Crystal Dynamics telah mengumumkan yang permainan Marvel’s Avengers akan menerima kemaskini terakhir iaitu versi 2.8 pada 31 Mac 2023 yang akan menjadi kemaskini utama terakhir untuk permainan tersebut.

Selain itu, mereka juga telah mengumumkan yang sokongan bagi Marvel’s Avengers akan ditamatkan pada 30 September 2023 dengan permainan tersebut tidak lagi akan diperbaiki ataupun menerima kemaskini selepas tarikh tersebut.

Ironinya, pada 31 Mac, kesemua barangan kosmetik yang sebelum ini perlu dibeli ataupun ditebus akan diberikan kepada semua pemain secara percuma menjadikan ia adalah masa terbaik untuk bermain permainan ini.

Selepas bulan Mac, kesemua pembelian di dalam permainan juga akan ditutup, sekali lagi menjadikan permainan ini lebih baik dan baki-baki credit anda akan ditukar menjadi mata wang di dalam permainan.

Selepas September, Marvel’s Avengers masih boleh dimainkan termasuk juga sokongan multi-pemain dan pelayan juga akan dibuka untuk satu jangka masa yang panjang akan tetapi tiada sokongan akan diberikan.

Tamatnya sokongan untuk Marvel’s Avengers ini sudah dijangkakan kerana sejak dilancarkan lagi ia telah membawa kerugian kepada Square Enix dan tidak mempunyai bilangan pemain yang menggalakkan. Tambahan lagi, pembangun iaitu Crystal Dynamics juga telah diambil alih oleh Embracer Group dan akan sibuk dengan pembangun Tomb Raider.

Marvel’s Avengers sudah dikeluarkan untuk PlayStation, Xbox dan PC. Anda boleh baca ulasan kami di pautan ini; Ulasan Marvel’s Avengers – Berpotensi Tetapi Mengecewakan.

Sohor Kini