Ulasan Dead Space (Remake)

Perbincangan mengenai sama ada sesuatu permainan memerlukan versi ‘remake’ sudah lama dibincangkan termasuk dari kami sendiri untuk siri permainan Resident Evil, walaupun ramai yang berbeza pendapat akan tetapi ramai yang boleh dikatakan menerimanya selagi ia adalah satu permainan yang bukan sahaja baik tetapi lebih baik berbanding permainan asal.

Selepas meluangkan hampir 15 jam bermain, saya boleh katakan yang Dead Space versi olahan semula oleh Motive dan EA ini adalah permainan yang berkualiti dan mempunyai alasan yang kuat untuk hadir dengan versi remake.

Dead Space baharu ini bukan sahaja membawa grafik yang lebih baik, yang secara sendirinya saya boleh katakan alasan yang mencukupi untuk bermain sekali lagi permainan ini, akan tetapi turut membawa pelbagai perubahan lain yang membuatkan pembangun menegaskan ini adalah ‘remake’ dan bukan ‘remastered’. Saya bersetuju dan apabila saya bermain permainan ini, saya merasakan ia adalah satu permainan baharu dan memori saya mengenai permainan asal adalah dari segi penceritaan dan rekaan sesetengah peringkat sahaja. Selebihnya, Dead Space terasa seperti satu permainan yang baharu.

Dari segi penceritaan, Dead Space tidak membawa perubahan yang besar, Isaac watak yang akan dikawal oleh pemain bersama dengan Kendra dan Hammond telah ditugaskan untuk memeriksa dan membaiki USG Ishimura yang hilang daripada perhubungan. Setelah tiba di kapal tersebut, mereka mula sedar yang ia bukan sahaja masalah teknikal tetapi kapal tersebut juga telah dipenuhi dengan Necromorphs iaitu satu makhluk yang ganas dan mempunyai pelbagai bentuk.

Mereka mendarat dengan tidak baik di Ishimura dan terus diserang oleh Necromorphs yang mengakibatkan ketiga-tiga mereka terpisah, namun masih lagi berhubung. Isaac sebagai seorang jurutera perlu memperbaiki Ishimura tetapi pada masa sama menyiasat mengenai apa yang berlaku di kapal tersebut. Di dalam usaha Isaac ini, dia terpaksa memasuki pelbagai kawasan kapal dan perlu melawan dengan Necromorphs.

Sebagai satu permainan aksi pengembaraan seram, saya boleh katakan Dead Space sangat berjaya di dalam menghasilkan keadaan persekitaran yang seram. Ini bukan sahaja melalui hadirnya Necromorphs akan tetapi juga melalui rekaan bunyi, kesan bunyi, dan juga penggunaan lampu ataupun kurangnya penggunaan lampu, tambahan pada itu, rekaan kawasan di dalam kapal Ishimura juga menjadikan ia lebih seram dengan terdapat pelbagai cabang dan sentiasa ada sesuatu yang mengejutkan akan berlaku.

Penceritaan juga kini menjadi lebih menarik dengan Isaac seperti Dead Space 2 dan Dead Space 3 akan mempunyai suara berbeza dengan permainan asal yang Isaac adalah ‘hero yang berdiam diri sahaja’. Hadirnya dialog membantu untuk memberikan nilai tambah kepada penceritaan akan tetapi ia juga membawa kesan yang janggal iaitu ada masa Isaac melihat sesuatu, dan tidak memberikan sebarang reaksi. Perkara ini boleh diterima di dalam permainan asal kerana Isaac langsung tidak bercakap, akan tetapi sekarang dia bercakap menjadikan janggal dia tidak bercakap langsung ataupun bermonolog di dalam keadaan tersebut.

Isaac juga kini boleh melakukan pelbagai misi sampingan untuk mendapat penceritaan tambahan yang walaupun sekadar disampaikan melalui dialog ringkas ataupun melalui audio log dan teks ia masih berkesan untuk menarik minat di dalam mengetahui apa yang telah berlaku di kapal ini. Bercakap mengenai audio log ataupun video log, setiap daripadanya dihasilkan dengan baik dan menjumpai mana-mana log ini terasa seperti menjumpai loot untuk digunakan.

