HBO telah mengumumkan yang episod seterusnya untuk siri TV The Last of Us akan disiarkan lebih awal di HBO Go iaitu pada hari Sabtu, 11 Februari berbanding setiap hari Isnin seperti episod-episod sebelum ini. Episod ini masih lagi disiarkan pada hari Isnin ini di saluran HBO melalui Astro.
Buat masa ini hanya episod 5 diumumkan akan tiba lebih awal dengan 4 lagi episod yang akan tiba bagi musim pertama untuk siri ini buat masa ini kekal pada setiap hari Isnin dengan episod terakhir akan tiba pada 13 Mac 2023.
Siri TV The Last of Us ini telah memecah pelbagai rekod untuk HBO dengan setiap episod menerima sambutan yang baik. Tidak mengejutkan, HBO juga telah mengesahkan yang siri ini akan menerima musim kedua meneruskan penceritaan Joel dan Ellie.