Semasa PlayStation VR dikeluarkan pada tahun 2016, set kepala realiti maya tersebut mempunyai beberapa kelebihan iaitu harga yang berpatutan, keserasian dengan PlayStation 4 yang pada waktu itu merupakan konsol paling popular di pasaran. Oleh itu, tidak mengejutkan penerimaan PlayStation VR adalah baik dan telah terjual melebihi 5 juta unit setakat ini.
Sony ingin meneruskan momentum tersebut melalui PlayStation VR2 iaitu set kepala realiti maya yang khusus untuk konsol terbaru mereka iaitu PlayStation 5. Dengan konsol PS5 melakukan satu lompatan yang tinggi dari segi teknologi permainan, PS VR2 cuba melakukan perkara yang sama dan saya boleh katakan mereka berjaya di kebanyakan aspek.
Jika anda ingin mengetahui apa yang disertakan di dalam kotak, anda boleh baca di artikel – Nyah-Kotak PlayStation VR2.
Perkara pertama yang paling jelas lompatan teknologi yang disertakan di dalam set kepala realiti maya ini adalah dari segi spesifikasi. PS VR2 hadir dengan panel OLED sama dengan PS VR sebelum ini tetapi dengan resolusi lebih tinggi iaitu 2000×2040 untuk setiap mata berbanding 960×1080 yang memberikan kualiti paparan yang lebih baik. Bagi kadar segar semula pula, masih sama dengan menyokong dari 90Hz sehingga 120Hz.
Seterusnya adalah sensor untuk menjejak pergerakan, tidak seperti PS VR yang memerlukan PS Camera, PS VR2 boleh berfungsi secara kendiri dengan menggunakan sistem jejak gerakan 6-paksi iaitu 3-paksi gyroscope dan 3-paksi accelerometer. PS VR2 juga menyertakan sensor IR mengesan jarak untuk digunakan bagi menentukan kedudukan pemain dengan barangan sekitar dan juga pergerakan pemain.
PS VR2 juga menyertakan beberapa kamera di bahagian depan yang antaranya digunakan untuk melihat persekitaran semasa menggunakan set kepala, dan mempunyai jack audio untuk penggunaan fon kepala ataupun fon telinga, ia juga disertakan di dalam kotak.
Lompatan teknologi seterusnya adalah pemasangan, berbanding mempunyai pelbagai wayar untuk PS VR, PS VR2 hanya mempunyai satu kabel sahaja untuk digunakan iaitu kabel USB-C yang terbina di set kepala dan hanya perlu disambung ke PS5 dengan segala input akan disediakan oleh PS5 ini termasuk juga kuasa untuk menghidupkan PS VR2.
Dengan menggunakan satu kabel ini juga lebih memudahkan pergerakan semasa bermain, tetapi kabel tetap kabel dan ada masa akan berada sedikit mengganggu pergerakan akan tetapi sepanjang penggunaan saya sendiri, kabel ini langsung tidak menjadi sesuatu yang bermasalah dan jika anda beralih dari PS VR, penggunaan satu kabel sahaja sudah semestinya meningkatkan pengalaman penggunaan.
Set kepala PS VR2 juga dihasilkan untuk boleh digunakan dengan baik pelbagai bentuk kepala, set kepala ini mempunyai dua bahagian yang boleh digerakkan iaitu Scope dan juga Headband. Dengan menekan satu butang di bahagian atas Scope boleh menolak Scope ke depan sebelum memakainya, ia mencukupi untuk meletakkan di mata dengan mudah walaupun menggunakan kaca mata. Di bahagian headband juga boleh dipanjangkan untuk menjadikan lebih selesa dan mempunyai wheel di bahagian belakang untuk mengetatkan lagi set kepala ini.
Semasa saya menggunakan set kepala ini, saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk memakainya, sama ada saya memakai kaca mata ataupun tidak. Namun, jika ingin membuka dengan cepat, ada masa set kepala ini akan menarik kaca mata, tetapi jika dibuka dengan lebih berhati-hati, perkara tersebut bukanlah satu masalah. Di bahagian bawah Scope terdapat dua butang iaitu kuasa dan juga butang untuk menggunakan kamera yang terletak di bahagian depan scope jika ingin melihat persekitaran ataupun mencari sesuatu seperti alat kawalan tanpa perlu membuka set kepala.