Ia bukan sahaja memberi lebih informasi mengenai penceritaan, tetapi juga menyampaikan keadaan di kapal tersebut dengan sangat jelas. Saya sering memasuki satu bilik dan melihat terdapat beberapa mayat dan tertanya apa yang berlaku, kemudian apabila menjumpai audio log, ia akan menceritakan apa yang sebenar berlaku di dalam bilik tersebut. Walaupun sekadar mendengar sahaja, ia masih mencukupi untuk memberi perasaan seram ataupun sedih.

Secara jujurnya saya tidak menyukai permainan seram, dan jika saya bermain, saya tidak akan menggunakan set fon kepala, akan tetapi ia berlainan dengan Dead Space kerana saya merasakan terdapat banyak bunyi ataupun kesan bunyi yang akan menambah pengalaman permainan yang mungkin tidak sangat kedengaran jika menggunakan pembesar suara. Tambahan pada itu, Necromorphs juga sering muncul dari tempat yang tidak kelihatan, satu-satunya untuk mengetahui kedudukan mereka adalah dengan mendengar ataupun menantikan mereka untuk melakukan serangan.

Keunikan permainan Dead Space seperti permainan asal adalah cara untuk membunuh Necromorphs. Kebiasaan menembak dengan tepat di kepala adalah cara terbaik, tetapi berlainan dengan Necromorphs di mana cara terbaik adalah dengan memotong bahagian-bahagian tubuh badan. Isaac dapat menggunakan beberapa senjata berbeza untuk melakukannya seperti Plasma Cutter iaitu senjata pertama yang akan diperoleh dari Isaac dan juga senjata terbaik walaupun pada akhir permainan. Isaac juga boleh menggunakan Stasis untuk memperlahankan pergerakan Necromorphs yang lebih memudahkan untuk menembak dan juga memberi ruang jika keadaan menjadi terlalu kacau bilau, yang akan sering berlaku.

Jika cuba menembak sahaja Necromporhs ia akan mengambil masa yang lama untuk dibunuh, akan tetapi jika memotong bahagian tubuh badan mereka seperti tangan dan kaki, mereka akan terbunuh dengan lebih cepat. Ini menjadikan strategi utama Dead Space adalah untuk memotong tubuh bada mereka yang memerlukan serangan yang lebih tepat dan tidak boleh sekadar menembak sahaja. Ini secara langsungnya menjadikan sesi permainan yang lebih cemas ini ditambah lagi dengan rekaan Necromporhs yang pelbagai dan menyeramkan.

Pengembaraan di dalam permainan ini juga dipertingkatkan dengan sangat baik, saya merasakan permainan asal lebih linear dengan ia sentiasa mengenai dari A ke B, B ke C dan seterusnya, akan tetapi versi remake ini ditambah dengan seperti saya katakan di atas misi sampingan, selain itu kali ini terdapat juga sistem “Security Clearance” di mana sesetengah bahagian tidak boleh diakses selagi tidak mempunyai tahap sekuriti yang tertentu.

Semasa melakukan penceritaan utama, Isaac akan berulang kali melalui kawasan yang sama, oleh itu dengan adanya sistem ini, secara langsungnya memberikan sebab yang lebih untuk pemain mengembara sekali lagi di kawasan tersebut. Terpaksa melalui kawasan yang sama berulang kali bukanlah satu perkara yang saya gemar, tetapi Dead Space menjadikan ia sebahagian daripada tatamain dan cukup untuk mengekalkan keseronokan.

Ini ditambah lagi dengan loot adalah perkara yang penting terutama pada pertengahan pertama permainan. Pada awalnya Isaac akan mempunyai slot yang sedikit sahaja untuk senjata, peluru dan juga ubat yang kesemuanya berkongsi storan yang sama. Oleh itu, mengurus storan dan mencari loot menjadi bahagian yang penting di dalam permainan ini. Kesemua ini akan menjadi lebih mudah apabila membeli naik taraf untuk RIG ataupun suit yang dipakai oleh Isaac. Meningkatkan tahap RIG akan menambah nyawa dan juga memberi tambahan slot untuk storan.

Rekaan peringkat di dalam Dead Space juga dilakukan dengan baik, kebanyakan adalah seperti permainan asal, akan tetapi telah ditambah-baik dengan pelbagai mekanik tambahan yang menjadikan ia lebih menarik dan juga lebih mencabar.

