[Beberan] Siri TV The Last of Us – Episod 3

Perhatian: Ini adalah perbincangan untuk episod 3 bagi siri TV The Last of Us dan akan mengandungi beberan/spoiler penceritaan, oleh itu jika anda masih tidak tontonnya boleh elak dari membacannya. Jika ingin membaca ulasan penuh tanpa spoiler anda boleh ke pautan ini – Ulasan Siri TV The Last of Us – Musim Pertama

Episod 3 bermula terus dari Episod 2 dan memperlihatkan Joel bersama dengan Ellie di dalam perjalanan ke Bill dan Frank yang dikatakan sebagai rakan Joel dan Tess. Namun, penceritaan bermula dengan Joel boleh dikatakan membina kubur menggunakan batu di tepi sungai sebagai memperingati Tess yang kita boleh anggap sudah mati selepas dijangkiti dengan cordyceps dan juga meletupkan sekumpulan zombi bersama dengan dirinya. Ellie, mungkin di dalam usaha untuk mengurangkan rasa bersalah di dalam dirinya telah memberitahu Joel yang kematian Tess bukan tidak boleh disalahkan kepada dirinya, sesuatu yang Joel tampaknya bersetuju.

Di dalam episod ini juga diperlihatkan bagaimana mereka mengisi bahagian “pengembaraan”, seperti saya katakan di dalam episod-episod lepas, jika di dalam permainan ia diisi dengan Joel dan Ellie perlu melalui sekumpulan zombi ataupun manusia, tetapi perkara tersebut bukanlah sesuatu yang biasa. Bahkan semasa Joel cuba mencari bekalan untuk perjalanan mereka, Joel meninggalkan senjata kerana senjata tersebut tidak lagi berpeluru.

Ini mungkin tidak masuk akal di dalam permainan, kerana peluru boleh dicari kemudian, tetapi masuk akal di dalam siri kerana setiap barangan yang di bawa adalah ‘beban’ yang perlu di bawa, terutama jika barangan tersebut tidak lagi boleh diguna. Berbanding Joel dan Ellie perlu lawan, mereka sebaliknya mengisi dengan perbualan dan melaluinya kita serba sedikit mengetahui bagaimana pandemik ini bermula.

Selepas kejadian di episod 1, sebelum melompat ke 20 tahun kemudian, Joel mengatakan keadaan menjadi terus bermula pada hari Jumaat, iaitu hari untuk episod 1, dan pada hari Isnin kesemuanya sudah berakhir menandakan berakhirnya “ketamadunan manusia” yang kita ketahui. Joel juga mengatakan yang pandemik ini berpunca daripada mutasi cordyceps yang boleh hidup di dalam manusia telah memasuki sumber makanan iaitu gandum.

Gandum telah menjadi topik yang dibincangkan untuk tiga episod berturut-turut, pertama kali pada episod 1 di mana mereka mendengar mengenai kekecohan berlaku di pusat pemprosesan gandum di Indonesia, di episod 2 diperlihatkan yang ramai pekerja tempat gandum tersebut telah dijangkiti dan kali ini melalui perbualan di antara Joel dan Ellie – mengesahkan yang pandemik ini bermula dari gandum yang telah memasuki makanan.

Di dalam perjalanan, Ellie juga telah menjumpai tulang dan tengkorak manusia yang telah dibunuh, Joel mengatakan yang FEDRA telah meminta kesemua orang untuk mengosongkan penempatan dan pergi ke kem mereka, akan tetapi jika kem tersebut sudah penuh, mereka akan dibunuh kerana menurut Joel, orang yang mati tidak boleh menjadi zombi.

Episod ini kemudiannya kembali ke masa lepas dengan memperkenalkan kepada watak Bill, berbanding mengikut arahan FEDRA, dia menyorok di rumah dan apabila penempatannya sudah kosong, dia menjadikan tempat itu sebagai kubu sendiri dengan pagar dan perangkap di pasang sekitarnya. 4 tahun bersendirian, Bill kemudiannya berjumpa dengan Frank yang terkena salah satu perangkap yang dipasang oleh Bill. Bahagian ini adalah salah satu bahagian yang telah ditambah, di dalam permainan, Joel sekadar pergi berjumpa dengan Bill yang pada waktu itu sudah mengenali Frank.

Selepas membantu Frank, mereka berdua tinggal bersama di penempatan tersebut, dan Frank adalah yang menghubungkan Bill dan Joel serta Tess. Siri ini memperlihatkan bagaimana Frank bertukar barangan dengan Joel dan Tess walaupun Bill tidak menyukainya. Antara yang diperlihatkan adalah Frank memberi senjata kepada Joel dan mendapat benih pokok strawberi untuk ditanam. Adegan yang memperlihatkan Bill dan Frank juga boleh dikatakan sangat baik untuk memperlihatkan bagaimana ramai yang merindui dunia yang kita kenali sekarang, walaupun sekadar memakan satu strawberi sudah cukup untuk memberi perasaan yang hiba.

Pengakhiran bagi kisah Bill dan Frank juga adalah satu perubahan yang sangat besar berbanding di dalam permainan. Setelah lama bersama, Frank telah sakit dan ingin menamatkan hidupnya berbanding membebankan Bill ataupun jatuh lebih sakit. Bill yang tidak ingin bersendirian juga telah mengambil keputusan untuk membunuh diri bersama.

Di dalam permainan, Frank telah bergaduh dengan Bill dan melarikan diri tetapi telah digigit oleh zombi dan dia membunuh diri. Bill masih hidup untuk menolong Joel. Di dalam siri ini, Bill meninggalkan kereta kepada Joel yang dia jangkakan akan datang untuk mencari mereka.

Episod ini berakhir dengan Joel dan Ellie akhirnya memasuki rumah Bill dan menyedari nasib mereka, di dalam surat yang ditulis kepada Joel, Bill meminta untuk Joel terus mempertahankan orang terdekat dan merujuk kepada Tess. Seperti kita tahu apa yang sudah berlaku Tess, Joel tidak dapat menahan perasaannya lagi tetapi pada masa bagaikan mengambil nasihat daripada Bill tersebut ke jiwanya. Joel dan Ellie kemudian mengambil kereta dan menuju ke Wyoming, tempat terakhir yang Joel tahu Tommy berada.

Sohor Kini