Skip to main content

Siapa sahaja yang tidak kenal pada Didi & Friends. Benar siri animasi tempatan ini adalah untuk kanak-kanak dengan tema muzikal seperti lagu untuk tidur, lagu untuk bergembira atau lagu untuk memujuk. Didi & Friends yang bermula sejak tahun 2014 oleh Digital Durian ini telah mencipta fenomena di kalangan kanak-kanak, mungkin anak-anak yang tonton atau adik-adik kecil.

Didi & Friends adalah siri animasi berkisarkan tiga ekor ayam serama yang bernama Didi, Jojo dan Nana serta kawan-kawan haiwan antropomorfik. Siri animasi ini dibangunkan oleh Digital Durian, yang mana syarikat ini kini menjadi Durioo+ dan siri animasi ini telah berpindah milik kepada Warnakala Studio. Terkini, filem animasi pertama iaitu Didi & Friends The Movie bakal ditayangkan pada 23 Februari – filem ini adalah hasil kerjasama antara Digital Durian dan Warnakala.

Aku telah tonton filem ini pada 15 Februari lepas di acara malam gala yang mereka anjurkan. Apa yang aku boleh katakan adalah, Didi & Friends The Movie adalah satu lagi filem AniMy (Animasi Malaysia) yang akan mencipta sejarah.


Apa Kisahnya?

Didi & Friends The Movie mempunyai premis yang sangat ringkas, iaitu Didi, Jojo dan Nana diberi kepercayaan untuk menganjurkan Konsert Hora Horey. Tetapi Didi dengan perangainya yang degil telah menyebabkan seseorang sakit dan untuk mencari ubat ini mereka perlu mengembara ke Pulau Legenda di Muzika dengan bantuan petunjuk oleh Nek Kura. Tetapi tanpa mereka sedari, petunjuk ke pulau ini turut dicari oleh Torra – ketua lanun langit yang digeruni.

Mengekalkan tema ikonik Didi & Friends, filem ini turut adalah filem muzikal dan dipenuhi dengan lagu-lagu menarik yang sehingga hari ini aku dengar dan menyanyi. Lagu-lagu yang disampaikan benar-benar melekat dan menarik. Bercakap mengenai perkara menarik, membezakan filem animasi ini dengan filem animasi tempatan lain adalah pelakon dan penyanyi terkenal menjadi pelakon suara watak dan lagu tema disampaikan oleh Orkestra Filharmonik Malaysia.

Pengalaman Menonton

Reaksi pertama aku apabila muka menonton adalah “Didi berbulu!!!!“. Aku yang tidak mengikuti perkembangan Didi & Friends pun teruja, kerana tahu selama ini animasi kanak-kanak ini tidak mempunyai sebarang tekstur dan merupakan animasi 3D asas sahaja. Apabila ada tekstur yang nampak resolusi tinggi, render animasi tempatan yang cantik memang aku gembira kerana bangga produk tempatan mampu hadir dengan kualiti sehebat ini.

Penceritaan filem ini disampaikan adalah sangat ringkas, mudah faham dan menarik. Oh ya, COMEL juga. Setiap watak mempunyai mata seakan berair, suara yang ceria dan mempunyai perwatakan yang memikat hati. Pengenalan dan pembinaan watak dalam filem ini adalah baik sekali, setiap watak ada keunikan masing-masing dan untuk aku, Didi adalah yang paling menjengkelkan kerana berlagak hebat dan tahu semua – menjadikan konflik paling besar yang berlaku dalam filem iaitu menjejaskan Konsert Hora Horey yang besar-besaran Pekan Horey anjurkan.

Selepas sedari isu ini, Didi ingin menjadi hero sekali lagi kerana rasa bersalah dan di sinilah bermula pengembaraan epik yang penuh aksi dan komedi. Dalam misi pencarian perkara yang akan menyelesaikan masalah mereka, Torra iaitu lanun langit yang digeruni memburu mereka. Di sini mereka perlu tempuhi pelbagai dugaan dan cabaran kerana mereka hanya “orang” biasa dan lanun ini sangat ganas dengan robot badak yang kuat, konco-konco- yang hebat serta senjata merbahaya.