Tambahan pada itu, Dead Space juga mempunyai sistem “dynamic encounter” di mana Necromorphs akan keluar tidak mengikut tetapan tertentu tetapi ia adalah secara rawak dan mungkin berbeza di antara dua sesi permainan menjadikan ia lebih menarik terutama jika bercadang untuk bermain berulang-ulang kali.

Melalui kawasan-kawasan tertentu, ataupun melakukan mana-mana misi juga akan memerlukan Isaac menyelesaikan pelbagai permainan-mini dan juga tekaria, dari menembak asteroid sehinggalah membuang sulur. Setiap peringkat dihasilkan dengan baik, ia tidak terasa membosankan. Di kawasan-kawasan yang tidak mempunyai graviti Isaac juga boleh bergerak dengan lebih bebas berbanding sekadar melompat sahaja di dalam permainan asal. Pemain juga akan perlu bertempur semasa sedang terbang, dan oleh kerana Dead Space memberi kawalan yang baik semasa terbang, menjadikan segmen ini sangat menarik.

Grafik di dalam permainan ini adalah sangat berkualiti, saya tidak perlu membuatkan pembandingan dengan permainan asal yang secara jelasnya sangat jauh berbeza. Setiap kawasan direka dengan baik, setiap Necromporhs dihasilkan dengan sangat menggerunkan. Dead Space benar-benar memberikan perasaan yang sangat seram melalui rekaan persekitaran sahaja, ditambah lagi dengan muzik, kesan bunyi dan juga penggunaan cahaya memberikan keadaan yang sangat seram.

Saya bermain di PC yang menggunakan spesifikasi seperti berikut;

  • CPU: AMD Ryzen 5 3600 (3.66Ghz)
  • GPU: NVIDIA GeForce RTX 2060 (6 GB)
  • RAM: 16 GB

Saya menggunakan tetapan High dengan resolusi Full HD dan membuka DLSS dengan tetapan Balanced, ia memberikan kadar kelancaran 80-90 FPS di kebanyakan bahagian dan hanya jatuh di bawah 80 FPS di beberapa bahagian sahaja dan tidak terlalu kerap. Ia mungkin tersangkut-sangkut dari semasa ke semasa tetapi tidak terlalu ketara dan tidak sangat mengganggu pengalaman saya bermain.

Saya boleh simpulkan yang Dead Space adalah satu permainan aksi pengembaraan yang sarat dengan kandungan yang berkualiti. Permainan ini juga memberi keseimbangan yang baik di dalam menjadikan permainan terlalu panjang ataupun terlalu ringkas. Dead Space tidak terasa terlalu panjang ataupun terlalu singkat, tetapi pengalaman yang diberikan terasa puas pada masa sama memberi ruang dan sebab untuk mengulangi sesi permainan sekali lagi – terutama melalui New Game+ yang menyertakan pengakhiran berlainan.

Versi remake ini juga membawa pelbagai penambahan yang bermakna menjadikan Dead Space lebih baik dan juga menjadi permulaan yang lebih baik sebelum pemain meneruskan dengan Dead Space 2 dan juga Dead Space 3 yang buat masa ini tidak disahkan lagi jika akan turut menerima versi remake. Jika anda tidak pernah bermain Dead Space, versi ini adalah versi terbaik dan harus dicuba. Jika anda sudah bermain Dead Space yang asal, versi ini akan memberikan pengalaman yang baharu dan juga harus dicuba.

Penafian: Kod permainan Dead Space untuk PC ini disediakan oleh EA bagi tujuan ulasan ini. Dead Space akan dikeluarkan pada 27 Januari 2023 untuk PlayStation 5, Xbox Series dan PC.

Dead Space
Dead Space adalah permainan yang sarat dengan kandungan berkualiti memberi sebab yang jelas mengapa versi remake ini perlu ada.
Positif
Sesi permainan yang padat dan seram
Penceritaan cereka sains yang sangat menarik
Sistem pertempuran yang mencabar
Negatif
Sedikit masalah prestasi untuk versi PC
Ada masa sesi permainan terasa berulang
9

Sohor Kini