Sepertimana yang dilakukan untuk PlayStation 5 sebelum ini, Sony juga telah berkongsi video di mana mereka membuka PlayStation VR2 dan juga alat kawalan untuknya iaitu PS VR2 Sense bagi memperlihatkan komponen-komponen dalaman.

Anda boleh lihat video untuk PS VR2 di bawah yang dihos oleh Takamasa Araki iaitu antara jurutera untuk PS VR2.

Di dalam video ini diperlihatkan yang terdapat dua bahagian utama untuk PS VR2 iaitu headband dan juga Scope, dan untuk mengasingkan kedua bahagian ini adalah mudah yang baik bagi pengguna yang ingin mencuci PS VR2 tersebut.

Begitu juga dengan pelindung mata di Scope yang mudah untuk dibuka dan menurut Takamasa, pelindung mata tersebut boleh dicuci dengan air. Takamasa kemudiannya membuka komponen-komponen lain untuk Scope yang walaupun mudah tetapi tidak digalakkan untuk dilakukan oleh pengguna jika tidak pakar.

Manakala untuk headband, mereka menggunakan pad silikon berbanding kusyen sebelum ini yang dikatakan memberi grip yang lebih baik dan menyukarkan untuk menjadi melekit. Headband ini juga dihasilkan dengan lebih fleksibel untuk memberikan keselesaan yang terbaik.

Seterusnya adalah Takeshi Igarashi dari pasukan pencipta perkakas untuk berkongsi video membuka komponen dalaman bagi alat kawalan PS VR2 Sense yang anda boleh tonton di bawah.

Bagi alat kawalan ini diperlihatkan bagaimana mereka menyertakan getaran haptik dan juga picu penyesuai, menggunakan teknologi yang sama dengan DualSense tetapi direka khusus untuk alat kawalan ini.

PS VR2 Sense ini juga hadir dengan rekaan sfera untuk tujuan menjejak pergerakan dan juga kedudukan pergelangan tangan.

PS VR2 akan dikeluarkan secara rasmi pada 22 Februari 2023 dan anda boleh baca nyah-kotak kami untuknya.

Sohor Kini