Siri animasi perisikan tempatan Ejen Ali baru sahaja tamat menyiarkan musim ketiga mereka hari Sabtu lepas (28 Januari) dengan 13 episod. Musim 3 ini adalah sambungan kepada dua musim sebelumnya dan sedikit dari filem 2019 Wau Animation – Ejen Ali The Movie.
Amaran: Artikel ini mungkin mengandungi beberan (spoiler) untuk Ejen Ali Musim 3 Bahagian 1 yang disiarkan pada tahun lepas.
Baca: Ulasan Ejen Ali Musim Ke-3, Episod 1-2 – Animasi Wau Yang Beri Aku Reaksi Wow!
Dunia siri Ejen Ali kini dikembangkan dengan menggabungkan apa yang berlaku dalam filem serta permua seperti Ejen ali: Agent’s Arena. Isu aku dengan Ejen Ali adalah bentuk animasi yang tidak konsisten, kerana jarak dekat tekstur muka, rambut, pergerakan nampak menarik termasuk dengan aksi. Tetapi dari jarak jauh nampak aneh dan tidak sehebat Mechamato.
Walaupun begitu, pujian penuh aku berikan kepada Wau Animation adalah dari segi penceritaan. Ejen Ali disampaikan dengan sangat baik. Siri ini mempunyai penceritaan yang matang, perwatakan yang menarik, susun atur plot yang mantap serta pengalaman menonton yang mendebarkan dan memuaskan.
Ejen Ali Musim 3 memfokuskan kisah Ali selepas filem, di mana beliau tiada lagi akses kepada I.R.I.S. tetapi masih dikenali sebagai hero kerana menumpaskan banyak musuh dan menjayakan banyak misi. Untuk kekal menjadi ejen M.A.T.A, beliau perlu bertanding dalam ARENA bersaing bersama rakan-rakan sebaya serta ejen antarabangsa.
Pada masa yang sama, ada musuh misteri cuba mendapatkan kawalan M.A.T.A dan ada pembelot di kalangan ejen-ejen muda yang bertanding ini. Sambil perlu fokus kepada pertandingan, Ali dan ejen-ejen lain turut perlu berganding nyawa menentang musuh sambil mengasah skil masing-masing mengikut “teras” (kategori ejen) untuk memastikan semua terus maju
Selepas aku ulas Ejen Ali Musim 3 episod 1-2 pada Jun tahun lepas. Aku cuba elakkan semua beberan kerana ingin maratonton (binge watch) kesemua episod serentak. Fuhh!!! Episod demi episod, jantung aku tidak berhenti berdebar kerana banyak penceritaan yang sangat mengejutkan. Satu penantian yang sangat berbaloi.
Pertama kali aku tonton siri animasi tempatan dengan penyampaian cerita sehebat ini. Jangan salah faham, beberapa bahagian masih mudah untuk diramal kerana ia adalah satu kisah perisikan jadi fikiran aku banyak membandingkan dengan siri atau filem tema sama dari Hollywood. Tetapi untuk melihat animasi Malaysia mampu berikan kepuasan yang sama – jika ini ditayangkan di pawagam aku akan berdiri tepuk tangan dan bersorak.
Segala pendapat negatif aku mengenai bentuk animasi boleh aku lupakan, kerana Ali yang masih hebat walaupun tiada I.R.I.S. Elemen persahabatan yang kerap cemburu, sentiasa menyokong, serta menganiaya yang menarik pasti akan membuatkan ramai lebih menggemari cerita perisikan versi lokal.
Musuh juga hebat, membuatkan aku teringat kepada Big Hero 6 dengan senjata seakan nanobot/mikrobot yang berkuasa dan dahsyat, rakan penjahat yang menjadi baik pada minit akhir, aksi hebat dengan melibatkan senjata, robot dan kuasa melalui teknologi futuristik – membuatkan aku sentiasa tersenyum dan tidak sabar menantikan kisah selanjutnya.
Disebabkan aku masih tidak tonton siri musim lepas, aku ada sedikit keliru dengan beberapa watak seperti siapakah Cero, kisah di sebalik Uno, Ejen Rizwan, Cinco dan beberapa lagi. Walaupun begitu, untuk hanya yang menonton filem dan tonton musim ketiga – keseluruhan cerita masih boleh dinikmati dan boleh faham. Cuma jika inginkan pemahaman lanjut, tonton sahaja musim pertama dan kedua agar tiada “plot hole” berlaku.
Ejen Ali Musim 3 ini juga adalah satu kisah persediaan Ali untuk misi-misi akan datang serta untuk penceritaan lanjut di masa hadapan. Masih jauh perjalanan Ali untuk menjadi Super Ejen kerana beliau perlu menguasai semua teras ejen terlebih dahulu. Turut tidak lupa dengan penglibatan lebih banyak watak berbeza seperti Ejen antarabangsa yang ada seakan Rusia, Indonesia dengan tema berbeza serta kekuatan berbeza – ia menjadikan pengalaman menonton siri animasi ini lebih seronok dan imersif kerana dunia Ejen Ali yang semakin berkembang.
Malah, saluran rasmi YouTube Ejen Ali turut menyediakan video recap untuk siri musim pertama, kedua, filem, serta siri musim ketiga bahagian pertama untuk memudahkan lagi semua orang faham apa yang berlaku di sebalik kisah Ali dan rakan-rakan, M.A.T.A, I.R.I.S dan lain-lain lagi.
Jika anda ingin tonton siri animasi tempatan yang padat dengan aksi, cerita yang matang, perwatakan yang menarik Ejen Ali wajib ditonton. Episod akhir dengan durasi singkat pun memberikan aku pengalaman seakan menonton filem dan ia amat memuaskan. Tetapi jika anda inginkan komedi, cerita yang ringan – cadangan aku adalah Mechamato.
Dua animasi dari dua studio tempatan berbeza ini ada kepakaran masing-masing. Setiap IP juga ada kumpulan peminat masing-masing. Jadi sokonglah kedua-dua animasi ini jika anda impikan animasi kita boleh capai lebih jauh.
Ketika aku tulis artikel ulasan ini, aku tersenyum kerana terfikirkan apalah yang Wau akan lakukan untuk sambungan Ejen Ali ini dan bilakah aku boleh tonton.
Kesemua musim Ejen Ali dan juga filem boleh ditonton di Disney+ Hotstar.