Skip to main content

Perhatian: Ini adalah perbincangan untuk episod 1 bagi siri TV The Last of Us dan akan mengandungi beberan/spoiler penceritaan, oleh itu jika anda masih tidak tontonnya boleh elak dari membacannya. Jika ingin membaca ulasan penuh tanpa spoiler anda boleh ke pautan ini – Ulasan Siri TV The Last of Us – Musim Pertama

Siri TV The Last of Us akhirnya bermula di HBO Go dengan episod 1 disiarkan bermula pada hari ini. Sebagai satu siri yang dinanti-nantikan, terutama oleh pemain yang bermain permainan ini, episod ini tidak mengecewakan. Ia bermula dengan pembinaan masalah dengan baik apabila memperlihatkan temubual lama bercakap mengenai kulat yang boleh memasuki binatang dan mengawal tingkah-lakunya.

Temubual ini adalah satu perkara yang ringkas akan tetapi sangat penting untuk penonton yang tidak biasa dengan penceritaan The Last of Us kerana ia menggambarkan apa yang akan berlaku. Seperti di dalam permainan, episod ini bermula dengan pengenalan kepada tiga watak iaitu Joel lakonan Pedro Pascal, Sarah lakonan Nico Parker dan juga Gabriel Luna lakonan Tommy Miller. Mereka pada masa ini adalah pada tahun 2003 iaitu sebelum berlakunya pandemik.

Berbanding dengan permainan, saya boleh katakan siri TV memberikan pelbagai tambahan yang baik untuk mengembangkan lagi penceritaan awal bagi Joel dan Sarah, penceritaan juga melibatkan jiran kepada Joel yang membantu untuk memperlihatkan dengan lebih dekat, dan juga lebih beremosi bagaimana jangkitan zombi berlaku, kerana melibatkan seorang yang dikenali oleh mereka berdua. Berbanding permainan yang sekadar memperlihatkan mereka sudah bertukar.

Sarah adalah watak yang sedikit sahaja bagi episod ini dan juga untuk siri ini, tetapi kehadirannya telah dikembangkan dengan menjadi orang pertama melihat masalah “zombi” ini yang sudah semestinya menjadi perasaan yang sama dengan penonton. Ia juga memperlihatkan kelainan pandemik ini berbanding dengan permainan dengan menggunakan sulur berbanding spora.

Selepas kejadian zombi ini mula disedari, episod ini juga memperlihatkan dengan baik bagaimana kelam kabutnya keadaan, dan ketakutan kerajaan dengan apa yang mereka tidak pasti, sehinggalah membawa kepada satu kedukaan yang pertama untuk Joel yang bagi saya, satu adegan penting di dalam permainan dan siri ini berjaya membawa impak yang sama jika tidak lebih lagi.

Penceritaan kemudiannya melalui langkau masa, sama seperti permainan iaitu 20 tahun akan tetapi, penceritaan awal bermula pada tahun 2003 berbanding 2013 di dalam permainan, menjadikan ia adalah tahun 2023 dan bukan 2033, ini adalah pilihan produksi untuk menjadikan tahun sama dengan tahun pada waktu ini.

Keadaan dunia pada masa ini tidak lagi seperti dunia yang kita kenali dengan Joel berada di satu kem yang dikawal oleh tentera dengan sangat tegas. Sesiapa yang berpenyakit akan dibunuh termasuk juga kanak-kanak. Episod berjaya menyampaikan keadaan tersebut dengan baik sekali.

Episod ini juga kemudiannya memperkenalkan tiga lagi watak penting iaitu Tess lakonan Anna Torv, Marlene lakonan Merle Dandridge dan Ellie lakonan Bella Ramsey. Siri ini membuat satu yang menjadi tanda tanya mengenai perhubungan Joel dan Tess dengan diperlihatkan mereka lebih rapat daripada sekadar rakan biasa.

Mereka juga mengubah bagaimana Joel dan Tess mendapat tugasan untuk membawa Ellie yang bagi saya dihasilkan dengan lebih masuk akal berbanding permainan. Perhubungan Joel dan Tommy juga diubah di dalam siri ini dengan Joel sedang mencari Tommy berbanding Tommy meninggalkannya selepas menyertai Firefly di dalam permainan. Ia satu perubahan yang memberikan penambahan sebab untuk Joel mengambil kerja membawa Ellie.

Episod ini berakhir dengan dua perkara penting iaitu Tommy cuba menghubungi Joel yang sudah melakukan pekerjaan “menghantar” Ellie, dan juga memberi maklumat menarik mengenai Ellie di mana dia telah dikesan sebagai seorang yang dijangkiti dengan pandemik zombi ini.

Leave a Reply