Kelab Bola Sepak Selangor, Selangor FC dan Yoodo telah mengumumkan pasukan Mobile Legends mereka iaitu Yoodo Red Giants yang akan bertanding di Mobile Legends Professional League (MPL) Musim Ke-11 yang akan bermula pada bulan depan.
Yoodo Red Giants adalah pasukan ELX Esports yang melayakkan diri ke MPL melalui pusingan kelayakan sebelum ini. Mereka terdiri daripada Muhammad Yaacob (ESHA OHANA) , Mohd Hakim (KAIZER), Syed Naufal Fitri(SYF), Ilman Zareef (GOJES), Muhammad Amir Zakwan(ZAKQT) dan Muhammad Haqqulah (SEKYS) dengan Mohd Erwin (RUSH) menjadi pengurus.
Selain melayakkan diri ke MPL Malaysia Musim 11, mereka juga muncul juara untuk beberapa kejohanan besar seperti ESportsMY Championship, Malaysia Semi Pro League, Hari Sukan Belia Negara, GMX Cup, Nescafe SMG Cup, Piala Ketua Menteri Melaka dan Iskandar Puteri Tournament.
MPL Malaysia Musim 11 akan bermula pada bulan Februari dengan melibatkan 10 pasukan iaitu Todak, Orange Esports, Team Haq, Team Lunatix, RED Esports MY, Team SMG, Homebois, RSG Malaysia, Madness Esports bersama dengan Yoodo Red Giants.