Situasi mengenai pembangunan filem Tomb Raider amat memeningkan kepala. Julai tahun lepas, MGM dilaporkan tidak lagi memegang hak pembangunan filem ini dan GK Films membuka bidaan kepada studio lain.
Baru-baru ini, Amazon (pemilik MGM) dilaporkan akan menghasilkan filem dan siri TV Tomb Raider dengan Phoebe Waller-Bridge sebagai penulis skrip. Waller Bridge turut akan menjadi penerbit eksekutif bagi dua projek yang masih dikatakan di peringkat awal pembangunan. Ini bermakna Misha Green yang dilaporkan sebelum ini adalah penulis skrip dan pengarah tidak akan berlaku dan besar kemungkinan Alicia Vikander tidak akan kembali sebagai Lara Croft.
Amazon turut sedang fokus dan serius mengembangkan kandungan adaptasi aksi nyata permainan video ke Prime Video. Tahun lepas mereka disahkan akan menghasilkan siri TV God of War dan kini Tomb Raider pula – jelas sekali ingin bersaing dengan Netflix yang ada Cyberpunk: Edgerunners atau HBO dengan Last of Us.
Amazon juga adalah syarikat yang bekerjasama dengan Crystal Dynamics untuk menghasilkan permainan video Tomb Raider baharu. Tetapi untuk hak siri atau filem Tomb Raider, ia tidak terikat kepada satu studio sahaja kerana Netflix turut akan hadir dengan anime Tomb Raider bersama Hayley Atwell sebagai suara Lara Croft.
Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut mengenai kandungan Tomb Raider akan datang.