Star Wars Jedi: Survivor iaitu permainan susulan untuk Star Wars Jedi: Fallen Order akan dikeluarkan tidak lama lagi, oleh itu, saya merasakan sekarang adalah masa yang bersesuaian untuk bermain permainan pertama ini dan juga mengeluarkan ulasan sebagai persediaan untuk permainan susulan tersebut. Walaupun dikeluarkan pada tahun 2019 akan tetapi ini adalah pertama kali saya main dan merasakan yang saya sepatutnya mencubanya lebih awal lagi.
Permainan ini boleh dikatakan sebagai antara permainan terbaik berdasarkan IP besar iaitu Star Wars, mungkin yang terbaik selepas Star Wars: The Force Unleashed yang dikeluarkan pada tahun 2008 dan Star Wars: Knight of the Old Republic yang dikeluarkan pada tahun 2003.
Fallen Order adalah mengenai Cal Kestis yang merupakan seorang Jedi tetapi terpaksa bersembunyi kerana selepas kejadian di dalam filem Revenge of the Sith, kesemua Jedi termasuk juga yang masih belajar diarahkan untuk dibunuh ataupun ditukar menjadi Inquisitor. Cal Kestis pada awalnya menyorok di planet Bracca akan tetapi selepas dia dikesan oleh Second Sister, semasa dia melarikan diri, Cere Junda dan Greez Dritus bersama dengan kapal mereka Stinger Mantis memberi bantuan kepada Cal.
Cere kemudiannya mendedahkan dia adalah bekas Jedi dan di dalam misi yang ditinggalkan oleh bekas gurunya, Eno Cordova, namun misi tersebut memerlukan Jedi dan bantuan Cal Kestis diperlukan. Cal Kestis kemudiannya menyedari yang misi yang ditinggalkan oleh Cordova adalah mengenai senarai nama kanak-kanak yang mempunyai kuasa Force untuk membina semula Jedi Order.
Bermula pengembaraan Cal Kestis, Cere Junda dan Greez Dritus yang memerlukan mereka pergi ke beberapa planet untuk mencari klu mengenai apa yang ditinggalkan oleh Cordova dan pada masa yang sama turut terlibat dengan peperangan melawan Empire.
Penceritaan yang dibawa di dalam permainan ini cukup menarik dan mempunyai banyak elemen mengenai kesetiaan, persahabatan, kehilangan dan juga semangat tidak berputus asa. Penceritaan juga memberi tambahan kepada penceritaan yang hadir melalui kandungan lain Star Wars. Walaupun mungkin tidak sepenuhnya canon, tetapi Fallen Order menyertakan beberapa elemen dan watak daripada kandungan-kandungan Star Wars yang lain.
Penceritaan yang disampaikan adalah ringkas, dan bagi saya dengan pacing yang memuaskan. Beberapa rungutan yang saya boleh katakan adalah sasaran utama untuk permainan ini adalah mencari senarai nama kanak-kanak yang mempunyai Force terasa sangat lemah dan kurang menarik, tambahan pada itu, permainan ini juga banyak menyertakan watak yang tiba-tiba muncul dan tidak diberikan ruang yang mencukupi untuk dikembangkan. Namun, pengakhiran yang diberi sudah semestinya membuatkan saya ternanti-nanti untuk permainan kedua.
Sepanjang penceritaan, Cal Kestis akan ditemani oleh BD-1 yang merupakan droid ditinggalkan oleh Cordova untuk membantu mana-mana Jedi yang meneruskan misi dirinya. Saya boleh katakan walaupun sekadar droid sahaja, BD-1 adalah antara watak terbaik yang disertakan di dalam permainan ini.
Tatamain pula, Fallen Order adalah permainan semi-dunia terbuka dengan pemain boleh mengembara ke mana-mana sudut di beberapa planet, namun kawasan yang disertakan tidak luas lebih kepada kawasan tersebut mempunyai banyak cabang dan juga tingkat yang masih memerlukan masa untuk mengembara kesemua tempat. Perkara yang mengecewakan adalah permainan ini tidak memberi sebab yang mencukupi untuk pemain mengembara melangkaui melakukan misi.
