Pra-Pendaftaran Honkai: Star Rail Dibuka Untuk PC, iOS Dan Android

HoYoverse telah mengumumkan yang sesi pra-pendaftaran untuk permainan seterusnya oleh mereka iaitu Honkai: Star Rail telah dibuka untuk semua platform iaitu PC termasuk juga melalui Epic Games Store, iOS dan Android.

Anda boleh mengakses pra-pendaftaran ini melalui App Store, Play Store dan juga melalui laman khusus untuknya. Mengikut jumlah pra-pendaftaran yang dicapai, pemain akan mendapat 20 Star Rail dan watak Serval apabila ia dilancarkan secara rasmi.

Bersama dengan pengumuman ini, mereka juga telah berkongsi treler baharu yang anda boleh tonton di bawah yang memfokuskan antara watak akan tiba di dalam permainan ini iaitu Bailu.

Honkai: Star Rail ialah permainan RPG taktikal dengan pertempuran mengikut turutan yang agak berbeza dengan genre RPG beraksi yang diperlihatkan pada Honkai Impact 3rd dan juga Genshin Impact. Penceritaan permainan ini dilihat berkait dengan jalan cerita Honkai Impact, tetapi berkisarkan watak-watak mereka sendiri.

Buat masa ini tarikh pelancaran untuknya masih tidak diumumkan, namun sesi beta tertutup sedang bermula sekarang.

Sohor Kini