[Beberan] Siri TV The Last of Us – Episod 4

Perhatian: Ini adalah perbincangan untuk episod 4 bagi siri TV The Last of Us dan akan mengandungi beberan/spoiler penceritaan, oleh itu jika anda masih tidak tontonnya boleh elak dari membacannya. Jika ingin membaca ulasan penuh tanpa spoiler anda boleh ke pautan ini – Ulasan Siri TV The Last of Us – Musim Pertama

Di episod lepas, Joel and Ellie berjaya mendapatkan kereta bagi perjalanan mereka ke Wyoming untuk mencari Tommy yang merupakan adik lelaki kepada Joel dengan harapan dia mengetahui cara untuk mencari pasukan Firefly yang lain selepas gagal bertemu dengan mereka ketika episod sebelum ini.

Semasa dalam perjalanan, Joel dan Ellie mula mempunyai perhubungan yang lebih rapat dan bukan sekadar penghantar dan kargo sahaja. Ellie dengan buku jenaka, manakala Joel juga lebih terbuka untuk berkongsi perkara peribadi kepada Ellie termasuk juga mengenai Tommy yang menurut Joel menyertai Firefly kerana ingin “menyelamatkan dunia” sesuatu yang Joel merasakan membazir masa sahaja.

Episod kali ini juga mempunyai lebih aksi dengan lebuhraya telah disekat dengan kereta-kereta rosak, Joel dan Ellie terpaksa menukar jalan dengan memasuki pekan ataupun bandar. Di tempat tersebut diperlihatkan bagaimana Quarantine Zone (QZ) tidak lagi berpenghuni memberi gambaran yang pemberontakan telah berlaku.

Semasa mencari jalan untuk kembali ke lebuhraya, mereka disekat oleh seorang individu yang tampaknya tercedera, tetapi Joel dengan pengalaman yang dia ada menyedari yang itu adalah perangkap. Cubaan Joel dan Ellie untuk melarikan diri tidak berjaya dengan kereta terbabas dan berlakulah pembalasan tembakan.

Ellie yang mengambil pistol tanpa disedari oleh Joel pada episod lepas juga akhirnya menggunakan pistol tersebut tetapi bukan dengan cara yang dia suka. Walaupun di dalam keadaan yang berbahaya ini, Ellie menyedari yang mengambil nyawa seorang manusia adalah bukan sesuatu yang mudah berbeza dengan bagaimana Ellie membunuh zombi di episod lepas.

Penceritaan kemudiannya beralih kepada satu watak baharu, dan juga watak yang tiada di dalam permainan iaitu Kathleen. Dia kelihatan seperti seorang ketua untuk sekumpulan yang Joel gelar sebagai “people”. Mereka juga tampaknya bermusuh dengan FEDRA dan berkemungkinan besar pasukan yang menyerang QZ yang Joel dan Ellie jumpa sebelum ini.

Kathleen di dalam misi untuk mencari seorang watak yang bernama Henry, menurut Kathleen, Henry yang telah memberitahu mengenai bapanya kepada FEDRA yang mengakibatkan bapanya terbunuh di tangan FEDRA. Mungkin kerana kejadian inilah Kathleen telah menjadi ketua dan juga mengapa mereka menyerang QZ.

Melihat beberapa orang telah dibunuh oleh Joel dan Ellie, Kathleen mengatakan ini mungkin dilakukan oleh rakan kepada Henry dan mula melakukan pencarian di keseluruhan bandar, menjadikan usaha Joel dan Ellie untuk melarikan diri menjadi makin sukar.

Di dalam penantian sebelum melakukan cubaan untuk melarikan diri, Joel meminta maaf kepada Ellie kerana kecuaian mengakibatkan Ellie terpaksa menembak manusia, namun Ellie mengatakan yang ini bukanlah pertama kali dia melakukannya. Mungkin mendengar perkara tersebut dan juga menyedari yang keadaan akan menjadi lebih berbahaya, Joel akhirnya bersetuju untuk memberi senjata kepada Ellie dan mengajar cara yang selamat untuk menggunakannya.

Berbalik kepada Kathleen yang sedang mencari Henry telah menjumpai tempat dia menyorok tetapi Henry sudah bergerak ke tempat yang lain. Di tempat tersebut kelihatan contengan kanak-kanak yang mungkin menyatakan Henry bergerak bersama dengan seorang kanak-kanak. Selain daripada itu, kelihatan juga ada sesuatu di bawah tanah dan cuba keluar.

Episod ini berakhir dengan seorang lelaki dewasa dan juga seorang kanak-kanak mengacu pistol ke arah Joel dan Ellie yang sedang tidur, berkemungkinan besar lelaki dewasa tersebut adalah Henry.

Sohor Kini