Ulasan Horizon Call of the Mountain

Siri permainan Horizon melalui dua permainan utama mereka iaitu Horizon Zero Dawn dan Horizon Forbidden West berkongsi satu perkara yang sama, menyertakan dunia yang bukan sahaja unik tetapi cantik dengan flora, fauna dan juga mesin. Bermain sebagai Aloy di dalam kedua-dua permainan tersebut sudah mencukupi untuk menghargai dunia yang dicipta oleh Guerilla Games.

Oleh itu, tidak mengejutkan apabila Sony Interactive Entertainment (SIE) telah memilih dunia Horizon untuk menjadi antara permainan yang terawal dikeluarkan oleh mereka bagi PlayStation VR2 dan pilihan SIE adalah sangat tepat kerana Horizon Call of the Mountain adalah satu permainan yang cantik dan menjadi sebab yang kukuh mengapa bermain secara realiti maya boleh membawa kepada pengalaman baharu bermain permainan video.

Horizon Call of the Mountain memperkenalkan pemain kepada seorang watak baharu iaitu Ryas yang merupakan bekas Shadow Carja yang selepas kejadian di dalam Horizon Zero Dawn telah diberi peluang untuk mendapat pengampunan. Bagi Ryas, pengampunan tersebut memerlukan dia membantu Sundom untuk menyiasat ancaman baharu. Ini adalah pertama kali permainan Horizon tidak menjadikan Aloy sebagai watak utama, dan hanya membuat penampilan sebagai NPC sahaja.

Penceritaan secara amnya adalah biasa sahaja, tidak membawa perkara yang besar di dalam penceritaan Horizon secara keseluruhan tetapi sekadar mencukupi untuk Ryas melakukan apa yang dia perlu lakukan. Dialog dan lakonan suara termasuk juga untuk beberapa lagi watak baharu yang lain dilakukan dengan baik dan mencukupi untuk memenuhi pengembaraan lebih kurang 7 jam bagi permainan ini.

Perkara utama mengenai permainan ini adalah sudah semestinya memperlihatkan dunia Horizon di dalam realiti maya dan saya boleh katakan tidak pernah puas melihat kiri, kanan, atas, bawah untuk melihat kecantikan dunia ini. Dengan grafik yang sangat baik, permainan ini benar-benar memperlihatkan kualiti grafik yang boleh di bawa oleh PS VR2 yang menggunakan PlayStation 5.

Selain rekaan dunia, rekaan mesin-mesin juga membawa pengalaman baharu dengan saya boleh melihat dengan lebih dekat seperti benar-benar menyentuhnya. Dunia Horizon Call of the Mountain juga kelihatan sangat hidup dengan interaksi dengan persekitaran dilakukan dengan baik, saya boleh meletakkan epal di mulut untuk makan, menyentuh air, memukul gendang ataupun menconteng dinding.

Selain penceritaan utama, terdapat juga mod “Machine Safari” yang memberikan peluang kepada saya untuk melihat dunia Horizon tanpa gangguan pertempuran dan sekadar duduk seperti menaiki satu ride di taman tema.

Tatamain untuk Horizon Call of the Mountain memerlukan saya mengawal Ryas untuk pergi ke pelbagai kawasan, dan perlu mendaki pelbagai tempat dan cerung, apabila saya bercakap perlu mendaki, permainan ini benar-benar menyukai tatamain mendaki ini. Boleh dikatakan majoriti sesi bermain adalah saya mendaki.

Mendaki di dalam permainan ini akan memerlukan saya menggunakan PS VR2 Sense dan membuat gerakan seperti sedang mendaki, saya juga akan diberikan peralatan seperti pickaxe dan juga Grabcaster untuk memudahkan lagi pendakian dan mencapai tempat-tempat yang sukar. Pada pertengahan pertama pendakian adalah perkara yang menarik dan memberi peluang untuk saya melihat apa yang boleh dilakukan oleh PS VR2. Namun, selepas beberapa jam, pendakian menjadi perkara yang menjengkelkan berbanding menarik kerana dilakukan dengan terlalu kerap.

Cara bergerak pula, saya diberikan pilihan menggunakan stick seperti kawalan permainan biasa ataupun menggunakan gerak tubuh. Menggunakan gerak tubuh memerlukan saya untuk menekan butang ‘Empat Segi’ dan ‘X’ dan menggerakkan tangan seperti tengah berjalan. Kawalan menggunakan stick bagi saya adalah paling mudah akan tetapi menggunakan gerak tubuh mengurangkan kesan VR Sickness kepada saya. Satu perkara yang saya boleh katakan, Horizon Call of the Mountain mempunyai pelbagai tetapan yang boleh diubah untuk memastikan saya mendapat pengalaman terbaik semasa bermain.

