Ulasan Forspoken

Forspoken adalah antara permainan terawal yang diumumkan untuk PlayStation 5, ia diumumkan sebelum konsol tersebut dikeluarkan lagi. Oleh itu, permainan ini sudah semestinya menarik minat ramai pemain termasuk saya sendiri. Selepas meluangkan lebih kurang 15 jam bermain, saya boleh katakan ia mengecewakan dari segi harapan saya untuk permainan ini, akan tetapi pada masa sama bukanlah satu permainan yang tidak baik dan saya masih mempunyai masa yang baik bermain.

Frey Holland adalah remaja yang bermasalah di bandar New York, semasa dia bayi dia ditinggalkan di “Holland Tunnel” yang memberi kepada nama akhir untuknya. Dinyatakan yang Frey sudah beberapa kali dijaga oleh keluarga angkat akan tetapi ia sering gagal dan Frey merasakan yang hidupnya berseorangan di dalam dunia ini.

Semasa dia mencuba untuk membunuh diri, walaupun permainan ini tidak jelas memperlihatkan sebaliknya hanya digambarkan melalui dialog sahaja, dia dikejutkan oleh seekor bunga yang membawa Frey untuk menjumpai satu gelang tangan. Selepas dia memakai gelang tangan tersebut, secara tiba-tiba dia memasuki ke satu portal yang membawa dirinya bersama dengan gelang tersebut ke dunia lain di satu tempat yang dipanggil sebagai Athia.

Ini adalah konsep yang sama sering digunakan oleh penceritaan ‘isekai’ oleh itu tidak mengejutkan ramai yang menganggap permainan ini adalah satu isekai. Seperti mana-mana kandungan isekai, selepas memasuki dunia ini, Frey juga mendapat kuasa yang membolehkan dia menembak batu-batuan sambil membolehkan dia bergerak dengan pantas. Pada masa sama, Frey juga mendapati yang gelang tangan yang dijumpai dia sebelum ini juga boleh bercakap, dan Frey memanggilnya sebagai Cuff.

Di Athia satu kejadian sedang berlaku yang Frey katakan sebagai ‘Break’ kerana sesiapa sahaja yang memasuki kawasan tersebut akan hancur ataupun menjadi zombi. Break ini juga mengakibatkan keadaan kesukaran kepada kehidupan penduduk Athia. Namun Break tidak memberi kesan kepada Frey yang membuatkan kerajaan Cipal iaitu salah satu bandar di Athia yang diketuai oleh Council of Cipal curiga dengan Frey dan memasukkannya ke dalam penjara.

Dengan bantuan Auden Keen yang merupakan seorang yang dihormati di bandar tersebut, Frey berjaya melarikan diri. Sebagai terima kasih kepada Auden dan juga ingin mencari jalan cara untuk kembali, Frey perlu mencari nota kajian oleh Robian Keen iaitu bapa kepada Auden yang dikatakan sudah meninggal dunia. Nota tersebut berada di kawasan yang mengalami Break oleh itu Auden tidak dapat mengambilnya sendiri. Bermula sebagai bantuan kepada Auden, tanpa disedari Frey mula terlibat dengan ‘The Tantas’ iaitu yang dianggap sebagai ‘tuhan’ bagi penduduk Athia, akan tetapi berbanding menjaga orang di bawah mereka, empat Tantas iaitu Sila, Prav, Olas dan Cinta sebaliknya menjadi punca kepada Break.

Forspoken berjaya untuk hadir dengan penceritaan yang menarik, dunia Athia, misteri mengenai Break, perwatakan Tantas dan juga misteri mengenai Cuff sendiri menjadikan terdapat banyak elemen menarik di dalam penceritaan ini akan tetapi ia mempunyai penulisan yang sangat mengecewakan, terutama di dalam perkembangan watak Frey.

Walaupun Frey melakukan pelbagai perkara, akan tetapi perwatakannya gagal untuk berkembang dan terus menerus menjadi satu watak yang sangat mengamalkan self-pity. Benar self-pity kebiasaannya digunakan untuk memulakan satu watak agar ia boleh dikembangkan kemudian, akan tetapi permainan ini terlalu menggunakannya mengakibatkan watak Frey sangat tidak menarik untuk diikuti. Saya boleh katakan watak Frey menjadi lebih menarik pada akhir permainan yang bagi saya pada waktu itu sudah terlambat.

