Moonton hari ini telah mengumumkan format baharu untuk kejohanan esukan Mobile Legends Professional League Malaysia Musim Ke-11. Musim baharu ini juga akan menggunakan tagline RevoluXI dan tagar #IniGayaKita.

Format baharu yang diumumkan masih lagi menyertakan dua peringkat iaitu Liga dan juga Playoff. Peringkat Liga akan memperlihatkan 1 kumpulan yang terdiri daripada 10 pasukan berbanding 2 kumpulan di musim-musim yang lepas.

Setiap pasukan akan bertemu dengan pasukan lain sekali yang akan memberi mereka 9 perlawanan di dalam Peringkat Liga. Pasukan dari tempat pertama sehingga keempat akan layak ke Playoff manakala pasukan di tempat kelima sehingga kelapan akan melalui Play-In untuk merebut 2 lagi slot. Pasukan kedua terbawah akan tersingkir.

Di peringkat Playoff, pasukan di tempat pertama dan kedua akan terus layak ke Separuh Akhir Upper Bracket dan akan bertemu dengan pasukan dari peringkat Suku Akhir Upper Bracket yang akan memperlihatkan pasukan di tempat ketiga dan keempat bertemu dengan pasukan yang layak melalui Play-In.

MPL Malaysia Musim Ke-11 akan bermula pada 10 Mac 2023 dan Peringkat Liga akan berlangsung selama 6 minggu sehingga 16 April 2023. Setiap minggu akan memperlihatkan 6 perlawanan berbanding 8 perlawanan di musim lepas. Peringkat Playoff pula akan berlangsung pada 27 April sehingga 30 April 2023.

Moonton juga telah mengumumkan yang MPL Malaysia Musim Ke-11 akan berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Dengan harga tiket untuk kemasukan adalah RM10, dan tiket akan mula dijual seminggu sebelum minggu kejohanan bermula dan boleh dibeli melalui Ticket2U.

10 pasukan yang akan terlibat dengan MPL Malaysia Musim Ke-11 terdiri daripada 8 pasukan jemputan terus berdasarkan prestasi mereka di musim lepas iaitu Team HAQ, Todak, RSG Slate Malaysia, HomeBois, Team SMG, Red Esports Malaysia, Team Lunatix dan Team Secret yang menggantikan Orange Esports diumumkan menarik diri sebelum ini.

Dua lagi pasukan adalah yang layak melalui pusingan kelayakan iaitu Yoodo Red Giants yang sebelum ini dikenali sebagai ELX Esports dan juga Madness Esports.

Anda boleh mengikuti kejohanan ini secara langung di Stadium Juara ataupun penstriman di laman-laman rasmi Mobile Legends: Bang Bang.

Sohor Kini