Pengguna juga boleh mengubah kedudukan paparan ataupun IPD menggunakan roda yang terletak di bahagian atas Scope. Mengubah IPD adalah sangat berguna untuk memastikan, set kepala ini bersesuaian dengan kedudukan mata pengguna. Perisian PS VR2 juga mempunyai tetapan yang boleh membantu untuk pengguna mendapatkan kedudukan yang terbaik berdasarkan anak mata tersendiri.
Pada awal penggunaan, saya akan diminta untuk menetapkan kawasan penggunaan ataupun “Play Area”. Dengan menggunakan kamera di bahagian depan set kepala, PS VR2 akan memetakan kawasan persekitaran, ini akan turut mengambil kira segala perabot ataupun halangan yang terdapat di sekitar kawasan tersebut.
Saya kemudiannya boleh menggunakan Play Area yang dicadangkan oleh PS VR2 ataupun menetapkan sendiri. Saya kebiasaan menetapkan sendiri kerana ada masa PS VR2 tidak mengesan halangan yang tidak menyeluruh seperti meja. Selepas menetapkan kawasan, saya akan diberikan amaran apabila menghampiri ataupun memasuki luar kawasan Play Area. Ini adalah sangat berguna terutama bagi saya yang bermain di dalam bilik yang tidak mempunyai kawasan terlalu lapang.
Set kepala ini tidak mempunyai speaker yang terpasang oleh itu saya perlu menggunakan fon telinga ataupun mendengarnya dari TV, kebanyakan permainan menyokong paparan di set kepala dan juga di TV ataupun monitor yang PS5 bersambung. Sepanjang percubaan saya, saya lebih banyak menggunakan fon telinga yang disediakan bersama dengan PS VR2 ini dan saya boleh katakan sudah mencukupi. PS VR2 juga mempunyai dua ruangan di bahagian tepi untuk meletakkan fon telinga semasa tidak menggunakannya.
PS VR2 walaupun dengan pelbagai penambah-baikkan mempunyai berat kurang daripada 40 gram berbanding PS VR iaitu 560 gram. Jika anda selesa dengan PS VR, PS VR2 akan memberikan pengalaman yang lebih baik, bagi saya berat untuk PS VR2 adalah seimbang dengan tidak terasa terlalu berat di depan, walaupun untuk penggunaan lama saya tidak merasa berat selain daripada lapisan penghalang cahaya yang “menekan” di muka.
Semasa menguji PS VR2 ini saya telah menggunakan beberapa permainan yang disediakan oleh PlayStation dan juga beberapa penerbit lain dan permainan yang saya cuba adalah Horizon Call of the Mountain, Moss: Book II, Star Wars: Tales from the Galaxy’s Edge, Townmen VR dan Kayar VR Mirage yang merupakan antara permainan yang dilancarkan bersama dengan PS VR2 kelak.
Bagi saya Horizon Call of the Mountain adalah permainan terbaik untuk melihat kualiti paparan yang hadir melalui PS VR2 dan saya boleh katakan kesemuanya kelihatan dengan sangat cantik, dengan setiap warna diperlihatkan dengan jelas. Horizon adalah satu permainan yang berada di dalam hutan belantara dengan pelbagai flora dan juga fauna, dan PS VR2 melalui permainan ini memberikan pengalaman yang baharu untuk dunia ini.
Perkara yang sama juga untuk Kayak VR Mirage yang mempunyai rekaan dunia yang sangat mendalam dan diperlihatkan dengan baik menggunakan set kepala ini. Manakala tiga permainan lain tidak mempunyai grafik berkualiti tinggi tetapi mempunyai keunikan tersendiri dan masih lagi kelihatan sangat baik.
Permainan-permainan ini dimainkan dengan baik menggunakan alat kawalan PS VR2 Sense yang turut disertakan bersama dengan setiap pembelian. PS VR2 sense adalah satu alat kawalan VR yang baik, alat kawalan ini menyokong fungsi-fungsi yang diharapkan dari satu alat kawalan VR. Dengan kedudukan butang untuk alat kawalan ini walaupun berbeza dengan DualSense akan tetapi kedudukan jari adalah lebih kurang oleh itu, saya tidak mengambil masa yang lama untuk membiasakan diri dengan PS VR2 Sense.