Perhubungan di antara Frey dengan watak-watak lain seperti Cuff, Auden dan Tantas adalah baik sahaja akan tetapi kerana sifat Frey yang saya katakan di atas serba sedikit mengganggu perhubungan ini menjadikan ia kurang memberi impak seperti sepatutnya. Melihat kepada bagaimana Frey membesar, saya faham mengapa Frey menjadi seperti dirinya, akan tetapi saya merasakan terdapat banyak ruang yang boleh dilakukan untuk menjadikan watak Frey yang akan dikawal oleh pemain menjadi lebih menarik, dan menjadikan perhubungan dengan watak-watak lain lebih bermakna tetapi permainan ini gagal melakukannya.

Ini ditambah lagi dengan penyampaian yang kurang menarik dan beberapa pilihan yang bagi saya agak janggal di dalam grafik dan juga animasi. Bahagian adegan di dalam permainan ini terlalu kerapa menggunakan dim-to-black yang bagi saya bukan sahaja terlalu kerap, tetapi di tempat-tempat yang tidak memerlukannya. Perkara ini bagaikan mereka mempunyai sesuatu yang lain untuk diperlihatkan tetapi ia tidak menjadi, dan sekadar menggunakan dim-to-black sebagai pengisi.

Selain itu, terdapat juga bahagian di mana grafik nampak sangat tidak berkualiti dengan tekstur nampak sangat kabur, pada awalnya saya merasakan ia lambat untuk dimuat ke dalam permainan, tetapi apabila saya berulang kali melihat bahagian tersebut, perkara yang sama berlaku. Oleh itu, saya merasakan perkara ini adalah pepijat dan harap dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Animasi dialog juga mempunyai bahagian yang janggal, ada masa dua watak akan berdiri melihat sesama sendiri dan dialog mengambil sedikit masa untuk bermula, ada masa dialog terlalu dekat antara satu sama lain menjadikan dua bahagian terasa seperti satu bahagian sahaja dan mengganggu dialog tersebut. Perkara ini adalah kecil sahaja akan tetapi kerana kerap berlaku, mengganggu pengalaman penceritaan.

Bagi tatamain pula, Forspoken adalah permainan aksi pengembaraan dunia terbuka, dan permainan ini menyertakan satu kawasan yang luas untuk diteroka, malangnya dipenuhi dengan pengisian yang tidak bermakna dan sekadar untuk pemain mendapatkan barangan sahaja. Sebagai yang sering menghabiskan ratusan jam bermain siri permainan Assassin’s Creed, perkara ini bukanlah masalah untuk saya tetapi saya merasakan dengan kualiti permainan-permainan dunia terbuka sekarang, pengisian kosong sebegini tidak lagi mencukupi.

Jika anda bermain dengan tahap kesukaran ‘Normal’, sebarang aktiviti sampingan tidak diperlukan dan anda boleh habiskan keseluruhan permainan secara terus yang akan menjadikan permainan ini boleh dihabiskan kurang daripada 13 jam. Jika ingin melakukan kesemua aktiviti yang disediakan akan mengambil lebih 40 jam. Selepas permainan habis, terdapat beberapa kandungan tambahan yang boleh dilakukan. Forspoken juga mempunyai peta yang bagi saya agak menarik, terutama dapat melihat sesuatu lokasi berada di tempat yang tinggi ataupun tidak. Tambahan itu, saya juga boleh meletakkan sehingga 5 marker untuk mengembara dengan lebih mudah tanpa perlu merujuk peta terlalu kerap.

Forspoken mempunyai satu kawasan yang luas, akan tetapi seperti pengisian aktiviti, dunia Athia juga sangat kosong. Benar, ini adalah dunia yang mengalami Break, akan tetapi saya merasakan ia tidak harus menjadi alasan untuk hadir dengan dunia yang nampak sangat tidak menarik, terutama permainan dunia terbuka yang pemain digalakkan untuk mengembara dan menjadi sebahagian yang penting di dalam tatamain.

Satu-satunya perkara yang menjadikan pengembaraan menarik adalah cara untuk mengembara adalah sangat menyeronokkan. Frey boleh menggunakan kuasa untuk melalui satu kawasan dengan cepat, dan dapat juga mendaki satu gunung dengan mudah. Tambahan pada itu, ia sangat kelihatan menarik dan bergaya.

