Ulasan Wild Hearts

Wild Hearts adalah permainan yang mempunyai asas tatamain seperti Monster Hunter, jika anda ingin memanggil permainan ini sebagai klon ataupun salinan permainan oleh Capcom tersebut, tiada masalah akan tetapi perkara tersebut tidak harus dianggap sebagai sesuatu perkara yang negatif sebaliknya, “sama” seperti Monster Hunter merupakan perkara yang positif menjadikan permainan ini sesuai untuk peminat Monster Hunter dan juga pemain yang meminati genre aksi pengembaraan.

Di dalam permainan ini anda akan menjadi Hunter yang baru sahaja tiba di Azuma, nama dan juga latar belakang boleh dilakukan melalui pilihan dialog selepas bertemu dengan seorang lelaki tua yang penuh misteri. Di dalam perbualan dengan lelaki tersebut, pemain akan mengetahui yang bilangan Hunter yang memburu raksasa ataupun digelar sebagai Kemono sudah berkurangan kerana peperangan di antara samurai di dunia ini.

Dengan Kemono di Azuma dibenarkan untuk hidup tanpa pengawasan, perkara ini telah mengakibatkan keadaan alam semula jadi yang tidak seimbang. Oleh itu, tanggungjawab untuk memburu Kemono ini jatuh ke tangan pemain. Selain mengembalikan ketenangan kepada Azuma, pemain juga akan membantu Azuma dengan pelbagai perkara lain yang membawa penceritaan sendiri. Kesemua ini membantu untuk memberikan penceritaan yang menarik kepada pemain ikuti.

Wild Hearts menyertakan 6 kawasan dengan setiap kawasan mempunyai Kemono buruan serta rekaan landskap tersendiri, kecuali Minato yang lebih kepada perkampungan ataupun hab untuk pemburu. Setiap kawasan ini hanya boleh diakses melalui fast travel dan bukan satu kawasan dunia terbuka.

Sesi permainan masih lagi satu loop, pemain akan memburu pelbagai Kemono yang ada, dan menggunakan bahan-bahan dari buruan tersebut untuk menghasilkan senjata serta perisai yang lebih berkuasa. Namun, hadirnya penceritaan di dalam Wild Hearts memberikan pemain seperti saya yang tidak sangat menyukai loop ini sesuatu yang lebih untuk dinanti-nantikan dan memberi motivasi untuk terus kekal di dalam kitaran permainan tersebut.

Satu perkara yang menjadi bahagian penting untuk penceritaan dan juga perlawanan dengan Kemono adalah Karakuri, yang merupakan satu kuasa yang membolehkan pemain untuk membina pelbagai peralatan out of thin air, menggunakan Karakuri pemain antaranya boleh meletakkan tiga blok untuk mencipta tempat lompatan, selain itu, pemain juga boleh membina tukul gergasi dan pelbagai lagi, bahkan Karakuri mempunyai pokok kemahiran tersendiri untuk dibuka oleh pemain.

Bagi mengelakkan pemain hanya menggunakan Karakuri sahaja untuk memburu, setiap penggunaan Karakuri di dalam pertempuran memerlukan Thread, yang boleh diambil dengan menebang pokok ataupun menghancurkan batu tertentu, pada satu masa pemain boleh membawa jumlah yang terhad untuk Thread dan boleh ditambah kapasiti dengan meningkatkan tahap pemain dan juga Tsukumo iaitu satu robot yang akan membantu di dalam pertempuran.

Pemain boleh mencari Tsukumo yang tersembunyi di Azuma, semasa pertempuran hanya satu Tsukumo yang akan mengikut pemain akan tetapi dengan menjumpai mereka, pemain boleh meningkatkan tahap di dalam pelbagai bahagian seperti serangan, dan juga jumlah Thread yang boleh disimpan.

Selain digunakan untuk membantu di dalam pertempuran, Karakuri juga boleh digunakan untuk membina kem untuk menjadi tempat pemain boleh fast travel, ataupun mencipta penjejak Kemono di kawasan berhampiran. Pemain juga boleh membina zipline untuk membantu menjadikan pengembaraan di dalam Azuma dengan lebih mudah dan cepat.