Tracking menggunakan PS VR2 Sense dan juga set kepala PS VR2 adalah sangat baik dengan setiap pergerakan adalah seperti yang saya harapkan, terutama semasa bermain permainan yang pantas seperti di Horizon. Mendaki gunung serta menggunakan panah boleh dilakukan dengan baik tanpa terasa ada selar masa. PS VR2 Sense seperti DualSense hadir dengan bateri terbina dan boleh bertahan lebih kurang 4 hingga 5 jam untuk satu pengecasan penuh. Secara teknikalnya, PS VR2 Sense adalah dua alat kawalan, oleh itu memerlukan dua kabel pengecasan, melainkan membeli dermaga yang boleh digunakan untuk mengecas kedua-duanya serentak.
Menggunakan contoh permainan Horizon Call of the Mountain, permainan ini banyak menggunakan fungsi-fungsi yang disertakan bagi set kepala dan juga PS VR2 Sense, mendaki bukit saya perlu menggerakkan alat kawalan seperti sedang mendaki, memanah saya perlu mengambil anak panah dari belakang, permainan ini juga mempunyai animasi yang saya harapkan seperti apabila meletakkan buah epal di mulut, watak di dalam permainan akan memakannya. Kesemua ini menjadikan dunia yang lebih immersive, sesuatu yang penting untuk VR.
Ini ditambah lagi dengan PS VR2 mempunyai getaran haptik di set kepala, yang sepanjang penggunaan saya memberikan pengalaman yang menarik walaupun ada masa tidak menjadikan lebih immersive, perkara yang sama juga untuk PS VR2 Sense yang membawa fungsi-fungsi DualSense seperti getaran haptik dan juga picu penyesuai.
Semasa bermain permainan VR, paparan adalah menyeluruh dengan saya akan dikelilingi dengan dunia realiti maya tersebut. Selain itu terdapat juga ‘Cinema Mode’ semasa menggunakan menu, bermain permainan bukan VR ataupun menonton kandungan seperti YouTube dan Netflix. Mod ini akan menjadikan set kepala PS VR2 sebagai satu monitor, TV ataupun sebuah projektor.
Saya boleh katakan selain bermain permainan, saya juga banyak menggunakan fungsi ini untuk bermain permainan yang bukan VR. Kualiti paparan yang diberikan adalah tidak sebaik permainan VR, dan juga tidak sebaik di monitor ataupun TV, akan tetapi saya boleh katakan mod ini adalah lebih baik berbanding menggunakan projektor. Ini adalah kerana gambar yang dipamerkan adalah sedikit kabur terutama di bahagian penulisan dan juga grainy.
Semasa menonton Netflix, saya merasakan seperti menonton di panggung wayang kerana boleh membesarkan saiz skrin, namun oleh kerana saya dapat mengubah saiz skrin sahaja tetapi bukan kedudukan skrin tersebut, saiz skrin paling besar akan membuatkan saya terasa berada di kerusi paling depan di panggung wayang yang bukanlah pengalaman terbaik. Namun, merasakan yang Sony boleh menambah pelbagai lagi perkara lain untuk menjadikan Cinema Mode ini lebih menarik, contohnya memaparkan persekitaran seperti di dalam panggung wayang semasa menonton, ataupun seperti di dalam bilik semasa bermain berbanding sekadar gelap sahaja.
Melalui Cinema Mode ini saya boleh katakan yang PS VR2 adalah alternatif yang baik untuk paparan, tetapi bukan pengganti kepada monitor ataupun TV kerana dengan penggunaan yang lama saya akan terasa lebih cepat kelesuan mata.
Bercakap mengenai kelesuan mata, seperti mana-mana set kepala VR, VR Sickness ataupun Motion Sickness akan berlaku dan mengikut pengalaman saya, kesannya adalah berbeza mengikut permainan. VR Sickness yang paling ketara saya rasa adalah semasa bermain Horizon Call of the Mountain yang sepenuhnya dimainkan secara first person, saya tidak boleh bermain melebihi 30 minit sebelum perlu berehat untuk menghilangkan rasa pening.