Jika pemain meluangkan masa untuk mencari kawasan ataupun kotak tersembunyi, pemain akan sekadar mendapat barangan kosmetik seperti rekaan untuk Lightsaber ataupun pakaian untuk Cal Kestis. Selepas menjumpai beberapa barangan ini, saya sudah tidak perlukan lagi untuk mencari lebih lagi. Tambahan pada itu, mengembara di dalam permainan ini sedikit sukar kerana rekaan sesuatu kawasan yang banyak cabang dan tidak menyertakan fast travel.
Bagi pertempuran pula, penggunaan Ligthsaber bersama dengan Force, adalah menarik terutama Force yang mempunyai beberapa gerakan berbeza seperti menarik ataupun menolak. Namun, saya boleh katakan perasaan mengawal Cal Kestis semasa bertempur terasa sangat lembap, ini ditambah lagi dengan kawalan kamera yang kurang baik. Ini menjadikan block dan juga parry terasa lebih sukar berbanding sepatutnya.
Walaupun tahap kesukaran yang Medium, permainan ini masih lagi mencabar terutama dengan sistem “Meditation” digunakan. Cal Kestis boleh melakukan meditation dan apabila melakukannya, bukan sahaja akan menyimpan permainan tetapi pemain diberi pilihan sama ada ingin Rest yang akan menyembuh dan mengisi semula Stim Canisters tetapi pada masa akan mengeluarkan semula penjahat-penjahat yang ditumpaskan sebelum ini.
Bagi saya sistem ini kurang menarik dan ada masa menjengkelkan terutama kerana pengguna Stim Canisters iaitu sesuatu yang boleh digunakan untuk mengembalikan nyawa adalah sangat terhad walaupun saya sudah menjumpai bilangan tambahan untuknya. Mengembalikan penjahat setiap kali Rest juga membuatkan saya kurang berminat untuk mengembara di dalam permainan ini, tambahan kepada sebab yang saya nyatakan di atas.
Saya bermain Fallen Order menggunakan Xbox Series dan menyertakan dua pilihan grafik iaitu Performance ataupun resolusi 4K, saya menggunakan Performance dan memberikan prestasi grafik yang sangat baik dengan sentiasa 60FPS. Hanya ada beberapa bahagian sahaja ia jatuh tetapi jarang berlaku. Satu pepijat yang sering terjadi adalah suara dan adegan tidak sync yang memerlukan saya untuk menutup permainan dan membukanya semula.
Selain daripada itu, Fallen Order adalah permainan yang nampak sangat cantik, rekaan dunia adalah menarik, rekaan watak juga adalah baik terutama kebanyakan watak menggunakan wajah pelakon-pelakon yang terkenal seperti Cameron Monaghan untuk Cal Kestis dan Debra Wilson untuk Cere Junda. Permainan ini juga mempunyai rekaan flora dan fauna yang pelbagai termasuk juga yang jahat. Walaupun tidak mempunyai sebab yang banyak untuk mengembara tetapi keindahan rekaan dunia ini sekurang-kurangnya membantu untuk memberi sedikit motivasi.
Akhir kata, Star Wars Jedi: Fallen Order adalah satu permainan yang menggunakan IP Star Wars, menyertakan penceritaan yang baik dengan membuka ruang kepada penceritaan yang lebih menarik untuk permainan seterusnya. Fallen Order juga mempunyai dunia yang luas dengan rekaan yang cantik, akan tetapi pengisian dan beberapa quality of life yang kurang baik membuatkan pengembaraan tidak menarik. Pertempuran juga dilakukan dengan baik, penggunaan Lightsaber dan juga kuasa Force menjadikan Fallen Order satu permainan ‘jedi’, walaupun ada beberapa elemen yang menjengkelkan.
Star Wars Jedi: Fallen Order adalah satu permainan yang harus dimainkan bagi yang meminati permainan aksi pengembaraan ataupun peminat Star Wars.