly. Namun, Riley telah memujuk Ellie dengan ini membawanya ke satu tempat rahsia.
Di dalam perjalanan, Riley telah memberitahu bagaimana dia secara tidak sengaja terserempak dengan anggota Firefly yang mengajaknya untuk menyertai kumpulan itu, Riley dan Ellie juga berbeza pendapat mengenai FEDRA. Riley mengatakan yang FEDRA adalah jahat dan fascists, manakala Ellie pula merasakan yang FEDRA mempunyai kebaikan seperti memastikan ramai orang terpelihara.
Mereka akhirnya sampai di tempat yang dituju iaitu satu pasar raya yang sudah lama ditutup, Riley memberitahu yang pasar raya ini sudah lama tidak dimasuki oleh orang walaupun kesemua perkara di dalam pasar raya ini masih lagi berfungsi yang benar-benar disukai oleh Ellie yang tidak pernah keluar daripada kem FEDRA.
Ellie kemudian sekali lagi bertanya kepada Riley mengapa dia meninggalkan kem FEDRA, yang secara langsungnya dirinya. Riley mengatakan yang dia sudah berumur 17 tahun dan akan mendapat “tetapan pekerjaan” tidak lama lagi. Riley memberitahu yang dia sudah mendapat tugasan menjaga kumbahan, sesuatu yang dia tidak ingin lakukan, Firefly memberi dia sesuatu yang lebih ‘baik’ untuk dilakukan.
Keadaan menjadi lebih baik di antara Ellie dan Riley, mereka sempat meluangkan masa bermain di dalam mall tersebut, sehinggalah Ellie menjumpai beberapa bom di tempat Riley berada yang mengakibatkan perhubungan mereka kembali tegang. Riley kemudian memberitahu yang dia akan meninggalkan Boston kerana Firefly ingin dia pergi ke Atlanta. Mereka kemudian berbaik semula akan tetapi tidak bertahan lama kerana ada satu zombi di dalam mall tersebut dan menyerang mereka.
Mereka akhirnya berjaya untuk membunuh zombi tersebut, akan tetapi kedua-dua mereka telah digigit dan merasakan ini adalah pengakhiran untuk mereka dan ingin sekadar menjadi zombi bersama. Namun, seperti kita sedia tahu yang Ellie adalah imun dan hanya Riley sahaja yang menjadi zombi walaupun tidak diperlihatkan di episod ini.
Ini adalah episod yang ringkas dan tidak meneruskan penceritaan daripada episod-episod lepas, akan tetapi masih lagi satu episod yang penting untuk memperlihatkan bagaimana Ellie mendapat personalitinya dan juga mengenai bagaimana dia melihat mengenai perhubungan dengan orang lain, sesuatu yang sebelum ini sekadar diperlihatkan sahaja.
Kisah ini juga yang menyebabkan berbanding meninggalkan Joel bersendirian, Ellie ingin cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Joel kerana seperti kita tahu daripada episod-episod lepas, perkara yang paling dia takuti adalah berseorangan. Joel juga pada akhirnya lebih terbuka untuk menerima bantuan daripada Ellie, menunjukkan dia mempunyai kepercayaan sepenuhnya kepada Ellie.