Pertempuran di dalam Horizon Call of the Mountain pula akan menghadkan gerakan pemain, di mana mesin akan menyerang dan saya boleh bergerak ke kira atau kanan sahaja dengan kata lain dari pergerakan 3D, sesi permainan menjadi 2D. Perubahan ini masuk akal untuk menjadikan pertempuran lebih ringkas tetapi mengekalkan kecemasannya, dan saya boleh katakan perkara ini dilakukan dengan baik.

Ryas boleh melakukan serangan balas menggunakan panah dan terdapat beberapa jenis anak panah yang boleh digunakan seperti anak panah api dan anak panah elektrik. Saya perlu melakukan sedikit pengembaraan untuk memastikan sentiasa mencukupi anak-anak panah jenis ini, akan tetapi anak panah biasa adalah tanpa had oleh itu tiada masalah jika kehabisan anak panah yang lain.

Semasa bertempur saya boleh memusingkan tangan ke belakang semasa memegang panah untuk melihat anak panah yang boleh digunakan, seperti di dalam permainan Horizon lain, masa juga diperlahankan semasa memasuki menu ini. Menghasilkan anak panah api ataupun elektrik ini juga adalah antara perkara yang saya suka lakukan kerana akan memerlukan saya untuk memasang anak panah tersebut.

Melakukan serangan pula saya perlu menggerakkan tangan seperti sedang menggunakan panah, membidik pada awalnya sedikit sukar, tetapi apabila sudah biasa, menggunakan panah membuatkan saya bersedia untuk mencabar Aloy ataupun Legolas.

Antara mesin yang saya perlu bertempur di dalam permainan ini adalah Watcher, Stormbird, dan juga Thunderjaw. Sesi pertempuran saya boleh katakan mudah, walaupun bertempur dengan Thunderjaw. Menarik untuk melihat saya membuang segala bahagian-bahagian mesin, seperti di dalam permainan utama tetapi kurang menarik kerana saya hanya boleh menggunakan panah dan pertempuran rasa mendatar.

Namun, saya masih boleh katakan yang lebih berharap ada lebih banyak pertempuran berbanding mendaki. Jika ingin menguji kemahiran terdapat juga mod “Challenge Hub” yang menyertakan pelbagai cabaran yang berbeza.

Terdapat juga tekaria yang disertakan dan saya merasakan bahagian ini dilakukan dengan sangat sedikit dan tidak memerlukan pemikiran yang terlalu lama, saya boleh katakan saya lebih bersedia untuk meluangkan 10 minit mencari cara penyelesaian tekaria berbanding mendaki dan mendaki dan mendaki. Bahagian ini yang saya boleh katakan satu peluang yang terlepas.

Jika tidak melakukan pengembaraan ataupun bertempur, saya juga boleh meluangkan masa di Dawn’s Grasp yang boleh dikatakan sebagai satu hab di mana saya boleh bercakap dengan NPC ataupun melihat pelbagai pameran yang disediakan.

Walaupun dengan tatamain terasa sangat mendatar dengan ada terlalu banyak pendakian akan tetapi pengalaman secara keseluruhannya masih lagi baik, selain grafik serta penggunaan PS VR2 Sense yang menarik, perasaan realism dengan getaran haptik terdapat di alat kawalan dan juga di set kepala. Tambahan pada itu, muzik runut dan kesan bunyi juga dilakukan dengan sangat berkualiti.

Akhir kata, Horizon Call of the Mountain adalah satu permainan yang baik utnuk memperlihatkan teknologi yang dibawa oleh PS VR2, selain itu, permainan ini juga menyertakan satu dunia yang sangat cantik dengan grafik berkualiti di tambah lagi dengan muzik runut serta kesan bunyi yang berkualiti. Tatamain sedikit mengecewakan kerana terasa sangat mendatar dengan fokus lebih diberikan kepada pendakian berbanding pertempuran dan juga tekaria yang jika diseimbangkan akan menjadikan pengalaman yang lebih menarik.

Horizon Call of the Mountain juga gagal untuk menambah penceritaan yang bermakna di dalam dunia Horizon tetapi sekadar mencukupi untuk menjadi alat di dalam permainan ini. Saya boleh katakan yang permainan ini bukanlah sebab untuk anda dapatkan PS VR2, akan tetapi jika bercadang untuk membeli set kepala tersebut, permainan ini adalah antara yang terbaik anda boleh dapatkan semasa pelancaran.

Penafian: Kod permainan untuk Horizon Call of the Mountain disediakan oleh SIE untuk tujuan ulasan ini. Permainan ini akan dikeluarkan pada 22 Februari 2023 untuk PS VR2.

Horizon Call of the Mountain
Horizon Call of the Mountain adalah satu permainan VR yang berkualiti dan menarik, tetapi tatamain dan penceritaan terasa mendatar.
Positif
Grafik Berkualiti Tinggi
Penggunaan Teknologi PS VR2 Yang Berkesan
Tatamain Yang Menarik
Negatif
Terlalu Banyak Mendaki
Penceritaan Tidak Mendalam
8

Sohor Kini