Semasa pengumuman prestasi kewangan mereka bagi suku keempat untuk tahun fiskal 2022-2023, Netflix telah mengatakan yang akan mula mengehadkan aktiviti perkongsian akaun yang melibatkan lebih 100 juta akaun dan mengakibatkan kerugian ke atas mereka.
Buat masa ini, cara untuk mengehadkan perkongsian akaun ini masih tidak dijelaskan, akan tetapi laman Help Center bagi perkhidmatan penstriman tersebut telah mengeluarkan salah satu cara mereka akan melakukannya.
Laman tersebut telah ditukar dengan Netflix mengatakan yang mereka secara tidak sengaja mengeluarkan informasi yang terhad untuk beberapa negara sahaja kepada semua. Laman The Streamable ada melaporkan apa yang tertulis sebelum dipadamkan.
Menurutnya, akaun Netflix masih boleh dikongsi akan tetapi kesemua peranti yang mengakses-nya mesti adalah isi rumah yang sama. Untuk memastikannya, Netflix akan meminta peranti-peranti tersebut log masuk ke Netflix menggunakan sambungan Wi-Fi yang sama sekurang-kurangnya sekali dalam masa 31 hari.
Selepas peranti tersebut menggunakan Wi-Fi yang sama, peranti itu akan menjadi “trusted device” dan boleh digunakan diluar lokasi utama untuk 31 hari sebelum perlu log masuk sekali lagi.
Bagi akaun yang telah disekat akses, Netflix menggalakkan untuk melanggan akaun sendiri dengan memperkenalkan pelbagai pilihan akaun berbeza termasuk juga yang mempunyai iklan. Netflix juga ada menguji fungsi untuk pelanggan membuat bayaran tambahan jika ingin berkongsi akaun.
Netflix buat masa ini tidak mengesahkan lagi jika cara yang sama akan digunakan secara menyeluruh, namun mengatakan yang sebarang keputusan mereka akan diberitahu kepada pelanggan terlebih dahulu sebelum perkara tersebut berkuat-kuasa.