Sony hari ini telah berkongsi laporan prestasi kewangan mereka dan seperti biasa turut berkongsi jumlah jualan untuk perkakasan keluaran mereka termasuk juga PlayStation 5.
Bagi suku ketiga untuk tahun fiskal 2022-2023, iaitu sepanjang bulan Oktober sehingga Disember tahun lepas, PS5 telah diedarkan sebanyak 7.1 juta unit yang merupakan jumlah tertinggi untuk satu suku sejak dilancarkan.
Sebagai perbandingan, semasa suku pelancaran, PS5 hanya diedarkan sebanyak 4.5 juta unit sahaja. Ini menandakan yang Sony berjaya untuk mengeluarkan konsol tersebut dengan lebih banyak. Mereka juga mengatakan yang PS5 akan lebih mudah untuk dibeli pada tahun ini.
Dengan 7.1 juta unit bagi suku lepas, jumlah keseluruhan untuk edaran PS5 telah mencecah 32.1 juta unit setakat Disember 2022 dengan jangkan mencecah 40 juta unit pada akhir tahun ini.
Bagi penjualan perisian dan juga permainan, pada suku lepas mereka mencatat jualan sebanyak 86.5 juta unit dengan 20.8 juta unit adalah permainan pihak pertama. Jumlah ini sudah semestinya dibantu oleh God of War Ragnarok yang dikeluarkan pada bulan November dan baru sahaja diumumkan terjual 11 juta unit.
Bagi pelanggan PlayStation Plus, jumlah keseluruhan memperlihatkan peningkatan berbanding suku lepas iaitu 46.4 juta berbanding 45.4 juta tetapi lebih rendah berbanding suku yang sama pada tahun lepas dengan mempunyai 48 juta pelanggan.