Jika Karakuri semasa pertempuran memerlukan Thread, Karakuri di luar pertempuran memerlukan elemen-elemen lain yang akan menghadkan jumlah Karakuri yang boleh dibina. Untuk meningkatkan jumlah Karakuri yang boleh dibina, pemain perlu membuka tahap Dragon Pit dengan menggunakan material-material tertentu.

Proses memburu boleh dikatakan adalah ringkas di dalam Wild Hearts, pemain boleh memilih untuk melakukan pemburuan tertentu melalui peta ataupun dengan berehat di unggun api. Pemain juga boleh sekadar mengembara dan mencari Kemono ini. Kemono ini tidak akan menyerang selagi mana pemain tidak melakukan serangan pertama, oleh itu tidak perlu risau jika sedang memburu Kemono lain tetapi terjumpa dengan Kemono yang berlainan.

Pemain juga boleh menggunakan penjejak Kemono yang boleh dibina di kem, setiap penjejak ini akan merangkumi kawasan terdekat, oleh itu dengan membina beberapa penjejak di tempat yang tertentu, pemain boleh menjejak keseluruhan kawasan tersebut dan menjadikan pencarian Kemono sangat mudah.

Jumlah Kemono di dalam permainan ini sedikit terhad iaitu lebih kurang 20 sahaja jika mengambil kira Kemono yang sama tetapi dengan elemen yang berbeza. Oleh itu, bagi yang permainan yang lebih ‘besar’ seperti Monster Hunter, perkara ini mungkin mengecewakan, akan tetapi bagi pemain seperti saya yang lebih kasual, ia sudah mencukupi untuk meluangkan berjam-jam bermain.

Selain itu, walaupun mempunyai jumlah yang terhad akan tetapi rekaan untuk setiap Kemono ini dilakukan dengan sangat baik. Kebanyakan Kemono adalah berdasarkan binatang seperti tikus, ayam dan juga monyet tetapi direka dengan menyertakan pelbagai elemen alam semula jadi untuk menjadikan nampak menyeramkan tetapi pada masa sama sangat cantik untuk dilihat.

Pertempuran untuk setiap Kemono adalah pantas dan mendebarkan, sepanjang saya bermain, saya sentiasa melihat corak serangan yang dilakukan dan menantikan keadaan tertentu yang biasanya akan memberi peluang untuk saya melakukan serangan ataupun menggunakan Karakuri dengan lebih berkesan.

Secara keseluruhan terdapat 8 senjata yang boleh digunakan, dan setiapnya mempunyai gaya serangan dan penggunaan yang berlainan. Bagaimana senjata tersebut digunakan dengan Karakuri juga berbeza, oleh itu mencuba pelbagai senjata berbeza adalah cara terbaik untuk mencari senjata yang anda suka.

Namun, dengan setiap senjata boleh ditingkatkan tahap mengikut pelbagai cabang yang akan menjadikan senjata itu berkesan melawan sesetengah Kemono dan kurang berkesan melawan Kemono lain, saya lebih menjadikan satu jenis senjata akan memfokuskan ke satu cabang, dan senjata lain ke cabang yang berlainan.

Perkara yang sama untuk perisai, akan tetapi berbanding senjata perisai adalah lebih ringkas dengan setiap perisai akan memfokuskan kepada Kemono tertentu, sesetengah perisai berdasarkan dua Kemono. Setiap perisai ini kemudiannya boleh ditingkatkan tahap lagi melalui dua cabang iaitu Human-Path Modification dan Kemono-Path Modification, ini akan menentukan jenis kemahiran yang boleh digunakan oleh pemain.

Selepas menghasilkan sesuatu perisai, termasuk juga selepas menerima naik taraf, perisai tersebut masih lagi boleh digunakan dan tidak akan hilang. Oleh itu, pemain hanya perlu menghasilkan sekali sahaja untuk setiap perisai.

Rekaan untuk senjata dan juga perisai di dalam Wild Hearts saya boleh katakan adalah menarik, namun tidak semua perisai kelihatan cantik pada pandangan saya, tetapi mempunyai variasi yang mencukupi untuk tidak memaksa saya untuk menggunakan rekaan senjata ataupun perisai yang saya tidak sukai.