Manakala permainan seperti Moss II, Townsmen VR yang sekadar melihat pergerakan dan tidak bergerak secara sendiri, VR Sickness bukan satu masalah, Moss contohnya saya boleh main dengan masa yang lama tanpa sebarang masalah. Manakala Star Wars: Tales from the Galaxy’s Edge adalah seperti Horizon yang dimainkan sepenuhnya secara first person akan tetapi permainan ini mempunyai pilihan bergerak menggunakan pointer yang bagi saya mengurangkan VR Sickness dengan sangat baik.
Oleh itu, jika anda mempunyai pengalaman bermain permainan VR dan terasa VR Sickness perkara yang sama akan berlaku melalui PS VR2, akan tetapi jika terus bermain kesannya akan berkurangan berbanding pada awal mencubanya.
Meneruskan kejayaan untuk PS VR, saya juga merasakan yang PS VR2 akan menerima sokongan yang baik dari pembangun-pembangun permainan VR. SIE sendiri telah mengumumkan lebih 30 permainan akan dilancarkan bersama dengan pelancaran PS VR2 kelak termasuk juga permainan-permainan yang akan menerima mod VR seperti Gran Turismo 7 dan Resident Evil Village.
Oleh itu saya boleh katakan yang PS VR2 tidak akan mempunyai masalah kekurangan permainan, ini ditambah lagi dengan industri VR menjadi semakin popular termasuk juga dari industri-industri luar permainan video yang secara langsung ataupun tidak langsung akan turut menggalakkan pembangun untuk hadir dengan permainan berdasarkan VR.
Seperti yang saya katakan di atas, PS VR menjadi antara set kepala realiti maya popular kerana harganya adalah antara yang termurah di pasaran, saya tidak boleh katakan yang sama untuk PS VR2. Namun, dengan pengalaman yang mereka cuba berikan, peningkatan kualiti paparan dan juga dijual bersama dengan PS VR2 Sense, RM2,799 adalah satu harga yang tinggi.
Selain itu, dengan PS VR2 ini juga akan memerlukan PS5 yang secara sendiri dijual dengan harga bermula RM2,069, kos keseluruhan boleh dikatakan sekurang-kurangnya RM4,868 untuk menggunakan PS VR2 ini, dan boleh dikatakan sebagai satu harga yang tinggi tetapi tidak mahal kerana kos yang lebih kurang untuk mendapat pengalaman yang sama bagi penggunaan VR di PC. Buat masa ini, PS VR2 hanya untuk digunakan dengan PS5 dan tiada perancangan untuk set kepala ini turut boleh digunakan di PC.
Akhir kata, PS VR2 adalah antara pengalaman realiti maya yang terbaik yang anda boleh dapatkan di pasaran sekarang, ini ditambah lagi dengan penggunaan PS5 yang satu konsol berkuasa memberikan potensi yang besar untuknya. Harga mungkin tidak lagi boleh dikatakan sebagai mampu milik akan tetapi bukanlah terlalu mahal jika melihat apa yang dibawakan PS VR2 ini.
Permainan yang dihasilkan untuk menggunakan segala kuasa PS5 seperti Horizon Call of the Mountain benar-benar memberikan pengalaman realiti maya yang memuaskan, ditambah lagi dengan PS VR2 akhirnya menerima alat kawalan yang baik melalui PS VR2 Sense, PS VR2 adalah set kepala yang harus dimiliki oleh penggemar permainan-permainan VR.
Dengan penggunaan PS VR2 adalah terhad untuk PS5 sahaja, saya masih lagi berharap yang Sony akan menyediakan penambahan pengalaman penggunaan terutama untuk melakukan akiviti ataupun bermain permainan yang bukan VR agar PS VR2 menjadi satu pilihan yang baik sebagai paparan tambahan untuk PS5.
Penafian: PlayStation VR2 disediakan oleh Sony Interactive Entertainment untuk tujuan ulasan ini. Permainan-permainan yang digunakan untuk ulasan ini disediakan oleh SIES dan penerbit permainan itu sendiri.