Sepanjang pengembaraan mereka ini, banyak perkara lucu berlaku. Pada aku watak lakonan Awie adalah satu comic relief kerana menjadikan pengalaman menonton lebih menyeronokkan dan memuaskan. Watak ini adalah Tok Chip, beliau mempunyai ayat-ayat menarik yang melucukan. Filem ini turut memperkenalkan watak Satria Z iaitu kumpulan hero dari organisasi yang aku rasakan adalah “Satria” dan mempunyai kumpulan mengikut abjad dan Satria Z diketuai oleh Zee dan krew.

Pengenalan pasukan ini juga adalah satu elemen yang menarik, tidak cukup memuaskan kerana ada sedikit plot hole. Tetapi Satria aku yakin Warnakala atau Digital Durian boleh kembangkan melalui siri sampingan. Watak Manet juga menarik jika ada siri khas kerana menggunakan bahasa tersendiri.

Setiap aksi dalam filem ini juga menarik, memberikan detik mengejutkan sehingga berdebar jantung aku sepanjang menonton. Muzik dalam filem ini boleh distrim di YouTube Music sepenuhnya melalui album Didi & Friends (From Didi & Friends The Movie Original dan lagu kegemaran aku adalah Percaya, Kapten Zee Dan Krew dan Lagu Manet. Aku turut akan menjadikan lagu-lagu ini sebagai nada dering jika berkesempatan.

Walaupun banyak dalam filem ini aku berikan pendapat positif, tidak semuanya sempurna. Benar watak dan cerita menarik tetapi Warnakala masih boleh lakukan yang terbaik. Semasa tayangan perdana minggu lepas, aku sedari ada beberapa peralihan animasi dari adegan ke adegan tidak lengkap memberikan skrin hitam seketika.

Ada juga beberapa adegan ada aset atau elemen di latar belakang yang glic. Pergerakan juga ada yang tidak menjadi kerana kamera bergerak tetapi watak tidak dan seakan berjalan setempat dan aku juga perasan ada sedikit adegan render seakan tidak lengkap sepenuhnya kerana tekstur bulu menjadi lembut.

Aku amat berharap ketika tayangan 23 Februari nanti, isu ini telah diselesaikan kerana aku suka dan berpuas hati dengan filem ini kecuali pada sedikit isu teknikal. Wakil Astro Shaw hanya katakan perkara ini akan dibincangkan semula bersama pasukan Warnakala dan Digital Durian.

Kesimpulan

Untuk memastikan animasi tempatan terus berjaya dan dikenali di seluruh Asia atau di peringkat dunia haruslah kita semua menyokong dengan menonton filem ini di pawagam. Bukan hanya kerana itu, kerana jika anda adalah ibu bapa dengan anak kecil atau seorang dewasa dengan adik kecil – filem ini bukan sahaja akan menjadikan mereka gembira tetapi turut juga diri anda akan sekurang-kurangnya tersengih. Cerita yang hebat, watak yang menarik dan lagu yang melekat di kepala – inilah filem AniMy tahun 2023.

Artis yang terlibat dengan filem ini adalah Dato’ Awie sebagai Tok Chip, W.A.R.I.S sebagai Torra, Amelia Henderson sebagai Kapten Zee dan Ruminah Sidek sebagai Nenek Kura. Jika anda meminati mereka, jangan lupa saksikan filem ini di pawagam bermula 23 Februari ini.

Didi & Friends The Movie
Di pawagam bermula 23 Februari
Didi & Friends The Movie adalah kisah Didi dan kawan-kawan. Dalam filem ini, Didi lakukan satu kesilapan besar dan demi membaiki kesilapan itu, beliau lalui pengembaraan yang tidak disangka dan bertemu dengan kenalan baharu. Filem animasi baharu tempatan ini penuh dengan aksi, drama serta pengajaran - dan sudah semestinya komedi yang mencuit hati.
Positif
Jalan cerita yang menarik.
Tekstur bulu yang luar biasa.
Lagu-lagu yang sukar untuk dilupakan.
Negatif
Gerakan animasi yang masih boleh diperbaiki.
Pengenalan watak baharu yang tidak cukup memuaskan.
8

Leave a Reply