Perhatian: Ini adalah perbincangan untuk episod 2 bagi siri TV The Last of Us dan akan mengandungi beberan/spoiler penceritaan, oleh itu jika anda masih tidak tontonnya boleh elak dari membacannya. Jika ingin membaca ulasan penuh tanpa spoiler anda boleh ke pautan ini – Ulasan Siri TV The Last of Us – Musim Pertama
Seperti episod 1, episod kedua juga bermula dengan sesuatu yang tidak mempunyai kaitan dengan penceritaan utama akan tetapi memberikan gambaran yang jelas mengenai reaksi kerajaan ataupun reaksi manusia terhadap bermulanya pandemik ini. Menariknya, penulis juga telah memilih untuk menggunakan negara lain dan bukan Amerika Syarikat.
Jakarta, Indonesia telah disebut di dalam perbualan di antara Joel, Ellie dan Tommy di dalam episod 1 yang menggambarkan apa yang sedang berlaku, oleh itu agak menarik untuk melihat apa yang benar-benar berlaku di dalam episod 2 ini. Tambahan pada itu, ia juga memperlihatkan apa yang dipercakapkan di dalam pembukaan episod 1 mengenai bagaimana Cordyceps akan dapat bertahan di dalam tubuh manusia.
Adegan ini berakhir dengan saintis telah memberitahu kepada ketua askar yang perkara ini tidak mempunyai ubat dan perkara terbaik yang perlu dilakukan adalah dengan mengebom keseluruhan bandar untuk mengelak daripada ia tersebar. Memberi gambaran yang kemungkinan negara-negara lain juga akan melakukan perkara yang sama.
Penceritaan kembali kepada Joel, Ellie dan Tess selepas pengakhiran di Episod 1, Joel dan Tess kini mengetahui mengapa Firefly meminta mereka untuk menghantar Ellie ke kem Firefly, kerana mereka merasakan Ellie boleh membantu di dalam penghasilan vaksin. Joel masih tidak yakin mereka perlu melakukannya, berbeza dengan Tess yang merasakan mereka perlu menyelesaikan pekerjaan ini.
Penonton juga diperlihatkan keadaan bandar di kawasan tersebut yang mengesahkan apa yang diperkatakan di dalam adegan pembukaan, kerajaan ataupun tentera akan memilih untuk mengebom kawasan-kawasan tertentu. Menurut Tess, kebanyakan bandar utama telah di bom dan ada yang mengurangkan jangkitan ada yang tidak.
Perbualan di antara Tess dan Ellie juga mendedahkan seperkara yang menarik, zombi dan juga cordyceps yang lain mempunyai “sistem rangkaian” mereka sendiri, jika mereka bertemu dengan satu zombi ataupun terpijak mana-mana cordyceps yang lain, perkara tersebut akan diketahui oleh zombi-zombi lain yang berdekatan.
Bahagian seterusnya di dalam episod 1 ini memperlihatkan perbezaan utama di antara siri TV dengan permainan, jika di dalam permainan, selang beberapa minit pemain perlu bertempur dengan zombi, sama ada secara terus ataupun menyelinap. Namun, di dalam siri TV perjumpaan walaupun dengan satu sahaja Clicker adalah perkara yang sangat menggerunkan dan siri ini melakukannya dengan cara baik untuk memberi perasaan itu.
Di bahagian akhir untuk episod ini, mereka mengekalkan apa yang berlaku kepada Tess akan tetapi menyertakan perubahan serta beberapa penambahan. Pertama, di dalam pertarungan mereka melawan clicker, Ellie sekali lagi digigit. Perkara ini membantu untuk memberi gambaran yang lebih jelas mengenai Ellie adalah imun. Perkara ini juga memberi perbandingan dengan lebih jelas perbezaan di antara Ellie dan Tess yang juga telah digigit.
Perubahan kedua adalah berbanding menggunakan FEDRA di bahagian akhir, Joel dan Ellie terpaksa meninggalkan Tess untuk mati kerana mereka diserang oleh kelompok zombi yang mengetahui kedudukan mereka melalui “sistem rangkaian” yang diperkatakan sebelum ini. Kita juga dapat melihat sesuatu yang baharu iaitu “ciuman zombi” yang serba sedikit memperlihatkan bagaimana cordyceps menggunakan sulur.