Rami Malek adalah seorang pelakon yang berbakat. Beliau boleh memainkan pelbagai jenis watak, dari komedi dalam Night At The Museum, penggodam dalam siri Mr. Robot, Freddie Mercury dalam Bohemian Rhapsody serta penjahat dalam James Bond: No Time To Die.
Terkini, beliau dilaporkan akan berlakon sebagai Buster Keaton dalam sebuah siri TV terhad Warner Bros. Television. Siri TV ini akan diadaptasi berdasarkan biografi James Curtis, Buster Keaton: A Filmmaker’s Life. Buat masa ini, Warner Bros. masih dalam perbincangan lagi untuk mendapatkan hak buku. Siri TV ini akan diarahkan oleh pengarah filem The Batman, Matt Reeves dan dihasilkan melalui studio beliau 6th and Idaho Productions.
Siri ini adalah antara projek Matt Reeves bersama Warner Bros. Discovery dalam perjanjian jangka masa panjang beliau.
Pada sekitar tahun 1910-an sehingga 1960-an, selain Charlie Chaplin yang terkenal dalam filem komedi senyap – seorang lagi turut dikenali ramai iaitu Buster Keaton. Seperti Chaplin, Keaton juga terlibat dengan pelbagai filem komedi senyap yang melibatkan aksi ganas tetapi dengan ekspresi tabah seakan tiada perasaan sehingga digelar sebagai The Great Stone Face. Antara karya Buster Keaton terkenal adalah Sherlock Jr., Steamboat Bill, Jr.” dan Our Hospitality.
Selepas Keaton berjaya dalam beberapa filem beliau membangunkan studio sendiri. Kemudian turut pernah menjadi penulis, pengarah dan pelakon untuk Metro-Goldwyn-Mayer dan Colombia Pictures. Buster Keaton meninggal dunia pada tahun 1966 kerana kanser paru-paru dan filem terakhir lakonan beliau adalah A Funny Thing Happened on the Way to the Forum, sebuah komedi muzikal di mana Keaton berlakon sebagai Erronius dan ditayangkan pada Oktober 1966.