Mengapa Stadia Gagal?

Google akhirnya menutup perkhidmatan Stadia secara rasminya pada minggu ini. Ia adalah pengakhiran yang telah dijangkakan dari awal lagi semasa Google mengumumkan perkhidmatan yang kononnya akan menjadikan konsol sebagai tidak lagi relevan.

Semasa awal pelancaran lagi kami sudah mengeluarkan beberapa artikel mengenai kekurangan bagi Stadia ini – 6 Kelebihan Dan Kekurangan Google Stadia, akan tetapi walaupun sudah beberapa tahun, Google tidak menyelesaikan kekurangan tersebut.

Walaupun kita semua sudah menjadi penilik nasib mengenai Google Stadia tetapi agak menarik untuk membincangkan , mengapa Stadia gagal?

Model Perniagaan Yang Salah

Pada awal pengumuman Stadia, ramai yang menjangkakan Stadia adalah satu perkhidmatan “Netflix untuk Permainan Video” akan tetapi Google dengan segera menidakkan perkara tersebut – Google Mengatakan Stadia Bukan “Netflix” Untuk Permainan Video Tetapi Seakan PS Plus – sebaliknya mereka menyediakan satu perkhidmatan penstriman permainan video dengan setiap permainan harus dibeli secara berasingan.

Jika kita menggunakan analogi untuk kandungan filem, Stadia bukanlah Netflix sebaliknya iTunes Store ataupun Google Play Store di mana pengguna perlu membeli ataupun menyewa sesuatu filem untuk ditonton berbanding sekadar tekan ‘main’. Stadia bukan cuba menggantikan keperluan konsol ataupun PC, sebaliknya ia menjadi platform baharu.

Ada sebab mengapa untuk bertahun-tahun kita hanya ada tiga konsol dan PC sahaja mendominasi industri permainan video, keempat-empat platform ini telah mengambil masa berpuluh-puluh tahun untuk membentuk pengguna mereka, hadirnya platform baharu pada waktu ini, sudah semestinya akan mendapat tentangan yang kuat.

Selain itu, model perniagaan Stadia ini juga memaksa untuk pengguna membeli permainan secara digital sahaja, dengan pemilikannya tidak boleh disahkan akan terus berkekalan. Pada awal pelancaran Stadia lagi ramai yang risau untuk membeli permainan dengan harga penuh di Stadia kerana merasakan jika Stadia ditutup, pembelian mereka tidak lagi boleh digunakan.

Dengan Stadia kini ditutup, kerisauan tersebut adalah tepat, sekurang-kurangnya Google telah mengumumkan akan melakukan pembayaran balik kepada pembeli.

Stadia mungkin lebih berjaya ataupun bertahan lebih lama jika membolehkan pengguna untuk bermain permainan sedia ada mereka menggunakan perkhidmatan Stadia berbanding membeli permainan secara berasingan. Perkhidmatan ini adalah seperti NVIDIA GeForce Now, yang walaupun tidak meluas tetapi disukai oleh pengguna.

Salah Jangka Mengenai Pembangunan Permainan Video

Selain melancarkan perkhidmatan Stadia, Google juga mengumumkan Stadia Games and Entertainment yang sepatutnya membangunkan permainan secara eksklusif untuk Stadia. Walaupun studio ini diselia oleh nama besar di dalam industri iaitu Jade Raymond akan tetapi mereka gagal untuk membawa sebarang kebaikan kepada perkhidmatan Stadia, dengan tiada permainan dilancarkan daripada mereka.

Studio tersebut kemudiannya ditutup pada tahun 2021 dengan Google mengatakan yang mereka akan sekadar memfokuskan kepada pembangun pihak ketiga sahaja untuk membangunkan permainan buat mereka – ini secara sendirinya juga adalah satu lagi masalah untuk Stadia, pembangun perlu meluangkan masa tambahan untuk membangunkan permainan mereka bagi Stadia.