Wild Hearts menyertakan fungsi transmog, ataupun di dalam permainan digelar sebagai Cladding, akan tetapi fungsi ini hanya dibuka selepas “menghabiskan” permainan dengan menyelesaikan penceritaan. Namun dengan kos untuk menghasilkannya adalah terlalu tinggi, saya tidak merasakan berbaloi untuk melakukannya.

Selain melakukan pemburuan untuk mendapatkan bahan bagi senjata ataupun perisai, pemain juga boleh mencari misi-misi sampingan di Minato. Misi-misi sampingan ini akan mempunyai penceritaan tersendiri dan akan memerlukan pemain untuk memburu sesetengah Kemono, memberi peluang kepada pemain untuk mendapatkan bahan dan juga menyelesaikan misi.

Misi-misi sampingan ini juga memberi nilai tambah kepada permainan, terutama dengan watak-watak NPC yang disertakan dilakukan dengan teliti dengan setiap daripada mereka mempunyai perwatakan tersendiri.

Saya tidak mempunyai pengalaman yang mencukupi untuk membuat perbandingan bahagian-bahagian lain di antara Wild Hearts dan Monster Hunter, akan tetapi berdasarkan apa yang saya lihat secara visual, saya lebih menyukai Wild Hearts dengan rekaan Feudal Japan yang diterapkan kepada persekitaran, rekaan bangunan, pakaian, bahkan Kemono sendiri menjadikan permainan ini sangat menawan dan memberikan saya masa yang baik bermain.

Namun, pada awalnya saya bermain permainan di PC akan tetapi mengalami pelbagai masalah grafik dan tidak berjaya untuk mencari tetapan yang memuaskan, saya beralih ke PlayStation 5 yang memberikan prestasi yang lebih baik. Masih terdapat masalah di beberapa kawasan terutama tempat yang bersalji, namun bukan masalah yang menghalang saya untuk terus bermain. Saya masih mengharapkan yang Omega Force akan mempertingkatkan lagi prestasi bersesuaian dengan menawannya permainan ini.

Akhir kata, Wild Hearts tidak boleh dielakkan lagi akan dibandingkan dengan Monster Hunter yang merupakan peneraju untuk genre ini, akan tetapi perbandingan tersebut bagi saya adalah sesuatu perkara yang positif kerana menjadikan permainan ini seronok untuk dimainkan oleh veteran permainan Monster Hunter dan juga pemain baharu ataupun kasual seperti saya.

Wild Hearts juga mempunyai pelbagai elemen penambahan yang menjadikan tatamain serta pertempuran yang unik dan menarik terutama penggunaan Karakuri yang bagi saya sesuatu yang segar di dalam genre ini. Jumlah Kimono mungkin adalah terhad tetapi rekaan mereka termasuk juga rekaan dunia di dalam permainan ini menjadikan satu kepuasan untuk terus memburu dan juga mengembara.

Jika anda tidak menyukai genre Monster Hunter, Wild Hearts tidak akan mengubahnya, jika anda ingin mencuba-cuba, Wild Hearts adalah satu permulaan yang baik. Jika anda menyukai genre ini, Wild Hearts adalah satu lagi permainan yang harus masuk di dalam senarai main.

Penafian: Kod permainan Wild Hearts untuk PS5 dan PC disediakan oleh EA untuk tujuan ulasan ini. Wild Hearts sudah dikeluarkan pada 16 Februari 2023 untuk PlayStation 5, Xbox Series dan PC.

Wild Hearts
Wild Hearts adalah 'klon' kepada Monster Hunter tetapi dengan cara yang baik. Membawa pengalaman baharu ke dalam genre ini dan mempunyai beberapa aspek yang menjadikannya lebih baik.
Positif
Rekaan Dunia Dan Kemono Yang Menawan
Penceritaan Yang Menarik
Tatamain Yang Unik Dan Mencabar
Negatif
Prestasi Di PC Kurang Baik
Jumlah Kemono Yang Terhad
8

Sohor Kini