Kejayaan untuk Avatar: The Way of Water diteruskan lagi pada minggu ini apabila telah mengutip $2.054 bilion untuk kutipan secara global menurut Box Office Mojo.
Jumlah ini sekali gus meletakkan filem kedua Avatar ini sebagai filem ke-5 dengan kutipan tertinggi mengatasi Avengers: Infinity War dan Spider-man: No Way Home.
Sasaran seterusnya bagi Avatar: The Way of Water adalah Star Wars Episode VII – The Force Awaken dan Titanic yang masing-masing mengutip $2.071 Bilion dan $2.194 Bilion. Namun, dengan Titanic akan ditayangkan semula pada bulan depan, mereka mungkin perlu mengejar lebih lama.
Buat masa ini kutipan tertinggi masih lagi dipegang oleh filem pertama Avatar iaitu dengan kutipan sebanyak $2.9 Bilion diikuti Avengers: Endgame dengan kutipan $2.7 Bilion.
Jika anda masih tidak menonton Avatar, ataupun ingin mencuba pengalaman bahagu, GSC telah mula menawarkan “IMAX with Laser” yang tayang filem Avatar: The Way of Water di dalam format IMAX 3D HFR.