Ini berbeza dengan perkhidmatan penstriman lain seperti yang disediakan oleh NVIDIA ataupun xCloud oleh Microsoft yang memerlukan sokongan sangat sedikit daripada pembangun permainan kerana permainan-permainan yang dimainkan akan menggunakan platform sedia adalah iaitu PC dan juga Xbox. Sedangkan untuk Stadia, ia memerlukan sesuatu permainan dibangunkan untuk platform itu sendiri.

Oleh kerana ia akan memakan masa, dan juga memerlukan pembangunan tambahan, tidak mengejutkan penerbit-penerbit permainan meminta insentif daripada Google untuk membawa permainan mereka ke perkhidmatan tersebut. Contohnya, berdasarkan satu laporan Google dikatakan membayar puluhan juta kepada Take-Two Interactive untuk membawa Red Dead Redemption 2 ke Stadia dan ia bukanlah secara eksklusif kerana Red Dead Redemption 2 turut dikeluarkan di platform-platform lain.

Jika anda membayar untuk sesuatu permainan dikeluarkan di platform anda, tetapi permainan tersebut bukanlah dikeluarkan secara eksklusif, ia secara sendirinya adalah satu masalah dan pembaziran. Sony dan Microsoft contohnya sudah semestinya tidak akan membayar kepada penerbit permainan untuk mengeluarkan permainan di platform mereka selain mempunyai kelebihan seperti dikeluarkan secara eksklusif.

Google

Sebab ketiga dan mungkin paling mendorong kegagalan Stadia adalah kerana ia adalah produk oleh Google. Benar, Google adalah satu syarikat teknologi yang gah, mempunyai kewangan yang mungkin boleh dikatakan tanpa had dan boleh berbelanja untuk melakukan apa sahaja. Namun, mereka tidak mempunyai rekod yang baik di dalam pelancaran perkhidmatan, tambahan lagi perkakas.

Mereka tidak mempunyai pengalaman di dalam industri permainan video, oleh itu kedua-dua perkara di atas menjadi kesukaran bagi mereka. Tidak dapat mencari model perniagaan yang lebih baik, dan juga tidak dapat mengurus mengenai pembangunan permainan video. Mereka mungkin mempunyai duit untuk mencuba, tetapi untuk meneruskan dengan mapan, akan memerlukan pengalaman serta ‘know-how’ di dalam industri ini.

Google pada awalnya memberikan sokongan yang penuh kepada Stadia dengan memperlihatkan mereka bersedia untuk terus berbelanja bagi mengembangkan lagi perkhidmatan ini, akan tetapi tidak mengambil masa yang lama untuk mereka mula menutup studio, mengurangkan penawaran dan akhirnya menutup perkhidmatan secara terus. Ini adalah perkara biasa oleh Google mahupun mana-mana syarikat teknologi lain. Mereka mempunyai pelbagai projek, yang setiapnya menelan perbelanjaan yang besar, mana-mana yang gagal untuk menarik perhatian akan ditutup.

Kegagalan Stadia Bukan Pengakhiran

Secara ringkasnya, Stadia gagal kerana dari awal lagi mereka tidak mempunyai model perniagaan yang baik ataupun berkesan, pada masa sama mereka juga underestimate mengenai kesukaran untuk membangunkan permainan video dan akhir sekali kerana kurangnya pengalaman oleh Google di dalam industri ini – walaupun dengan melantik orang yang berpengalaman di dalam industri ini, ia bukanlah penyelesaian untuk masalah-masalah ini.

Namun, kegagalan Stadia ini bukanlah satu pengakhiran untuk perkhidmatan penstriman. Google juga mengatakan yang projek Stadia mungkin gagal, tetapi teknologi sebalik Stadia boleh dikatakan sebagai antara yang terbaik di dalam industri. Oleh itu, kita mungkin akan melihat Stadia digunakan oleh perkhidmatan yang lain?

Sohor Kini