Bagi pertempuran pula, Frey juga boleh melakukan serangan yang bergaya dan mempunyai pelbagai jenis serangan yang berbeza, sama ada melempar batu, ataupun menggunakan pedang api, dan pelbagai kuasa-kuasa lain seperti mengeluarkan akar pokok ataupun mengeluarkan bebola air. Kepelbagai elemen dan serangan yang boleh digunakan oleh Frey adalah menarik, malangnya rekaan penjahat tidak menjadikan pertempuran menarik.

Kebanyakan penjahat berbanding mempunyai serangan yang berlainan, kebanyakan daripada mereka adalah sekadar mempunyai ketahanan yang tinggi ataupun bulletsponge menjadikan walaupun rekaan berlainan tetapi penjahat tidak terasa berlainan menjadikan ia terasa berulang dan cepat membosankan. Saya juga berasa kurang dapat mengawal Frey semasa bertempur, terutama semasa mengelak, kerana setiap-nya terasa automatik agar Frey dapat melakukan pergerakan yang bergaya.

Bagi prestasi grafik, saya bermain di PS5 dan menggunakan tetapan Ray-Tracing terdapat juga Quality Focused yang memberikan resolusi 4K dan Performance Focus yang resolusi lebih rendah tetapi kadar kelancaran yang lebih tinggi tanpa penggunaan ray tracing. Saya menggunakan tetapan ray tracing kerana ia akan membuatkan gambar menjadi lebih cantik terutama dari segi pencahayaan dan juga bayang-bayang, sesuatu yang nampak kurang baik di tetapan lain.

Bagi tetapan yang saya guna, bersama dengan mod 120Hz Display, saya mendapat kadar kelancaran 30-40FPS yang bagi saya sudah memadai untuk permainan ini dan juga yang paling stabil berbanding dua tetapan yang lain. Namun, secara amnya prestasi grafik dan kualiti grafik itu sendiri sedikit mengecewakan terutama kerana permainan ini dibangunkan di platform yang terhad iaitu di PS5 dan PC sahaja. Apabila dibandingkan dengan permainan seperti Horizon Forbidden West dan juga God of War, kualiti grafik sangat ketinggalan.

Akhir kata, Forspoken adalah permainan yang sederhana sahaja, mempunyai beberapa elemen yang menarik tetapi banyak perkara yang mengurangkan kualiti keseluruhan permainan. Di setiap bahagian yang baik, terdapat perkara yang mengurangkan pengalaman bermain. Saya boleh katakan yang permainan ini mempunyai potensi yang gagal untuk dicapai.

Penceritaan adalah baik dan menarik tetapi penulisan untuk watak utama Frey kurang berjaya dan sekaligus mencacatkan sedikit penceritaan. Pengembaraan di dalam permainan ini adalah antara yang terbaik di dalam mana-mana permainan dunia terbuka tetapi sangat mengecewakan dunia terisi dengan perkara-perkara yang kosong. Pertempuran juga adalah baik dengan Frey dapat menggunakan pelbagai kuasa, namun rekaan penjahat yang lebih kepada bulletsponge berbanding watak penjahat yang unik menjadikan pertempuran cepat membosankan.

Saya tidak boleh mengesyorkan permainan ini dengan harga yang penuh, akan tetapi jika ia boleh didapati dengan lebih murah, ia masih lagi satu permainan yang pemain akan mempunyai masa yang baik bermain.

Penafian: Kod permainan Forspoken disediakan oleh Square Enix Asia untuk tujuan ulasan ini. Forspoken sudah dikeluarkan untuk PlayStation 5 dan PC.

Forspoken
Forspoken adalah permainan aksi pengembaraan yang menarik dan bergaya tetapi penulisan dan pengisian dunia terbuka mengecewakan
Positif
Cara Pengembembaraan Yang Menarik Dan Bergaya
Kepelbagaian Serangan Yang Boleh Dilakukan
Penceritaan Fantasi Yang Menarik, Penuh Misteri
Negatif
Pengisian Dunia Terbuka Yang Kosong
Rekaan Penjahat Yang Berulang
Penulisan, Terutama Untuk Watak Utama Mengecewakan
7

Sohor Kini